Setiap ibu bapa pasti ingin anak mereka berjaya dalam hidup. Anda pasti inginkan yang terbaik buat anak-anak anda. Jadi, bagaimana untuk membantu anak anda berjaya dalam hidup?
Ibu bapa lazimnya menggalakkan anak mereka untuk mendapatkan gred peperiksaan yang baik atau menjadi atlet sukan di sekolah. Perkara-perkara ini menjadi ukuran bagi kebanyakan ibu bapa. Sebenarnya, ibu bapa boleh melakukan banyak lagi untuk membantu anak mereka berjaya dalam hidup.
Maka, artikel ini menyenaraikan beberapa tips atau panduan yang bermanfaat buat ibu bapa yang menginginkan anak-anak mereka untuk berjaya dalam hidup.
Berikut adalah tips yang berkesan untuk membantu anak anda berjaya dalam hidup.
1. Mengekalkan Hubugan yang Erat Antara Ibu Bapa-Anak
Hubungan yang erat antara ibu bapa dengan anak adalah kunci utama kejayaan anak anda. Hubungan yang rapat yang bermula sejak mereka lahir boleh membantu membentuk ikatan yang positif dan selamat.
Anak-anak yang menerima kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk berjaya dalam hidup mereka berbanding mereka yang sering diabaikan.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Marriage and the Family turut menyatakan bahawa kelakuan anak-anak turut dipengaruhi oleh kualiti hubungan antara mereka dengan ibu bapa mereka.
Justeru itu, amatlah penting untuk anda sebagai ibu bapa memastikan hubungan yang erat dan positif dengan anak-anak anda.
2. Menggalakkan Anak Anda Melakukan Kerja Rumah
Menggalakkan anak anda untuk membantu melakukan kerja rumah atau tugasan harian dirumah juga boleh membantu mereka untuk berjaya di masa hadapan.
Aktiviti-aktiviti seperti ini boleh membentuk disiplin dan rasa tanggungjawab dalam diri mereka.
Anda boleh meminta bantuan atau menugaskan kerja-kerja rumah mengikut kesesuaian umur dan kemampuan mereka. Contohnya seperti membantu mencuci pinggan, membantu membuang sampah, menyapu sampah atau mengemaskan tempat tidur.
Melalui cara ini anak anda akan memahami akan rasa tanggungjawab dan sumbangan mereka kepada kesejahteraan hidup secara keseluruhannya.
3. Berpindah atau Tinggal di Kejiranan yang Baik
Berpindah atau tinggal di kejiranan atau komuniti yang baik juga boleh membantu anak anda untuk berjaya dalam hidup.
Rakan-rakan anak anda di kejiranan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi perwatakan anak anda. Oleh itu, sekiranya anda tinggal di kejiranan yang banyak dengan masalah sosial dan vandalisme, besar kemungkinan anak anda juga boleh turut terpengaruh.
4. Didik Anak Kecil Skil Akademik yang Asas
Didikan awal anak kecil sebelum alam persekolahan boleh membantu mereka untuk lebih cemerlang dalam akademik apabila telah menjejak kaki di alam persekolahan.
Sekiranya anda ingin membantu anak anda berjaya di sekolah, latih atau galakkan mereka untuk mengeja, mengira atau membaca pada peringkat yang lebih awal.
Luangkan sedikit masa anda untuk melatih atau membantu mereka. Tindakan ini sedikit sebanyak turut mengeratkan hubungan anda dengan anak anda.
5. Tingkatkan Skil Sosial Anak Anda
Mempunyai skil sosial yang kukuh adalah kunci yang mempunyai perkaitan dengan kejayaan dalam pekerjaan, kesejahteraan emosi dan kebebasan.
Bagaimanakah seorang kanak-kanak boleh berjaya dalam hidup jika mereka tidak dapat menyampaikan pandangan mereka dan mengekalkan interaksi positif dengan orang lain?
Kanak-kanak yang mempunyai skil sosial yang lemah boleh berhadapan dengan tekanan (stres) atau kesunyian, yang tidak menyumbang kepada masa depan yang baik.
6. Benarkan Anak Anda Melakukan Kesilapan
Terdapat pepatah yang mengatakan “kesilapan atau kegagalan adalah guru terbaik.”
Untuk membantu anak anda berjaya dalam hidup mereka, benarkan untuk mereka melakukan kesilapan. Jangan terus menghukum sekiranya mereka melakukan kesalahan-kesalahan kecil dan ringan.
Adalah normal untuk gagal dalam ujian, kalah dalam perlawanan atau tidak mendapat tempat pertama dalam pertandingan. Semua itu akan menjadi satu pengalaman berguna buat mereka pada masa hadapan.
Melakukan kesilapan adalah salah satu proses dalam kehidupan. Apa yang penting adalah anda membimbing mereka untuk bangkit daripada kesilapan tersebut. Ia akan menjadi satu pengajaran berguna buat mereka.
7. Jangan Biarkan Mereka untuk Mudah Berputus Asa
Hidup ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Untuk menjadi seorang yang hebat dan berjaya, seseorang itu mestilah tidak mudah berputus asa dan boleh menghadapi cabaran tersebut.
Sekiranya anda ingin melihat anak anda berjaya dalam hidup mereka, persiapkan anak anda untuk menghadapi cabaran tersebut dengan mendidik mereka agar tidak mudah untuk berputus asa.
Sebagai contoh, sekiranya anak anda mengeluh akan kesusahan semasa latihan kokurikulum, jika tiada alasan kukuh untuk berhenti, berikan dorongan untuk mereka meneruskan aktiviti tersebut dengan menekankan kebaikan yang boleh diperolehi.
Begitu juga sekiranya mereka gagal dalam ujian, berikan dorongan dan motivasi untuk mereka berusaha dengan lebih gigih untuk berjaya. Jangan biarkan mereka terus dengan kekecewaan atau berasa rendah diri, sebaliknya bakar semangat mereka untuk terus berusaha.
Ringkasan
Memahami cara yang betul untuk mendidik anak anda boleh membantu mereka untuk lebih berjaya dalam hidup. Tips dan panduan ini boleh membantu anda mengecapi impian untuk melihat anak anda berjaya dalam hidup mereka.