Waktu mustajab berdoa adalah waktu yang mana peluang untuk doa seseorang itu dimakbulkan adalah tinggi. Mustajab bermaksud berjawab atau dikabulkan.
Sudah pasti setiap daripada kita mempunyai permintaan atau permohonan tersendiri yang ingin dipinta daripada Allah Azzawajalla.
Hak untuk menerima atau tidak menerima sesuatu doa itu adalah hak mutlak Allah SWT. Meskipun begitu, sebagai seorang hamba, kita disarankan untuk meminta daripada Allah SWT dan Allah SWT menyukai sesiapa yang meminta daripada-Nya.
Selain usaha dan tawakal, berdoa adalah satu cara untuk mencapai sesuatu hajat dan permintaan. Tidak kira apa pun status kita, kaya atau miskin, berdoalah kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan rendah diri.
Insya-Allah, doa dan permintaan kita akan dikabulkan oleh-Nya.
Jika anda ingin meningkatkan peluang untuk doa dan permintaan anda untuk dikabulkan, maka rebutlah peluang pada waktu-waktu mustajab berdoa yang disenaraikan ini:
1. Waktu Mustajab Ketika Solat
Terdapat waktu mustajab berdoa yang boleh direbut sebelum solat, ketika solat atau selepas solat.
Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang bermaksud:
“Jarak yang paling dekat antara seorang hamba dengan Rabbnya ialah ketika sujud. Maka perbanyaklah doa (di waktu itu).” (HR Muslim)
Antara waktu-waktu mustajab berdoa yang berkaitan dengan solat adalah:
- Antara azan dan iqamah
- Ketika berdiri memulakan solat
- Ketika selesai menunaikan solat
- Ketika sujud dalam solat
- Ketika iktidal akhir dalam solat
- Selepas solat Subuh sebelum terbit matahari
- Antara waktu Zohor dan Asar
- Selepas waktu Asar sehingga terbenam matahari terutamanya pada hari Jumaat
- Setiap selepas solat Fardhu
- Semasa imam bangun untuk membaca khutbah sehingga selesai solat Jumaat
- Waktu imam membaca Al-Fatihah sehingga “Aaminn” pada solat Jumaat
Harus diingat juga, sekiranya anda ingin berdoa ketika dalam solat, haruslah berdoa dalam bahasa Arab atau berdoa di dalam hati jika menggunakan bahasa Melayu bagi mengelakkan solat terbatal.
2. Waktu Mustajab Pada Malam Hari
Selain itu, terdapat juga waktu-waktu yang mustajab berdoa pada malam hari tertentu. Maka manfaatkan malam-malam ini dengan permohonan dan permintaan kepada-Nya.
Antara waktu-waktu mustajab pada malam hari adalah:
- Malam Lailatul qadar
- Malam Aidilfitri
- Malam Aidiladha
- Malam Nisfu Syaaban
- Malam 10 Muharam
- Malam Jumaat
- Pada pertengahan malam
- Sepertiga malam yang akhir (waktu sahur)
Manfaatkan waktu-waktu ini terutamanya waktu malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan membanyakkan berdoa kepada Allah SWT.
Ramai umat Islam pada masa ini mengabaikan waktu mustajab ini dengan perkara-perkara yang melalaikan seperti bermain mercun, bunga api dan melakukan perkara yang tidak berfaedah.
Maka, rugilah jika kita tidak merebut peluang tersebut.
3. Waktu Mustajab Pada Hari Tertentu
Terdapat juga hari-hari tertentu yang sangat disarankan untuk kita berdoa. Hari-hari yang mustajab berdoa ini adalah:
- Sepanjang hari Jumaat
- Hari-hari Arafah
- Ketika berpuasa dan berbuka puasa
- Sepanjang hari pada bulan Ramadan
- Semasa hari bermusafir
4. Waktu Mustajab Ketika Sesuatu Peristiwa
Tambahan itu juga, kita juga boleh memanfaatkan beberapa peristiwa dengan berdoa. Peristiwa-peristiwa ini juga merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa:
- Ketika hujan turun
- Semasa Lailatul qadar
- Ketika mengelilingi Kaabah
- Ketika khatam Al-Quran
- Ketika wuquf di Arafah
- Ketika dalam peperangan atau darurat
Kesimpulan
Doa adalah senjata umat Islam yang tiada tolok-bandingnya. Malah, Allah SWT menyuruh dan menyukai hamba-Nya yang meminta-minta daripada-Nya.
Sudah semestinya kita ingin doa kita didengari dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Maka, rebutlah peluang pada waktu-waktu mustajab untuk berdoa ini dengan meminta apa yang dihajati.