Rakyat Malaysia terkenal dengan sifatnya yang suka bersedekah. Beruntunglah bagi anda yang suka bersedekah kerana ia merupakan amalan yang boleh menyelamatkan kita daripada api neraka. Meskipun begitu, terdapat 8 waktu sedekah paling afdal yang boleh melipat gandakan pahala kita.
Daripada Mu’az bin Jabal r.a., beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang boleh memasukkannya ke dalam syurga dan menjauhkannya dari neraka. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Demi Allah! Sesungguhnya kamu telah bertanya padaku tentang sesuatu yang besar. Sesungguhnya ia memang mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah kepadanya. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai. Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api.” (HR Tirmizi)
Sedekah adalah salah satu amalan yang hebat dan mempunyai banyak ganjarannya. Apa yang lebih menarik adalah, sekiranya sedekah ini dilakukan pada waktu-waktu yang afdal, insyaAllah pahala yang diperolehi berlipat kali ganda dan mudah-mudahan dosa kita diampunkan.
Berikut adalah 8 waktu sedekah paling afdal yang boleh anda rebut atau manfaatkan.
1. Pada Waktu Pagi
Waktu pagi adalah waktu yang afdal untuk bersedekah. Ini bertepatan dengan hadith Rasulullah SAW berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, Ya ALLAH! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa, Ya ALLAH! Berikan kepada orang yang menahan sedekah dan kedekut kemusnahan.”
(HR Bukhari & Muslim, hadis sahih)
2. Ketika Sihat
Seterusnya, banyakkan bersedekah ketika anda masih sihat. Lazimnya, ramai yang sihat akan lalai daripada melakukan kebajikan seperti sedekah.
Apabila diuji dengan kesakitan, barulah mereka akan berkejar-kejar melakukan kebaikan.
Tuntutan bersedekah ketika sihat dinyatakan dalam hadith Rasulullah SAW.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata yang bermaksud:
“Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu pun hartamu pasti akan menjadi milik warismu.” (HR Bukhari, hadis sahih)
3. Ketika Ingin Dimurahkan Rezeki
Jika anda inginkan rezeki anda lebih murah, salah satu caranya adalah dengan bersedekah. Ia juga adalah waktu yang paling afdal untuk anda bersedekah.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 261-262:
Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya (261). Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita (262).”
4. Saat Risau Menjadi Miskin
Walaupun kelihatan pelik, tapi itulah sebenarnya kebesaran Allah SWT. Bersedekah ketika risau akan menjadi miskin sebenarnya menjadikan seorang itu pemurah dan tidak kedekut.
Malah Allah SWT menjamin, sesiapa yang banyak bersedekah tidak akan miskin.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata yang bermaksud:
“Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu pun hartamu pasti akan menjadi milik warismu.” (HR Bukhari, hadis sahih)
5. Pada 10 Hari Terawal Bulan Zulhijjah
10 hari terawal bulan Zulhijjah atau turut dikenali sebagai bulan haji adalah waktu sedekah paling afdal yang patut anda rebut.
Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda: “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (HR Bukhari, hadis sahih)
6. Pada Bulan Ramadan
Bulan Ramadan adalah bulan pesta kebajikan dan bersedekah adalah salah satu amalan yang dituntut untuk dilakukan.
Daripada Anas bin Malik r.a., beliau berkata yang bermaksud:
“Nabi SAW ditanya tentang puasa yang paling utama setelah Ramadan, beliau menjawab, “Bulan Sya’ban untuk memuliakan Ramadan, ” Beliau ditanya lagi, lalu sedekah apa yang paling utama? Beliau menjawab, “Sedekah di bulan Ramadan.” (HR Tirmizi, hadis dhaif)
Manakala, daripada Abdullah bin Abbas r.a., beliau berkata yang bermaksud:
“Rasulullah SAW adalah manusia yang paling dermawan dan Baginda akan terlihat lebih dermawan pada bulan Ramadan; ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya setiap malam pada bulan Ramadan dan mengajarkan Al-Quran.” Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah SAW ketika ditemui Jibril a.s., lebih dermawan dalam hal kebaikan daripada angin yang berembus.” (HR an-Nasa’i, hadis sahih)
7. Pada Hari Jumaat
Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan bersedekah pada hari Jumaat adalah lebih mulia berbanding hari-hari lain.
Oleh itu, banyakkan bersedekah pada hari Jumaat.
8. Ketika Masih Hidup
Sesungguhnya, selagi nyawa masih dikandung badan, buatlah amal kebajikan termasuklah bersedekah. Kelak, kita tidak akan menyesal apabila ajal telah tiba.
Firman Allah SWT dalam surah al-Munafiqun ayat 10 yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kematianku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.”
Setiap daripada kita dikurniakan bentuk nikmat dan rezeki yang berbeza-beza daripada Allah SWT. Maka, jalan untuk memanfaatkan rezeki itu juga berlainan.
Sedekah bukan hanya melalui wang ringgit sahaja, tetapi berzikir, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran juga merupakan bentuk-bentuk sedekah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Wajib bagi setiap muslim untuk bersedekah.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana jika tidak mampu?” Baginda bersabda: “Berusaha dengan tangannya, sehingga dia boleh memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah.” Mereka bertanya, “Bagaimana jika dia tidak mampu?” Baginda bersabda: “Tolong orang yang sangat memerlukan bantuan.” Mereka bertanya, “Bagaimana jika dia tidak mampu? “Baginda bersabda: “Menyuruh untuk melakukan kebaikan atau menyuruh melakukan yang ma’ruf.” Sahabat bertanya, “Bagaimana jika dia tidak mampu?” Baginda bersabda: “Menahan diri dari kejahatan, kerana itu adalah sedekah baginya.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Justeru itu, marilah kita memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk bersedekah. Semoga kita beroleh pahala yang berlipat kali ganda dan keampunan daripada Allah SWT.