Ramai sebenarnya tidak mengenali potensi diri mereka dan ada juga yang tercari-cari akan potensi diri mereka sebenarnya. Mengenali diri sendiri adalah kunci untuk kita melihat potensi diri.
Sudah tentu setiap individu mempunyai potensi atau keistimewaan diri yang tersendiri. Mungkin seseorang itu hebat dalam bidang akademik tetapi tidak dalam bidang kemahiran. Mungkin juga seseorang itu hebat dalam bidang kemahiran tetapi kurang dalam bidang akademik.
Perbezaan ini sebenarnya menjadikan dunia ini unik. Perbezaan ini juga menjadikan setiap daripada kita saling melengkapi dan memerlukan.
Kenapa penting untuk mengenali potensi diri?
Setiap orang pasti mempunyai impian. Tetapi tidak semua tahu bagaimana untuk mencapai impian tersebut.
Salah satu cara untuk mencapai impian yang diimpikan itu adalah melalui pengenalan terhadap potensi diri dan memanfaatkan potensi tersebut untuk berjaya.
Mengenali potensi diri menjadikan seseorang itu hebat. Orang yang hebat boleh membantu dirinya, keluarganya, tempat kerjanya, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Justeru itu, manfaatkan cara mengenali potensi diri ini untuk anda berjaya dan menjadi seorang yang lebih baik.
1. Tulis 3 Kekuatan Diri
Langkah pertama adalah menulis 3 kekuatan diri anda. Senaraikan kebolehan, kepandaian atau apa sahaja perkara yang anda dapat lakukan dengan cemerlang.
Setiap orang pasti ada kekuatan diri yang tersendiri. Kemahiran juga merupakan satu kekuatan kerana tidak semua orang memiliki kemahiran yang kita ada.
Apabila kita sudah mengetahui apa kekuatan yang ada pada diri kita, kita boleh memanfaatkannya untuk membawa kita menjadi seorang yang berjaya dan hebat.
2. Tulis 3 kelemahan Diri
Langkah yang seterusnya adalah mencatatkan 3 kelemahan diri. Muhasabahlah diri kita untuk mencari apa kelemahan yang ada pada diri kita.
Mungkin pasangan kita boleh membantu melihat kekurangan yang ada pada diri kita.
Setelah mengetahui kelemahan atau kekurangan diri, cuba fikirkan cara untuk mengatasi kelemahan diri tersebut. Atasi kelemahan ini satu persatu.
3. Dengar Kata Hati
Langkah yang seterusnya ialah mendengar kata hati anda. Di sini, anda ingin mengetahui apa yang diinginkan oleh anda sebenarnya.
Untuk menjadi seorang yang berjaya dan hebat, sudah tentu anda perlu melakukan perkara yang anda suka dan seronok melakukannya.
Pada masa yang sama, ia akan mewujudkan minat dan keghairahan dalam melakukan perkara yang anda sukai.
Melalui cara ini, sekiranya anda diuji atau menemui jalan buntu, anda tidak akan mudah mengalah dan berputus asa.
4. Usaha
Setelah anda mengetahui kelebihan diri, kelemahan diri dan kemahuan diri, langkah yang seterusnya adalah mengerakkan usaha yang bersungguh-sungguh ke arah apa yang anda impikan.
Potensi diri seseorang itu tidak akan terbit begitu sahaja tanpa usaha. Anda perlu berusaha ke arahnya.
Pastikan juga usaha anda mengarah ke arah destinasi yang betul. Menjadi seorang petani yang berjaya dengan ahli perniagaan yang berjaya mempunyai laluan berbeza.
Oleh itu, pastikan simpang yang anda pilih itu menuju ke destinasi yang betul.
5. Ilmu
Ilmu adalah pelita hidup. Ilmu juga adalah cahaya yang akan membawa kita ke jalan yang benar.
Menjadi seorang yang hebat dan berjaya juga memerlukan ilmu. Mustahil untuk seseorang itu berjaya tanpa ilmu.
Oleh itu, teruskan menuntut ilmu walaupun ia bukan ilmu formal kerana ilmu itu akan membantu kita daripada mengulangi kesilapan yang sama.
6. Berani untuk Gagal
Harus diingati bahawa perjalanan untuk mencapai potensi diri menjadi seorang yang hebat sudah pasti tidak sempurna.
Anda perlu bersedia untuk menerima kegagalan dan kembali bangkit. Kegagalan adalah guru yang terbaik untuk kita berjaya.
Ramai tokoh-tokoh yang hebat yang menjadikan kegagalan sebagai guru untuk mereka bangkit dan berjaya.
Apa yang penting adalah anda tidak mengalah dan mempelajari kesilapan yang telah dilakukan.
7. Raikan Kejayaan
Setiap orang dilahirkan di atas muka bumi ini mempunyai kehebatan masing-masing. Apa yang dilakukan adalah mengeluarkan potensi diri yang dianugerahkan ini semaksimum mungkin.
Adalah penting untuk menghargai diri sendiri setelah anda berjaya mencapai matlamat yang diinginkan.
Raikan kejayaan anda dengan pasangan, ahli keluarga dan mereka yang sentiasa bersama anda dalam perjuangan anda.
Melalui cara ini, anda akan sentiasa bersemangat dan boleh menjadi contoh kepada orang disekeliling anda untuk turut menjadi seorang yang hebat.
Kesimpulan
Mengenali potensi diri adalah resepi penting untuk berjaya dalam kehidupan. Mengetahui kelebihan dan kekurangan diri adalah langkah-langkah pertama dalam mengejar impian anda.
Seseorang yang hebat dan berjaya juga tahu akan apa yang mereka inginkan dan akan berusaha ke arah itu. Sudah tentu, kejayaan itu mahal harganya. Ia menuntut anda agar mempunyai ilmu, ketabahan dan berani untuk gagal.
Orang yang berjaya adalah orang yang mengenali potensi diri mereka dan memanfaatkan potensi itu untuk berjaya.