Apa itu Terapi Kelompok?
Terapi kelompok ialah satu bentuk psikoterapi yang melibatkan satu atau lebih ahli terapi bekerja dengan beberapa orang pada masa yang sama.
Terapi jenis ini tersedia secara meluas di pelbagai lokasi termasuk hospital, klinik kesihatan mental dan pusat komuniti.
Biasanya, kelompok atau kumpulan ini bertemu selama satu atau dua jam setiap minggu. Sesetengah orang menghadiri terapi individu sebagai tambahan kepada terapi kelompok, manakala yang lain mengambil bahagian dalam kelompok sahaja.
Jenis-jenis Terapi Kelompok
Terapi kelompok boleh dikategorikan kepada jenis yang berbeza-beza bergantung kepada keadaan kesihatan mental yang ingin dirawat serta kaedah klinikal yang digunakan semasa terapi.
Jenis terapi kelompok yang paling biasa termasuk:
- Kelompok tingkah laku kognitif: Terapi jenis ini mengenal pasti dan mengubah corak pemikiran, tindak balas emosi dan tingkah laku yang tidak tepat atau terpesong.
- Kelompok interpersonal: Terapi ini memfokuskan pada hubungan interpersonal dan interaksi sosial, termasuk berapa banyak sokongan yang anda miliki daripada orang lain dan kesan hubungan ini terhadap kesihatan mental.
- Kelompok pembangunan kemahiran: Terapi ini menumpukan pada meningkatkan kemahiran sosial pada orang yang mengalami gangguan mental atau ketidakupayaan perkembangan.
- Kelompok psikopendidikan: Terapi ini memberi tumpuan kepada mendidik klien tentang kecelaruan yang mereka hadapi dan cara mengatasinya; selalunya berdasarkan prinsip terapi tingkah laku kognitif.
- Kelompok sokongan: Terapi ini menyediakan pelbagai manfaat untuk orang yang mempunyai pelbagai keadaan kesihatan mental.
Kelompok atau kumpulan boleh menjadi sekecil 3 atau 4 orang, tetapi sesi terapi kelompok selalunya melibatkan sekitar 8 hingga 12 orang.
Perjumpaan bagi terapi ini mungkin dijalankan secara terbuka atau tertutup. Peserta baharu dialu-alukan untuk menyertai sesi terbuka pada bila-bila masa.
Hanya ahli kumpulan teras yang dijemput untuk mengambil bahagian dalam sesi tertutup.
Teknik Terapi Kelompok
Lazimnya, bagi sesi terapi ini, ahli kumpulan akan bertemu di dalam bilik di mana kerusi disusun dalam bulatan besar supaya ahli dapat melihat setiap orang lain dalam kumpulan.
Cara tepat bagaimana sesi dijalankan dan sebarang aktiviti bergantung pada matlamat kumpulan dan gaya ahli terapi.
Antara aktiviti-aktiviti yang lazim dilakukan adalah:
- Aktiviti berkenalan bagi membolehkan ahli kumpulan mengenali satu sama lain.
- Aktiviti berkongsi di mana ahli kumpulan akan bertanyakan soalan antara satu sama lain.
- Aktiviti kesyukuran seperti memetakan pelbagai aspek kehidupan mereka yang mereka syukuri.
- Aktiviti pemvisualan matlamat boleh membantu ahli menetapkan matlamat dan membuat rancangan untuk mencapainya.
- Aktiviti penulisan ekspresif untuk meneroka pengalaman dan emosi yang berkaitan dengan peristiwa tersebut
Manfaat atau Kebaikan Terapi Kelompok
Menyertai kelompok orang yang tidak dikenali mungkin terdengar mengerunkan pada mulanya, tetapi terapi kelompok memberikan faedah yang mungkin tidak diberikan oleh terapi individu.
Kumpulan boleh bertindak sebagai rangkaian sokongan. Ahli kumpulan lain boleh membantu anda menghasilkan idea khusus untuk memperbaiki situasi yang sukar atau cabaran hidup, serta memastikan anda bertanggungjawab sepanjang perjalanan.
Bercakap dan mendengar orang lain secara kerap juga membantu anda meletakkan masalah anda dalam perspektif.
Ramai orang mengalami masalah kesihatan mental, tetapi hanya sedikit yang bercakap secara terbuka tentangnya kepada orang yang tidak mereka kenali.
Ia boleh menjadi kelegaan untuk mendengar orang lain membincangkan perkara yang mereka alami dan menyedari bahawa anda tidak bersendirian.
Kepelbagaian adalah satu lagi manfaat penting terapi kelompok. Setiap orang mempunyai personaliti dan latar belakang yang berbeza, dan mereka melihat situasi dengan cara yang berbeza.
Dengan melihat cara orang lain menangani masalah dan membuat perubahan positif, anda boleh menemui pelbagai strategi untuk menghadapi kebimbangan anda sendiri.
Keadaan Kesihatan Mental yang Boleh Dirawat Oleh Terapi Kelompok
Terapi kelompok lazimnya mengutamakan keadaan kesihatan mental tertentu sepeti kemurungan dan keresahan sosial.
Contohnya seperti:
- Kecelaruan keresahan menyeluruh
- Kecelaruan panik
- Kecelaruan stres pascatrauma
- Fobia
- Kemurungan
- Gangguan kurang tumpuan dan hiperaktif
- Penyalahgunaan bahan
Selain itu, terapi ini juga bermanfaat kepada:
- Obesiti
- Penyakit kronik
- Kehibaan
- Pengurusan marah
- Pengurangan berat badan
- Kekejaman domestik
- Pengurangan berat badan
Keberkesanan
Keberkesanan terapi ini dapat dilihat dalam beberapa kajian atau penyelidikan.
Satu kajian yang diterbitkan pada 2014 mendapati 44% daripada pesakit melaporkan peningkatan yang ketara. Kadar keciciran untuk rawatan berkuelompok adalah tinggi, bagaimanapun iaitu hampir satu daripada lima pesakit berhenti rawatan. [1]
Satu analisis yang melibatkan 329 kajian melaporkan bahawa terapi kelompok adalah setara dengan psikoterapi individu. [2]
Rujukan
- Thimm, J.C. et a. (2014). Effectiveness of cognitive behavioral group therapy for depression in routine practice. BMC Psychiatry.
- Rosendahl, J. et al. (2021). Recent Developments in Group Psychotherapy Research. American journal of psychotherapy.
- Malhotra A, Baker J. Group Therapy. [Updated 2022 Dec 13]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI