Apa itu Terapi Keluarga?
Terapi keluarga ialah satu bentuk psikoterapi berkumpulan (terapi bicara) yang memfokuskan kepada penambahbaikan hubungan dan tingkah laku antara ahli keluarga.
Terapi keluarga direka untuk membantu dengan isu yang secara khusus mempengaruhi kesihatan mental dan fungsi keluarga.
Ia boleh membantu setiap ahli keluarga membina hubungan yang lebih kukuh, meningkatkan komunikasi dan mengurus konflik dalam sistem keluarga.
Dengan menambah baik cara ahli keluarga berinteraksi dan berhubung antara satu sama lain, terapi keluarga boleh memupuk perubahan dalam perhubungan antara ahli keluarga.
Terapi keluarga dijalankan dengan ahli profesional kesihatan mental yang terlatih dan berlesen seperti ahli psikologi, ahli terapi atau kaunselor, yang mempunyai pengetahuan khusus dalam berurusan dengan keluarga.
Beberapa matlamat utama terapi keluarga adalah untuk mewujudkan persekitaran rumah yang lebih baik, menyelesaikan isu keluarga dan memahami isu unik yang mungkin dihadapi oleh sesebuah keluarga.
Jenis-jenis Terapi Keluarga
Ahli profesional kesihatan mental menggunakan beberapa jenis terapi keluarga dan ramai yang pakar dalam jenis tertentu.
Pemilihan jenis terapi bergantung pada keperluan dan keadaan keluarga tersebut. Ahli terapi boleh menggabungkan unsur-unsur daripada pendekatan terapeutik yang berbeza untuk memenuhi keperluan anda.
Berikut adalah jenis-jenis terapi keluarga:
- Terapi Sistem Keluarga: Terapi jenis ini menggunakan pendekatan yang memberi tumpuan kepada membantu orang ramai menggunakan kekuatan hubungan mereka untuk mengatasi masalah kesihatan mental.
- Kaunseling Perkahwinan / Terapi Pasangan: Terapi ini melibatkan anda dan pasangan. Kaunselor yang dilatih secara khusus akan membantu pasangan menentukan masalah mereka dan mencari penyelesaian.
- Terapi Keluarga Fungsian (FFT): Ini adalah rawatan jangka pendek yang sering digunakan untuk golongan muda yang mengalami masalah dengan tingkah laku berisiko, keganasan atau penyalahgunaan bahan. Ia membantu remaja dan keluarga mencari penyelesaian sambil membina kepercayaan dan rasa hormat kepada setiap individu.
- Terapi Keluarga Strategik: Ini adalah terapi keluarga jangka pendek yang memberi tumpuan kepada membuat perubahan struktur dan tingkah laku yang positif dalam persekitaran keluarga. Ia berdasarkan asas bahawa keluarga memainkan peranan paling penting dalam kehidupan dan perkembangan kanak-kanak.
- Terapi Keluarga Menyokong: Terapi jenis ini memberi tumpuan kepada mewujudkan persekitaran yang selamat di mana ahli keluarga boleh berkongsi secara terbuka apa yang mereka rasa dan mendapat sokongan daripada keluarga mereka.
Isu-isu yang Boleh Dibantu oleh Terapi Keluarga
Terapi keluarga boleh membantu orang yang mempunyai pelbagai masalah atau isu. Sebahagian daripadanya adalah:
- Masalah tigkah laku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja
- Masalah komunikasi
- Perubahan dalam keluarga
- Kematian orang tersayang
- Penceraian, perpisahan atau masalah perkahwinan
- Isu keibubapaan
- Konflik ibu bapa dan anak
- Trauma
- Masalah antara adik beradik
- Peristiwa yang menekankan
Teknik yang Digunakan dalam Terapi Keluarga
Teknik yang digunakan dalam terapi keluarga biasanya bergantung kepada ahli terapi dan keperluan khusus keluarga.
Beberapa kaedah yang mungkin digunakan adalah:
- Teknik Tingkah Laku: Kaedah ini sering memberi tumpuan kepada latihan kemahiran untuk membantu ahli keluarga menangani masalah tertentu.
- Teknik Struktur: Kaedah ini memberi tumpuan kepada membantu ahli keluarga dengan sempadan dan dinamik kuasa dalam keluarga. Teknik ini boleh membantu keluarga mewujudkan sempadan baharu dan mewujudkan rutin yang meningkatkan cara keluarga berfungsi.
- Teknik Psikodinamik: Kaedah ini melibatkan penilaian bagaimana setiap ahli keluarga mentafsir dan bertindak balas terhadap masalah yang mereka hadapi.
Adakah Terapi Keluarga Berkesan?
Penyelidikan menunjukkan bahawa terapi keluarga berkesan untuk pelbagai tujuan.
Kajian semula pada 2018 mendapati bahawa terapi keluarga berguna dalam merawat masalah melibatkan orang dewasa seperti gangguan hubungan, keganasan pasangan, kecelaruan mood, kecelaruan keresahan, psikosis, isu alkohol dan pelarasan kepada penyakit fizikal yang kronik. [1]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati terapi keluarga membantu meningkatkan pelbagai bahagian fungsi keluarga untuk membantu remaja yang mengalami masalah kesihatan mental. [2]
Satu kajian semula pada tahun 2019 mendapati bahawa terapi keluarga menunjukkan keberkesanan dalam merawat masalah tingkah laku, masalah emosi, gangguan pemakanan, masalah somatik dan pemulihan daripada penderaan atau pengabaian. [3]
Rujukan
- Carr, A. (2016). How and Why Do Family and Systemic Therapies Work?. Aust N Z J Fam Ther.
- Jiménez, L. et al. (2019). Effectiveness of Structural⁻Strategic Family Therapy in the Treatment of Adolescents with Mental Health Problems and Their Families. International journal of environmental research and public health.
- Carr, A. (2019). Family therapy and systemic interventions for child-focused problems: the current evidence base. Journal of Family Therapy.