Biografi Imam al-Syafie bagi edisi ini akan menyingkap sedikit sebanyak mengenai latar belakang Imam al-Syafie seperti nama lengkap beliau, asal usul beliau dan keluarga beliau.
Imam al-Syafie atau nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Idris.
Manakala, nama lengkap Imam Syafie pula adalah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafie bin al-Sa’ib bin ‘Ubaid Yazid bin Hasyim bin al-Mutallib bin Abd Manaf bin Qusay.
Beliau bertemu nasab dengan Rasulullah SAW pada datuknya yang kesembilan yang merupakan datuk yang ketiga Nabi Muhammad SAW iaitu Abd Manaf.
Dua orang datuk Imam Syafie juga merupakan sahabat Rasulullah SAW iaitu al-Sa’ib dan Syafi’.
Imam Syafie telah dilahirkan di Gaza, negeri Syam (kini dikenali sebagai Palestin) pada bulan Rejab 150 Hijrah atau 767 Masihi. Menurut pakar sejarah, beliau dilahirkan pada tahun kematian Imam Abu Hanifah.
Ayah dan ibu kepada Imam Syafie berasal dari Makkah. Ayah beliau meninggal dunia semasa ibu dan ayahnya dalam perjalanan menuju ke Palestin. Ketika itu, beliau masih berada di dalam kandungan ibunya.
Ibu Imam Syafie dipanggil Ummu Habibah al-Azdiyah. Isterinya pula bernama Hamdah binti Nafi’ bin ‘Anbasah bin ‘Amr bin ‘Uthman bin ‘Affan.
Menurut Imam al-Nawawi, Imam Syafie adalah seorang yang bersuku Quraisy sekali gus bersuku al-Mutallib, manakala ibunya seorang yang bersuku al-Azdi.
Memiliki Seorang Ibu yang Bijaksana
Kepintaran ibu Imam Syafie dapat dilihat dalam satu peristiwa dimana beliau pernah menjadi saksi bersama seorang perempuan lain dan seorang lelaki. Hakim ingin memisahkan antara mereka berdua (dua perempuan tersebut).
Melihat perkara ini, ibu Imam Syafie berkata kepada hakim tersebut, “Yang arif tidak boleh berbuat seperti ini kerana Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “…..supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi…” (Surah al-Baqarah: 282)
Hakim itu mengikuti pendapat ibu Imam Syafie dalam masalah itu. Ini merupakan bukti kecerdasan seorang ibu kepada ulama besar.
Keluarga Imam Syafie melahirkan ramai tabi’in dan tabi’ tabi’in yang merupakan ulama yang banyak meriwayatkan hadis.
Contohnya seperti:
- Nafi’ bin ‘Ujair bin Abd Yazid
- Abdullah bin ‘Ali bin al-Sa’ib
- Talhah bin Rukanah
- Yazid bin Talhah
- al-Sa’ib bin Yazid bin Rukanah
- Ali bin al-Sa’ib
- Muhammad bin ‘Ali bin Yazid bin Rukanah
- Abdullah bin ‘Ali, al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafie
- Muhammad bin ‘Ali bin Syafie
- Muhammad bin al-‘Abbas
- Abdullah bin Idris bin al-Abbas
- Ibrahim bin Muhammad bin al-Abbas
- Abdullah bin Muhammd bin al-Abbas
Generasi setelah mereka juga masih ramai yang mendengar dan meriwayatkan hadis.
Imam Syafie lahir dalam keluarga yang miskin. Walau bagaimanapun, kemiskinan tersebut tidak menghalang ibunya untuk menghantar beliau belajar di Makkah.
Akhirnya, Imam Syafie lahir sebagai seorang yang alim dan pembaharu dalam hukum Islam.
Mengetahui sedikit sebanyak mengenai latar belakang imam Syafie dapat membantu kita lebih mengenali siapakah imam mazhab yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.