Stres atau tekanan adalah tindak balas normal manusia yang berlaku kepada sesiapa sahaja. Malah, badan manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk mengalami stres dan bertindak balas terhadapnya. Apabila anda mengalami cabaran (stresor) atau perubahan, badan akan menghasilkan tindak balas fizikal dan mental. Terdapat tanda-tanda stres pada badan yang boleh diperhatikan oleh anda.
Stres boleh menjadi positif atau negatif. Pada sudut positif, stres membuatkan anda sentiasa peka, bermotivasi dan bersedia untuk mengelakkan bahaya. Namun, stres akan menjadi masalah sekiranya stresor berterusan tanpa lega atau tempoh bertenang.
Stres yang berterusan akan memberikan kesan terhadap banyak fungsi dan sistem badan termasuklah keupayaan berfikir, kesihatan fizikal, emosi dan tingkah laku. Mengetahui tanda-tanda stres pada badan boleh membantu anda mengawal dan menguruskannya.
Sekiranya stres tidak dikawal, ia boleh menyumbang kepada masalah yang lebih besar seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, obesiti dan diabetes.
Sistem Saraf Pusat (Otak dan Memori)
Sistem saraf pusat bertanggungjawab terhadap “respons lawan atau lari” badan anda. Dalam otak anda, bahagian otak yang dipanggil hipotalamus akan memberikan isyarat supaya kelenjar andrenal untuk melepaskan hormon stres, adrenalina dan kortisol.
Hormon-hormon ini akan meningkatkan denyutan jantung dan menghantar darah dengan laju ke kawasan yang paling memerlukannya semasa kecemasan seperti otot, jantung dan organ penting yang lain.
Apabila stresor atau ketakutan yang dirasakan hilang, hipotalamus akan mengarahkan semua sistem kembali kepada normal (asal). Tetapi jika sistem saraf pusat gagal untuk kembali kepada normal atau stresor tidak hilang, tindak balas ini akan berterus.
Maka, ia akan menyebabkan beberapa tanda atau simptom kepada badan seperti:
- Sukar untuk memberikan tumpuan
- Sering lupa atau tidak teratur
- Bimbang yang berterusan
- Menjadi seorang yang pesimistik
- Depresi
- Serangan panik
- Kesedihan
Sistem Imun
Stres boleh merangsang sistem imun. Rangsangan ini boleh membantu anda mengelakkan jangkitan atau menyembuhkan luka. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan hormos stres boleh melemahkan sistem imun dan mengurangkan tindak balas badan terhadap penceroboh asing.
Mereka yang mengalami stres yang berpanjangan (kronik) lebih rentan kepada penyakit atau jangkitan seperti:
- Demam
- Selesema
Tambahan daripada itu juga, perembesan hormon pertumbuhan juga turut dihentikan semasa stres yang teruk.
Sistem Pernafasan dan Kardiovaskular
Stres juga boleh menjejaskan sistem pernafasan dan kardiovaskular. Semasa stres, anda bernafas lebih laju kerana ingin mengagihkan darah yang kaya dengan oksigen ke seluruh badan dengan cepat.
Sekiranya anda sememang telah mempunyai masalah pernafasan seperti asma, stres boleh menyebabkan anda lebih sukar untuk bernafas.
Stres juga boleh menyebabkan jantung anda mengepam dengan lebih laju, salur darah menyempit bagi melencongkan oksigen kepada otot-otot dan meningkatkan tekanan darah.
Stres yang kronik menyebabkan jantung anda terpaksa berkerja dengan kuat pada jangka masa yang lama yang ditambah pula dengan peningkatan tekanan darah. Keadaan ini boleh menyebabkan aritmia jantng dan serangan jantung.
Secara ringkasnya, kesan stres terhadap sistem pernafasan dan kardiovaskular boleh menyebabkan tanda-tanda atau risiko seperti berikut:
- Kesukaran bernafas
- Tekanan darah tinggi
- Aritmia jantung
- Serangan jantung
- Strok
- Merangsang pembekuan darah
- Penyakit arteri koronari
Sistem Penghadaman
Semasa stres, hati akan menghasilkan gula darah (glukosa) yang lebih bertujuan untuk memberikan anda rangsangan tenaga. Namun, dalam situasi stres yang kronik, keadaan ini boleh menyebabkan badan anda mempunyai paras gula darah yang tinggi.
Stres yang kronik ini meningkatkan risiko kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Selain itu, stres juga boleh menjejaskan cara makanan melalui badan anda. Keadaan ini boleh menyebabkan tanda-tanda stres pada badan seperti:
- Cirit-birit
- Sembelit
- Loya
- Muntah-muntah
- Sakit perut
- Tidak lalu makan
Sistem Otot
Otot-otot anda juga akan tegang semasa stres bagi mengelakkan kecederaan. Otot-otot ini akan kembali kendur apabila anda telah bertenang atau tidak lagi dalam keadaan stres.
Otot yang tegang ini boleh menyebabkan tanda-tanda stres pada badan seperti:
- Sakit kepala
- Sakit bahu atau belakang
- Sakit badan
Seksualiti dan Sistem Pembiakan
Stres juga boleh menjejaskan seksualiti dan sistem pembiakan manusia.
Bagi lelaki, stres yang kronik boleh menyebabkan penurunan hormon testosteron. Penurunan hormon ini boleh menjejaskan penghasilan sperma dan menyebabkan “mati pucuk”. Stres yang kronik juga boleh meningkatkan risiko jangkitan terhadap organ pembiakan lelaki seperti prostat dan testis (buah zakar).
Bagi wanita pula, stres yang kronik boleh menganggu kitaran haid. Ia boleh menyebabkan haid yang tidak teratur, perdarahan yang banyak dan haid yang lebih menyakitkan.
Stres yang berterusan juga akan menyebabkan seseorang itu hilang keinginan untuk melakukan hubungan seks.
Rujukan
- Yaribeygi, H. et al. (2017). The impact of stress on body function: A review. EXCLI journal.
- Pietrangelo, A. (2020). The Effects of Stress on Your Body. Healthline.