Setiap ahli profesional kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing terutamanya jika melibatkan rawatan kesihatan mental.
Untuk makluman anda, berikut adalah tugas dan tanggungjawab pasukan rawatan kesihatan mental di klinik kesihatan KKM:
Pegawai Kesihatan Primer / NCD
Pegawai kesihatan primer turut bertindak sebagai setiausaha bersama dan jawatankuasa kesihatan mental peringkat negeri.
Selain itu, pegawai kesihatan primer turut berperanan dalam:
- Merancang, melaksana dan menilai program rawatan kesihatan mental.
- Mengenalpasti anggota yang terlibat untuk latihan, memberi latihan teknikal kepada anggota klinik kesihatan dan memastikan penempatan klinikal dilaksanakan.
- Merancang pengagihan peruntukan beserta dengan arahan yang spesifik.
- Memberi maklumbalas perkembangan projek kepada KKM.
- Mengkoordinasi aktiviti promosi kepada masyarakat melalui media elektronik / cetak.
- Menyalurkan maklumat teknikal kepada klinik-klinik kesihatan yang menjalankan program rawatan pesakit mental.
- Membuat lawatan dan memberi khidmat nasihat teknikal kepada program rawatan pesakit mental sekurang-kurangnya sekali setahun.
Pegawai Kesihatan Daerah
Pegawai kesihatan daerah pula bertanggungjawab dalam merancang strategi serta pelaksanaan program rawatan pesakit mental dalam daerah.
Selain itu, pegawai kesihatan daerah turut bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Teknikal di peringkat daerah yang dikenalpasti dapat membantu dalam menjayakan program rawatan pesakit mental.
Pegawai kesihatan daerah turut mempunyai tugasan seperti:
- Merancang dan mengagih peruntukan kewangan yang diperlukan bagi perlaksanaan program rawatan kesihatan mental, termasuklah peruntukan ubat-ubatan.
- Merancang latihan bagi meningkatkan kemahiran dalam pengurusan klien dengan berkesan.
- Merancang kempen serta program untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan komuniti dalam program rawatan kesihatan mental.
- Pemantauan berkala terhadap keberkesanan program rawatan kesihatan mental.
- Memberi maklumbalas mengenai program rawatan kesihatan mental kepada pihak negeri.
Pakar Perubatan Keluarga / Pegawai Perubatan & Kesihatan
Pakar perubatan keluarga berperanan dalam mengetuai program rawatan kesihatan mental di klinik kesihatan.
Pakar perubatan keluarga juga adalah anggota Jawatankuasa Teknikal di peringkat daerah dan membantu dalam merancang, melaksana dan menilai program rawatan kesihatan mental.
Di samping itu, pakar perubatan keluarga turut bertanggungjawab dalam:
- Menjalankan pemeriksaan klinikal dan membuat penilaian terhadap pesakit.
- Memberi rawatan perubatan kepada pesakit.
- Memberi pendidikan kesihatan dan kaunseling kepada keluarga dan penjaga.
- Memantau dan menilai keberkesanan program rawatan kesihatan mental.
- Memberi input teknikal dan membuat kajian pengumpulan data asas bagi program rawatan kesihatan mental.
Pakar Psikiatri
Pakar psikiatri turut menganggotai Jawatankuasa Teknikal di peringkat daerah dan membantu dalam merancang, melaksana dan menilai program rawatan kesihatan mental.
Selain itu, pakar psikiatri juga turut berperanan dalam:
- Mengadakan perjumpaan berkala dengan anggota kesihatan dalam perlaksanaan dan pemantauan program rawatan kesihatan mental di klinik kesihatan.
- Merancang dan menjalankan latihan kepada anggota yang terlibat.
- Terlibat dalam aktiviti bersama komuniti di dalam memberi kesedaran masyarakat seperti forum awam dan lain-lain.
Pegawai Farmasi / Pembantu Farmasi
Pegawai farmasi atau pembantu farmasi pula bertanggungjawab dalam:
- Memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi untuk keperluan pesakit mental.
- Memberi pendidikan kesihatan tentang ubat-ubatan dan kesan sampingan.
- Mengumpul data mengenai penggunaan ubat-ubatan untuk pesakit mental.
Penyelia Jururawat / Penolong Pegawai Perubatan U36
Penyelia jururawat atau penolong pegawai perubatan U36 pula berperanan dalam membantu menguruskan perkhidmatan Kesihatan Mental dalam Komuniti di peringkat negeri termasuk menyediakan permohonan Dasar Baru / One Off dan pengagihan peruntukan ke daerah.
Selain itu, penyelia jururawat atau penolong pegawai perubatan U36 juga perlu menghadiri mesyuarat, perbincangan seminar dan lawatan penyeliaan berhubung Program Kesihatan Mental.
Antara tugas-tugas lain penyelia jururawat atau penolong pegawai perubatan U36 adalah:
- Merancang dan menjalankan aktiviti latihan seperti bengkel, seminar dan kursus.
- Mengumpul dan mengemaskini data-data dan maklumat berhubung dengan perkhidmatan Kesihatan Mental dan menghantar kepada Unit Kesihatan Mental Bahagian Kawalan Penyakit KKM.
- Membantu merancang dan melaksanakan aktiviti penyelidikan berhubung dengan Kesihatan Mental.
- Menyediakan laporan tahunan, laporan maklumbalas, laporan aktiviti tertentu dan lain-lain yang dikehendaki dari masa ke semasa.
- Menyediakan dan mengagihkan buku-buku panduan dan bahan-bahan pendidikan kesihatan yang berkaitan ke daerah / klinik kesihatan.
Ketua Jururawat / Penolong Pegawai Perubatan U32
Ketua jururawat atau penolong pegawai perubatan U32 pula mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti berikut:
- Merancang dan melaksanakan program rawatan Kesihatan Mental di peringkat daerah / klinik kesihatan.
- Merancang dan menyelaras kursus / latihan bagi anggota terlibat.
- Membimbing dan memberi dorongan kepada anggota kesihatan yang menjalankan tugas.
- Merancang peruntukan perbelanjaan dengan Pegawai Kesihatan Daerah dan Pakar Perubatan Keluarga / Pegawai Perubatan dan Kesihatan.
- Bekerjasama dengan Pegawai Kesihatan Daerah dan Pakar Perubatan Keluarga / Pegawai Perubatan dan Kesihatan dalam pemantauan dan penilaian program di peringkat daerah / klinik kesihatan.
- Bekerjasama dengan lain agensi yang berkaitan seperti NGO dalam aktiviti kesedaran kesihatan mental dalam komuniti.
Jururawat Terlatih / Jururawat Kesihatan / Penolong Pegawai Perubatan U29
Jururawat terlatih atau jururawat kesihatan atau penolong pegawai perubatan U29 pula perlu merancang aktiviti pengurusan pesakit dengan menggunakan rekod kemajuan pesakit dalam menjalankan aktiviti harian.
Selain itu, mereka turut berperanan dalam:
- Memberi khidmat nasihat / kaunseling kepada ibu bapa mengenai jagaan untuk mengelakkan ‘relaps’. Contohnya pengambilan ubat, kesan sampingan, tanda-tanda ‘relaps’.
- Merujuk kes yang disyaki mengalami ‘relaps’ kepada Pegawai Perubatan dan agensi berkaitan.
- Mengambil bahagian dalam pengumpulan data asas dan keberkesanan program.
Jururawat Masyarakat / Pembantu Kesihatan Awam
Jururawat masyarakat atau pembantu kesihatan awam bertanggungjawab untuk membuat panggilan telefon atau mengadakan lawatan ke rumah untuk tindak susul kes keciciran.
Selain itu, jururawat masyarakat atau pembantu kesihatan awam perlu membantu dalam mendapatkan sokongan keluarga dan masyarakat untuk memastikan pesakit mental meneruskan rawatan di klinik kesihatan.
Pembantu Perawatan Kesihatan
Pembantu perawatan kesihatan mempunyai tugasan seperti berikut:
- Mendaftar pesakit ke dalam Buku Daftar PL 102.
- Memberi tarikh temujanji berikutnya dan menulis ke dalam buku Daftar Perkhidmatan Rawatan Kesihatan Mental (PKM 3/2001 Pin 2007).