Apa itu Terapi Cara Kerja?
Terapi cara kerja atau occupational therapy adalah cabang penjagaan kesihatan yang membantu anda yang mempunyai masalah fizikal, deria atau kognitif.
Rawatan jenis ini boleh membantu jika anda mengalami kesakitan, kecederaan, penyakit, atau ketidakupayaan yang menyukarkan anda untuk melakukan kerja atau kerja sekolah, menjaga diri sendiri, menyelesaikan kerja rumah, bergerak atau mengambil bahagian dalam aktiviti.
Terapi cara kerja mengajar anda cara menyesuaikan diri. Ia boleh membantu anda melaksanakan apa-apa jenis tugasan di sekolah, tempat kerja atau di rumah anda. Anda akan belajar cara menggunakan alatan atau peranti bantuan jika anda memerlukannya.
Matlamat terapi cara kerja adalah untuk membantu orang ramai menjalani kehidupan mereka dengan lebih berdikari.
Biasanya, anda akan dibantu oleh ahli profesional kesihatan yang dipanggil jurupulih pekerjaan. Jurupulih pekerjaan boleh mencari cara untuk mengubah pergerakan anda supaya anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
- Makan tanpa bantuan orang lain
- Menjaga diri atau rumah anda
- Melakukan kerja-kerja pejabat
- Mengambil bahagian dalam aktiviti riadah
- Bersukan
- Mandi dan memakai baju sendiri
- Mengemas rumah atau membasuh pakaian sendiri
Siapa yang Memerlukan Terapi Cara Kerja?
Terapi cara kerja diperlukan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai masalah berikut:
- Kecacatan atau kecederaan semasa lahir
- Kecederaan pada otak atau saraf tunjang
- Masalah pembelajaran
- Demensia atau Parkinson
- Lumpuh
- Autisme
- Artritis reumatoid juvenil
- Osteoartritis
- Penyakit mental seperti kemurungan atau keresahan
- Amputasi (pengkudungan)
- Kanser
- Kecederaan tangan yang teruk
- Sklerosis berbilang
- Palsi serebrum
Bagaimana Terapi Cara Kerja Boleh Membantu?
Matlamat terapi cara kerja adalah untuk meningkatkan kemahiran yang diperlukan untuk menjalani kehidupan secara berdikari.
Terapi ini boleh membantu anda mengatasi batasan mental atau fizikal dan mengurus dengan lebih baik dalam kehidupan seharian.
Ini boleh meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan anda. Ahli keluarga juga boleh mendapatkan petua dan nasihat berguna daripada jurupulih pekerjaan.
Bergantung pada jenis batasan dan keadaan peribadi anda, terapi cara kerja boleh membantu dalam perkara-perkara berikut:
- Latihan semula kemahiran harian seperti memakai baju, mengemas rumah, membasuh pakaian atau menyediakan makanan.
- Senaman pergerakan dan tanggapan
- Belajar dan mempraktikkan kemahiran untuk sekolah, kerja atau masa lapang
- Senaman ingatan dan tumpuan
- Senaman kretif dan manual
- Pengubahsuaian rumah atau tempat kerja
- Bantuan dalam menstrukturkan rutin harian
- Menggunakan bantuan perubatan seperti walker atau prostesis
- Nasihat dan jika perlu, bimbingan untuk ahli keluarga
Dimana Terapi Ini Boleh Didapatkan?
Lazimnya, terapi ini ditawarkan di:
- Hospital kerajaan
- Pusat penjagaan pemulihan
- Sekolah pendidikan khas
- Klinik kesihatan
- Rumah asuhan
- Pusat intervensi awal
- PERKESO
- Pusat pemulihan berasaskan komuniti
- Lawatan ke rumah oleh jurupulih pekerjaan
Rujukan
- InformedHealth.org [Internet]. Cologne, Germany: Institute for Quality and Efficiency in Health Care (IQWiG); 2006-. What is occupational therapy? 2020 Aug 27. Available from: NCBI
- WebMD Editorial Contributor. (2022). What Is Occupational Therapy? WebMD