Sebagai umat Islam, agama yang suci ini telah menyediakan panduan untuk membantu umatnya menghadapi ujian yang dialami. Amalan zikir adalah salah satu cara yang boleh membantu menguatkan jiwa untuk menghadapi ujian dan dugaan serta membantu untuk menghilangkan stres atau tekanan.
Setiap orang yang hidup di dunia ini pasti akan diuji dan ujiannya berbeza-beza mengikut kemampuannya. Tatkala anda berasa stres dan tertekan, ingatlah setiap kesusahan pasti ada kesenangan.
Bagi membantu ramai daripada kita menangani stres yang dihadapi, beberapa amalan zikir berikut boleh diamalkan tidak kira semasa anda berasa tertekan atau ketika anda berasa senang atau gembira.
Istighfar
atau
atau
Anda boleh memilih salah satu istighfar yang dinyatakan di atas mengikut kemampuan masing-masing. Amalkan membaca istighfar ini tatkala anda berasa tertekan atau tetap membacanya walaupun dalam keadaan tidak tertekan.
Amalkan sebanyak mana yang anda mampu, 33 kali sehari, 70 kali sehari, 100 kali sehari atau 1000 kali sehari.
Sesungguhnya kita adalah makhluk yang tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Insya-Allah, melalui istighfar Allah memberikan kita kelapangan, ketenangan dan mengurangkan rasa tekanan yang dialami.
Kelebihan Zikir Istighfar
Kelebihan zikir istighfar untuk membantu menghilangkan stres atau tekanan ada disebutkan dalam Al-Quran dan Hadis.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagian dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”
Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah
Terdapat juga kisah yang melibatkan seorang ketua Tabi’in, al-Imam al-Hasan al-Basri yang masyhur berkenaan dengan istighfar.
Al-Imam al-Hasan al-Basri merupakan seorang ahli fiqh yang sangat hebat, ahli hadis dan juga dikenali sebagai seorang yang selalu menasihati orang lain.
Beliau sering didatangi oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk meminta nasihat atau bertanyakan hukum.
Pada suatu hari, beliau didatangi seorang lelaki yang mengadu kepadanya kerana masalah kelaparan.
Beliau dengan hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”
Kemudian, datang lagi seorang penduduk yang mengadu masalah ketiadaan zuriat. Beliau turut menjawab, “Isitghfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang seorang lelaki mengadu kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, ”Istighfarlah kepada Allah.”
Jawapan al-Imam al-Hasan al-Basri tersebut menghairankan masyarakat setempat dan menyebabkan salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”
al-Imam al-Hasan al-Basri menjawab, “Aku sama sekali tidak mengatakan apa pun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.” Firman Allah SWT yang dimaksudkan oleh al-Imam al-Hasan al-Basri tersebut adalah Surah Nuh, ayat 10-12.
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.”
Surah Nuh, ayat 10
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
Surah Nuh, ayat 11
“Dan Dia akan memberikan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
Surah Nuh, ayat 12
Iktibar
Sesungguhnya zikir istighfar adalah zikir yang sangat hebat dan luar biasa. Lafazlah dengan ikhlas dari hati anda. Mudah-mudahan Allah SWT menerimanya.