Apa itu Terapi Psikodinamik?
Terapi psikodinamik (PDT) ialah terapi percakapan. Ini bermakna ia berdasarkan konsep bercakap tentang masalah yang boleh membantu orang belajar dan mengembangkan kemahiran yang mereka perlukan untuk menanganinya.
Melalui kerjasama dengan ahli terapi psikodinamik, seseorang dapat memahami dengan lebih baik pemikiran, perasaan dan konflik yang menyumbang kepada tingkah laku mereka.
Pendekatan terapi ini juga berfungsi untuk membantu orang ramai memahami dengan lebih baik beberapa dorongan tak sedar yang kadangkala mempengaruhi cara seseorang berfikir, rasa dan bertindak.
Mempunyai wawasan seperti ini boleh membawa kepada kelegaan simptom, membantu seseorang berasa lebih baik dan membolehkan mereka membuat pilihan yang lebih baik.
Bagaimanakah Ia Berfungsi?
Terapi psikodinamik adalah berdasarkan beberapa prinsip utama berikut:
- Dorongan tak sedar seperti tekanan sosial, psikologi dan biologi yang menjejaskan tingkah laku.
- Pengalaman lepas mempengaruhi masa kini.
- Pengalaman membentuk personaliti yang boleh mempengaruhi tindak balas individu terhadap pengalaman itu.
- Memperluaskan rangkaian pilihan dan mempertingkatkan perhubungan peribadi boleh membantu seseorang itu menangani masalah mereka.
- Membangunkan wawasan dan pemahaman emosi boleh membantu individu yang mempunyai masalah psikologi.
- Membebaskan diri mereka daripada masa lalu boleh membantu seseorang itu hidup lebih baik pada masa hadapan.
Dalam terapi psikodinamik, hubungan antara ahli terapi dan pelanggan adalah sangat penting. Ia menyediakan wadah di mana pelanggan boleh mendapatkan wawasan tentang diri mereka, masa lalu dan perasaan mereka. Mereka boleh membangunkan pemahaman yang lebih baik tentang cara mereka melihat dunia dan cara semua faktor ini mempengaruhi pengalaman mereka.
Matlamat Terapi Psikodinamik
Matlamat terapi psikodinamik adalah untuk:
- Meningkatkan kesedaran diri pelanggan (pesakit)
- Memupuk pemahaman tentang pemikiran, perasaan, dan kepercayaan pelanggan berhubung dengan pengalaman masa lalu mereka, terutamanya pengalamannya semasa kecil.
Kegunaan
Terapi psikodinamik boleh digunakan untuk masalah kesihatan mental berikut:
- Keresahan
- Kemurungan
- Kecelaruan personaliti
- Kecelaruan makan
- Masalah interpersonal
- Kecelaruan stres pascatrauma (PTSD)
- Kecelaruan keresahan sosial
- Kecelaruan penyalahgunaan bahan
Terapi dalam talian adalah pilihan lain yang mungkin boleh anda pertimbangkan. Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa terapi psikodinamik dalam talian mungkin berkesan seperti terapi tingkah laku kognitif dalam talian. [1]
Keberkesanan
Menilai keberkesanan terapi psikodinamik mempunyai beberapa cabaran, tetapi penyelidikan menunjukkan bahawa ia mungkin berguna dalam merawat pelbagai masalah psikologi.
Salah satu sebab yang mungkin sukar untuk menilai keberkesanan penuh terapi psikodinamik adalah kerana banyak perubahan yang dihasilkannya sukar untuk diukur.
Walaupun kesukaran ini, penyelidikan menyokong keberkesanan dan penggunaan terapi psikodinamik untuk merawat pelbagai keadaan.
Antaranya adalah:
- Satu kajian melaporkan bahawa terapi psikodinamik adalah berkesan dalam merawat kecelaruan keresahan sosial dalam jangka masa singkat atau jangka masa panjang. [2]
- Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2012 turut melaporkan bahawa terapi psikodinamik didapati sesuai untuk populasi wanita yang mempunyai bayi yang mengalami kemurungan apabila ia diberikan secara individu. [3]
- Satu kajian yang melibatkan pesakit luar anoreksia nervosa melaporkan bahawa terapi psikodinamik tumpuan terbukti mempunyai kelebihan dari segi pemulihan. [4]
- Terdapat juga ulasan kajian yang mendapati terdapat bukti-bukti kajian yang menyokong bahawa terapi psikodinamik adalah berkesan untuk merawat kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) walaupaun terapi tingkah laku kognitif dilihat lebih berkesan. [5]
Rujukan
- Lindegaard, T. et al. (2020). Internet-based psychodynamic therapy vs cognitive behavioural therapy for social anxiety disorder: A preference study. Internet interventions.
- Leichsenring, F. et al. (2014). Long-term outcome of psychodynamic therapy and cognitive-behavioral therapy in social anxiety disorder. The American journal of psychiatry.
- Kurzweil S. (2012). Psychodynamic therapy for depression in women with infants and young children. American journal of psychotherapy.
- Zipfel, S. et al. (2014). Focal psychodynamic therapy, cognitive behaviour therapy, and optimised treatment as usual in outpatients with anorexia nervosa (ANTOP study): randomised controlled trial. Lancet.
- Paintain, E., & Cassidy, S. (2018). First-line therapy for post-traumatic stress disorder: A systematic review of cognitive behavioural therapy and psychodynamic approaches. Counselling and psychotherapy research.