Apabila kita menerima sesuatu kebaikan atau barangan daripada orang lain, maka adalah satu kelaziman untuk mengucapkan “Terima Kasih.” Tetapi, tahukah anda bagaimana ucapan “Terima Kasih” yang terbaik dan mengikut sunnah?
Dalam Islam, adalah menjadi satu tuntutan untuk sentiasa berasa bersyukur dengan setiap pemberian dan salah satu caranya adalah dengan mengucapkan “Terima Kasih.”
Ucapan Terima Kasih Terbaik (Dalam Bahasa Arab)
Ucapan “Terima Kasih” yang terbaik yang menurut sunnah adalah dengan mengucapkan seperti berikut:
“Jazaakallahu Khairan“
Maksudnya: “Semoga Allah SWT membalasmu dengan kebaikan.”
Terdapat hadis yang menjelaskan sunnah untuk seseorang itu mengucapkan “Jazaakallahu khairan” apabila diberikan kebaikan.
Daripada Usamah bin Zaid R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang diberikan kepadanya satu perbuatan kebaikan lalu dia membalasnya dengan mengatakan ‘Jazaakallahu Khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” – (HR At-Tirmidzi dan An-Nasaa’i).
Beberapa Perubahan dalam Melafazkan Jazaakallah
Terdapat beberapa perubahan dalam melafazkan jazaakallah yang boleh disesuaikan mengikut jantina atau orang yang ingin diucapkan iaitu:
- Jazaakallaahu khairan (bermaksud kepada engkau dan orang tersebut adalah lelaki)
- Jazaakillaahu khairan (bermaksud kepada engkau dan orang tersebut adalah perempuan)
- Jazaakumullahu khairan (bermaksud kepada kamu semua dan boleh untuk lelaki dan perempuan)
Jawapan atau Balasan kepada Ucapan “Jazaakallaah“
Cara menjawab kalimah yang bagus ini adalah dengan mengulangi kalimah tersebut iaitu dengan membalasnya dengan mengucapkan:
“Wa Jazaakallaahu Khairan”
yang bermaksud “dan semoga Allah juga membalasmu dengan kebaikan” atau membalasnya dengan ucapan “Wa Iyyakum” yang bermaksud “sebagaimana kami mendapat kebaikan, semoga kamu juga.”
Hikmah Berterima Kasih
Berterima kasih menandakan bahawa kita bersyukur atas nikmat dan pemberian yang diberikan oleh seseorang.
Apabila mendapat nikmat daripada Allah SWT, ucapkan “Alhamdulillah.”
Ucapan “Alhamdulillah” adalah satu-satunya lafaz yang diajar Allah SWT untuk menzahirkan kesyukuran secara lisan oleh hamba-Nya ke atas nikmat diberikan.
Kesan daripada tanda kesyukuran ini ialah akan bertambah nikmat yang akan diberikan oleh Allah SWT.
Bagi sesama manusia pula, ucapan “Jazaakallahu khairan” merupakan satu doa kepada si pemberi supaya diberikan kebaikan. Adalah menjadi satu adab bagi umat Islam untuk mendoakan kebaikan kepada umat Islam yang lain.
Dalam konteks kesihatan mental, ucapan terima kasih mendatangkan impak yang positif kepada seseorang. Antaranya adalah:
- Meningkatkan kualiti hubungan
- Meningkatkan kesihatan badan
- Meningkatkan harga diri seseorang
- Meningkatkan produktiviti seseorang
- Mencegah kemurungan
- Meningkatkan kualiti hidup
Justeru itu, adalah penting untuk setiap daripada kita menjadikan ucapan terima kasih atau ucapan “jazaakallahu khairan” sebagai amalan dalam kehidupan harian kita.