Apa itu Terapi Somatik?
Terapi somatik atau psikoterapi somatik adalah istilah umum kepada terapi-terapi yang memfokuskan hubungan antara minda dan badan. Istilah “somatik” bermaksud “berkaitan dengan badan”.
Terapi somatik juga turut dikenali sebagai “somatic experiencing therapy“. Menggunakan teknik khusus, ahli terapi somatik membantu anda melepaskan sebarang trauma terpendam yang telah “terperangkap” dalam badan anda.
Berbeza dengan terapi kesihatan mental yang standard seperti CBT yang menumpukan pada minda, terapi somatik menggabungkan modaliti berorientasikan badan seperti tarian, pernafasan, dan meditasi untuk menyokong penyembuhan mental.
Pengamal terapi somatik percaya bahawa emosi negatif seseorang seperti yang dialami semasa peristiwa traumatik boleh kekal terkunci di dalam badan.
Jika tidak dilepaskan, emosi negatif ini boleh bertukar menjadi gangguan psikologi atau masalah fizikal, seperti sakit leher atau belakang.
Kesakitan kronik adalah sangat biasa dalam kalangan orang yang telah didiagnosis dengan kecelaruan stres pascatrauma (PTSD).
Jenis-jenis Terapi Somatik
Berikut adalah beberapa bentuk terapi somatik yang paling biasa:
- Somatic experiencing: Terapi jenis ini merawat tindak balas badan terhadap trauma. Sesetengah ahli terapi mungkin meminta anda membincangkan pengalaman traumatik anda, manakala yang lain hanya meminta anda menerangkan sensasi fizikal yang anda rasai semasa peristiwa traumatik.
- Kaedah Hakomi: Terapi jenis ini menggabungkan sumber-sumber saintifik, psikologi dan kerohanian dengan menumpukan kepada 4 konsep teras iaitu kelembutan, tanpa kekerasan, belas kasihan, dan perhatian.
- Psikoterapi sensorimotor: Psikoterapi sensorimotor menggabungkan prinsip daripada psikoterapi, terapi somatik, teori sangkutan, dan neurosains dan teknik daripada kaedah Hakomi.
- Eye Movement Desensitization dan Reprocessing (EMDR): Dalam terapi EMDR, anda mengingati pengalaman traumatik dalam dos yang singkat sambil memfokuskan pada rangsangan luar pada masa yang sama. Contohnya seperti mengimbas kembali pengalaman traumatik semasa menggerakkan mata dari kiri ke kanan.
- Terapi neurosomatik: Terapi jenis ini mengenal pasti sumber ketegangan dan kesakitan fizikal yang tersembunyi dalam sistem saraf, sistem rangka dan tisu lembut. Teknik utama yang digunakan dalam pendekatan ini termasuk urutan, pembetulan postur dan senaman untuk membetulkan ketidakseimbangan.
Keberkesanan Terapi Somatik
Pengamal terapi somatik melihat minda dan badan berkaitan secara intrinsik. Mereka juga percaya bahawa trauma dan emosi negatif yang berpanjangan boleh terperangkap di dalam badan kita dan menjejaskan kesihatan mental kita dengan lebih teruk.
Terapi ini telah didapati berkesan untuk merawat PTSD dalam mempercepatkan penyembuhan daripada peristiwa traumatik.
Berdasarkan kajian yang melibat 63 penghidap PTSD mendapati terapi somatic experiencing menunjukkan keputusan positif dan terapi ini mungkin kaedah terapi yang berkesan untuk PTSD. [1]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan kesan positif terapi somatik jenis EMDR.
Satu kajian semula yang melibatkan 24 kajian mendapati kajian-kajian tersebut menyokong keberkesanan terapi EMDR dalam merawat trauma emosi dan pengalaman hidup negatif yang lain.
7 daripada 10 kajian mendapati terapi EMDR boleh menghasilkan kesan positif lebih cepat berbanding terapi tingkah laku kognitif (CBT). [2]
Menariknya lagi, terdapat kajian yang mendapati terapi somatik boleh merawat kesakitan fizikal.
Ini ditunjukkan dalam kajian oleh pengkaji dari Itali yang mendapati terapi ini berkesan dalam merawat kesakitan pada otot badan dan tisu-tisu penghubung. [3]
Kesesuaian Terapi Ini untuk Merawat Penyakit Kesihatan Mental
Sesiapa sahaja boleh mencuba terapi somatik sebagai alternatif kepada terapi bicara konvensional. Ia digunakan untuk pelbagai masalah kesihatan mental dan fizikal.
Isu-isu kesihatan mental yang boleh menggunakan terapi ini adalah:
- PTSD
- Keresahan
- Kemurungan
- Ketagihan
- Kehibaan
- Stres
- Kemarahan
Isu-isu fizikal yang boleh dirawat dengan terapi ini adalah:
- Kesakitan kronik
- Gangguan penghadaman
- Disfungsi seksual
Oleh sebab tumpuannya pada asas dan kesedaran, terapi ini boleh menjadi pilihan yang berkesan untuk sesiapa sahaja yang ingin lebih berhubung dengan diri sendiri dan pengalaman mereka dalam hidup.
Rujukan
- Brom, D. et al. (2017). Somatic Experiencing for Posttraumatic Stress Disorder: A Randomized Controlled Outcome Study. Journal of traumatic stress.
- Shapiro F. (2014). The role of eye movement desensitization and reprocessing (EMDR) therapy in medicine: addressing the psychological and physical symptoms stemming from adverse life experiences. The Permanente journal.
- Ceccherelli, F. et al. (2006). The therapeutic efficacy of somatic acupuncture is not increased by auriculotherapy: A randomised, blind control study in cervical myofascial pain. Complementary Therapies in Medicine.
- Resnick,A. (2022). What Is Somatic Therapy? verywellmind.