Apa itu Terapi Pendedahan?
Terapi pendedahan ialah sejenis terapi tingkah laku kognitif di mana ahli terapi anda mencipta persekitaran yang selamat untuk mendedahkan anda kepada ketakutan anda.
Ketakutan itu mungkin melibatkan objek, situasi, tempat atau aktiviti. Apabila kita takut sesuatu, kita cenderung untuk mengelak daripada objek, aktiviti atau situasi yang berkaitan dengannya.
Walaupun ini boleh membantu menguruskan panik dalam jangka masa pendek, dari masa ke masa, ia boleh memburukkan ketakutan kita. Selain itu, mengelakkan tempat, situasi dan aktiviti tertentu boleh mengganggu kualiti hidup anda.
Terapi pendedahan membantu menunjukkan kepada anda bahawa anda mampu menghadapi ketakutan anda. Ia melibatkan mendedahkan anda kepada sumber ketakutan anda dalam persekitaran yang selamat.
Anda akan belajar untuk memasang kepercayaan baharu yang lebih realistik pada perkara yang anda takuti. Anda akan menjadi lebih selesa dengan pengalaman takut tersebut.
Anda boleh mendapatkan rawatan ini daripada ahli terapi, ahli psikologi atau kaunselor yang terlatih.
Masalah Kesihatan Mental yang Boleh Dirawat oleh Terapi Pendedahan
Terapi pendedahan berguna dalam merawat beberapa masalah kesihatan mental seperti:
- Gangguan stres akut
- Kecelaruan stres pasca-trauma (PTSD)
- Kecelaruan keresahan menyeluruh (GAD)
- Agorafobia dan fobia-fobia yang lain
- Kecelaruan obsesif kompulsif (OCD)
- Kecelaruan panik
- Kecelaruan keresahan sosial
Jenis-jenis Terapi Pendedahan
Menurut Persatuan Psikologi Amerika, terdapat beberapa variasi terapi pendedahan seperti:
- Pendedahan khayalan: Terapi ini melibatkan anda perlu membayangkan objek, situasi atau aktiviti yang ditakuti dengan jelas. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami kecelaruan stres pascatrauma mungkin diminta mengingat dan menerangkan pengalaman traumatiknya untuk mengurangkan perasaan takut.
- Pendedahan in vivo: Terapi ini melibatkan anda perlu menghadap terus objek, situasi atau aktiviti yang digeruni dalam kehidupan sebenar. Sebagai contoh, seseorang yang takut kepada ular mungkin diarahkan untuk mengendalikan ular, atau seseorang yang mempunyai kebimbangan sosial mungkin diarahkan untuk memberi ucapan di hadapan khalayak.
- Pendedahan interoseptif: Terapi ini melibatkan mencetuskan gejala fizikal yang berkembang apabila anda mengalami panik atau ketakutan yang teruk. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami kecelaruan panik mungkin diarahkan untuk berlari di tempatnya untuk mempercepatkan jantungnya. Maka, ia mengetahui bahawa sensasi ini tidak berbahaya.
- Terapi pendedahan realiti maya (VRE): Terapi ini menggunakan teknologi realiti maya untuk mensimulasikan perkara, situasi atau aktiviti yang anda takuti. Ia berguna untuk situasi di mana pendedahan secara bersemuka (in vivo) tidak praktikal seperti anda takut menaiki kapal terbang (aerofobia).
Bagaimana Terapi Pendedahan Berfungsi?
Ahli terapi akan bertanya soalan tentang ketakutan dan kebimbangan anda untuk lebih memahami pengalaman anda. Bersama-sama, anda akan membuat rancangan untuk terapi pendedahan anda.
Butiran rawatan anda akan berbeza-beza berdasarkan jenis terapi pendedahan yang anda lakukan dan jenis ketakutan atau kebimbangan khusus anda.
Ahli terapi anda mungkin memberikan anda kerja rumah untuk dilakukan mengikut masa anda sendiri. Atau anda boleh melakukannya dengan mereka di pejabat seperti terapi pendedahan khayalan atau terapi pendedahan realiti maya.
Semasa pendedahan, anda akan mencari dan menghadapi perkara yang anda takuti. Anda akan kekal berdekatan atau berhubung dengannya sehingga kebimbangan anda beransur-ansur hilang.
Anda akan menjalani beberapa aktiviti pendedahan dari semasa ke semasa dalam proses rawatan ini.
Ahli terapi biasanya bermula dengan pendedahan ringan hingga sederhana, seterusnya meningkat ke paras yang lebih kuat.
Berapa Lama Anda Perlu Menjalani Terapi Pendedahan?
Tempoh terapi pendedahan bergantung kepada:
- Keterukan ketakutan atau keresahan (kebimbangan) anda
- Kekompleksan keadaan kesihatan mental anda
- Kesanggupan anda untuk memberikan komitmen terhadap terapi tersebut
Sesetengah orang mungkin memerlukan beberapa sesi sahaja, manakala sesetengah yang lain mungkin memerlukan lebih banyak sesi.
Adakah Terapi Ini Berkesan?
Terdapat penyelidikan-penyelidikan yang menyokong keberkesanan terapi pendedahan untuk merawat kecelaruan keresahan, terutamanya untuk merawat fobia.
- Fobia: Satu kajian semula yang melibatkan 33 kajian mendedahkan bahawa pendedahan in vivo didapati paling berkesan untuk merawat pelbagai bentuk fobia. [1]
- Kecelaruan stres pascatrauma (PTSD): Satu kajian semula pada 2016 menunjukkan bahawa terapi pendedahan adalah salah satu rawatan untuk PTSD yang paling banyak disokong kajian. [2]
- Kecelaruan keresahan dalam kalangan kanak-kanak: Satu analisis pada 2020 melaporkan bahawa 91% kejayaan rawatan kecelaruan keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menggunakan terapi pendedahan. [3]
- Serangan panik: Satu percubaan klinikal kecil mendapati rawatan pendedahan sebanyak 3 sesi bersama ahli terapi adalah berkesan dalam merawat serangan panik dalam satu kumpulan seramai 8 orang. [4]
Rujukan
- Thng, C. E. W. et al. (2020). Recent developments in the intervention of specific phobia among adults: a rapid review. F1000Research.
- Lancaster, C. L. et al. (2016). Posttraumatic Stress Disorder: Overview of Evidence-Based Assessment and Treatment. Journal of clinical medicine.
- Schopf, K. et al. (2020). The role of exposure in the treatment of anxiety in children and adolescents: protocol of a systematic review and meta-analysis. Systematic reviews.
- Hall, C. B., & Lundh, L. G. (2019). Brief Therapist-Guided Exposure Treatment of Panic Attacks: A Pilot Study. Behavior modification.