Adakah anda menerima diri anda? Bunyinya mungkin agak janggal, tetapi masih ramai daripada kita masih sukar untuk menerima diri mereka sendiri. Adalah mudah untuk menerima bahagian baik pada diri kita, tetapi bagaimana dengan bahagian yang tidak baik? Sudah pasti ramai yang sukar untuk menerima keburukan atau kegagalan diri mereka.
Penerimaan diri atau menerima diri sendiri adalah penerimaan individu terhadap semua sifat dirinya, positif atau negatif.
Setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza-beza. Apa yang penting adalah belajar untuk menerima diri anda, ia boleh membawa kedamaian dan ketenangan dalam hidup.
Sekiranya anda mengalami kesukaran untuk menerima diri anda, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi membantu anda untuk menerima diri sendiri.
1. Maafkan Diri Sendiri
Sekiranya anda pernah melakukan banyak kesalahan pada masa lalu atau mempunyai perangai atau sikap yang tidak anda banggakan, memaafkan diri sendiri mungkin sukar.
Namun begitu, sekiranya anda memaafkan diri anda, menerima kesilapan yang telah dilakukan dan bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku. Ia adalah pilihan yang lebih baik.
Memaafkan tidak bermakna anda menyokong atau membenarkan tingkah laku yang tidak baik tersebut. Sebaliknya, ia memberikan ruang untuk anda membaiki diri dan menjadi seorang yang lebih baik.
2. Lepaskan Perkara yang Anda Tidak Boleh Ubah
Tidak semua perkara yang berlaku di dunia ini boleh dikawal atau diubah oleh kita. Kebanyakan daripadanya adalah diluar kawalan kita.
Oleh itu, adalah penting untuk tidak fokus kepada perkara yang anda tidak boleh ubah. Tidak perlu membebankan diri anda dengan perkara-perkara diluar kawalan anda.
Sebaliknya, anda hanya perlu fokus terhadap perkara yang dibawah kawalan anda.
3. Kenal Pasti Kekuatan Diri
Setiap orang mempunyai kebolehan atau keistimewaan tersendiri. Keistimewaan ini adalah kekuatan bagi diri mereka.
Buat catatan terhadap perkara-perkara yang anda bagus atau suka lakukan. Contohnya seperti sukan, muzik atau seni. Melakukan aktiviti-aktiviti tersebut boleh membuatkan anda lebih yakin dengan kebolehan diri sendiri.
4. Terima Apa yang Membuatkan Anda Unik
Langkah yang baik untuk bermula ialah memikirkan perkara yang menjadikan anda istimewa. Tanya diri anda bagaimana perbezaan ini boleh memberi manfaat kepada anda pada masa hadapan dan bagaimana ia menambah nilai kepada kehidupan anda.
5. Tetapkan Matlamat
Tetapkan matlamat yang realistik untuk diri anda dan buat perancangan untuk mencapai matlamat tersebut.
Jangan lupa untuk memberikan ganjaran untuk diri sendiri apabila anda telah mencapai matlamat tersebut.
Kaedah ini boleh membantu anda meningkatkan penghargaan diri terhadap diri sendiri.
6. Raikan Pencapaian Anda
Adalah tidak salah untuk anda meraikan pencapaian diri anda.
Bahkan, langkah terbaik adalah membuat senarai mengenai apa yang telah anda kecapi dan tambah pencapaian tersebut dari semasa ke semasa. Letakkan senarai tersebut di tempat yang mudah untuk anda lihat atau baca setiap hari.
Secara tidak langsung, ia akan memotivasikan diri anda dan menjadikan anda seorang yang menghargai diri mereka.
7. Berfikir Secara Positif
Untuk meningkatkan penerimaan diri sendiri, bercakap dengan baik kepada diri sendiri dan ubah apa-apa pemikiran negatif kepada pemikiran positif.
Jangan terlalu keras pada diri sendiri atau bandingkan diri anda dengan orang lain.
8. Berbuat Baik kepada Diri Sendiri
Pertimbangkan beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk merawat diri sendiri dan menghabiskan masa berkualiti sendirian. Meluangkan masa sendirian membuka ruang untuk anda mengenali diri dan bermuhasabah tentang diri anda.
Selain itu, mendapatkan makanan yang sihat dan seimbang, tidur yang cukup dan kerap bersenam juga adalah langkah yang penting dalam penjagaan diri.
9. Berbuat Baik kepada Orang Lain
Melakukan kerja-kerja amal atau membantu orang lain yang dalam kesusahan boleh membantu anda lebih menghargai diri sendiri.
10. Dapatkan Sokongan
Anda boleh berkongsi perasaan anda dengan orang lain yang mempercayai anda. Contohnya seperti ahli keluarga, pasangan atau kawan rapat.
Jauhi orang-orang yang penuh dengan pemikiran negatif dan berkawanlah dengan orang yang menerima dan percaya kepada anda.