Trikotilomania atau turut dipanggil kecelaruan menarik rambut adalah kecelaruan mental yang melibatkan desakan berulang dan tidak dapat ditahan untuk mencabut rambut dari kulit kepala, kening atau bahagian lain badan, walaupun cuba berhenti.
Penghidap trikotilomania tahu bahawa tindakan itu boleh merosakkan tetapi tidak dapat menahan desakan tersebut. Mereka mungkin menarik rambut mereka apabila berasa tertekan (stres) sebagai salah satu cara untuk melegakan mereka.
Tindakan menarik rambut ini boleh menyebabkan keguguran rambut yang banyak seterusnya menyebabkan botak atau botak bertompok. Keadaan ini boleh menyebabkan stigma kemasyarakatan.
Stigma ini mewujudkan persekitaran yang menyebabkan ia kurang dilaporkan, percubaan untuk menyembunyikan kecelaruan ini, dan selalunya pesakit akan mendapatkan rawatan dengan pakar dermatologi sebelum berjumpa pakar psikiatri atau menggantikan pakar psikiatri sepenuhnya.
Apakah Simptom atau Gejala Sekiranya Seseorang itu Menghidap Trikotilomania?
Penghidap kecelaruan menarik rambut ini mungkin akan mengalami beberapa simptom atau gejala berikut:
- Menarik rambut mereka secara berulang-ulang, selalunya tanpa sebarang kesedaran.
- Rasa lega selepas mencabut rambut.
- Ketidakupayaan untuk menghentikan penarikan rambut walaupun berulang kali mencuba untuk berhenti.
- Keresahan dan tekanan yang berkaitan dengan menarik rambut.
- Gesaan untuk melakukan aktiviti lain yang berulang-ulang yang berkaitan dengan rambut (Contohnya seperti mengira atau memulas rambut).
- Mengigit,mengunyah atau memakan rambut yang ditarik.
- Kerengsaan kulit atau kesemutan di bahagian yang terjejas.
- Keguguran rambut yang ketara atau tompok botak akibat tarikan rambut.
- Bermain dengan rambut yang ditarik atau menggosok rambut tersebut di bibir atau muka.
Ramai penghidap kecelaruan menarik rambut turut mencubit kulit, menggigit kuku atau mengunyah bibir mereka.
Selain itu, menarik bulu haiwan piliharaan atau daripada patung boleh menjadi petanda kepada kecelaruan menarik rambut ini.
Penghidap trikotilomania boleh menarik rambut dalam dua situasi iaitu:
- Fokus. Sesetengah orang menarik rambut mereka dengan sengaja untuk melegakan tekanan.
- Automatik. Sesetengah orang menarik rambut mereka tanpa disedari terutamanya semasa mereka bosan, membaca atau menonton televisyen.
Punca atau Penyebab
Punca atau penyebab trikotilomania tidak diketahui dengan jelas. Tetapi, seperti kecelaruan mental yang lain, ia mungkin disumbang oleh beberapa faktor seperti genetik atau persekitaran.
Faktor risiko
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko trikotilomania (kecelaruan menarik rambut) iaitu:
- Keturunan: Faktor genetik juga boleh memainkan peranan dalam perkembangan kecelaruan ini.
- Umur atau usia: Kecelaruan menarik rambut ini biasanya berlaku sebelum atau semasa awal remaja iaitu antara umur 10-13 tahun.
- Tekanan: Tekanan yang terus boleh mencetuskan kecelaruan menarik rambut bagi sesetengah orang.
- Kecelaruan lain: Penghidap kecelaruan menarik rambut boleh menghadapi kecelaruan lain seperti kemurungan, keresahan atau kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).
Diagnosis
Penilaian untuk menentukan sama ada anda mempunyai trikotilomania mungkin termasuk:
- Memeriksa berapa banyak keguguran rambut yang dialami.
- Bertanya dan berbincang mengenai keguguran rambut dengan anda.
- Menyingkirkan punca lain yang menyebabkan menarik rambut atau keguguran rambut melalui ujian yang ditentukan oleh doktor.
- Mengenal pasti sebarang masalah kesihatan fizikal atau mental yang mungkin berkaitan dengan menarik rambut.
- Menggunakan kriteria diagnostik dalam manual Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorder (DSM-5).
Bagaimana Rawatan Trikotilomania?
Ramai yang menghidap trikotilomania ini tidak mendapatkan rawatan bagi masalah kesihatan mental yang dialami oleh mereka.
Kajian yang terhad melaporkan bahawa terapi tingkah laku yang khusus dan ubat-ubatan mungkin berguna dalam merawat kecelaruan ini.
Psikoterapi
Terdapat beberapa terapi yang boleh membantu merawat kecelaruan menrik rambut ini, antaranya adalah:
- Terapi pemulihan tabiat: Menurut satu kajian kes, terapi pemulihan tabiat mungkin berkesan untuk merawat kecelaruan menarik rambut. Terapi ini melibatkan latihan kesedaran, motivasi dan pematuhan, latihan santaian atau latihan generalisasi.
- Terapi kognitif: Terapi ini membantu pesakit mengenal pasti dan menilai kepercayaan terpesong yang mungkin dimiliki berkaitan dengan menarik rambut.
- Terapi penerimaan dan komitmen: Terapi ini membantu pesakit belajar untuk menerima desakan untuk menarik rambut tanpa bertindak menurut desakan tersebut.
Ubat-ubatan
Walaupun tiada ubat khusus yang diluluskan untuk merawat trikotilomania ini, tetapi sesetengah ubat boleh membantu mengurangkan sesetengah simptom yang berlaku.
Contohnya seperti:
- Antidepresi: Ubat yang boleh mengurangkan simptom-simptom seperti kemurungan atau keresahan.
- N-acetylcysteine: Asid amino yang boleh mempengaruhi mood.
- Antipsikotik: Ubat antipsikotik yang boleh membantu mengurangkan simptom-simptom seperti halusinasi, delusi atau pemikiran yang tidak normal.
Rujukan
- Pereyra AD, Saadabadi A. Trichotillomania. [Updated 2021 Aug 6]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK493186/
- Nall, R. (2019). What is trichotillomania? MedicalNewsToday
- Mayo Clinic Staff. (2016). Trichotillomania (hair-pulling disorder). Mayo Clinic