Panduan

10 Tanda-tanda Skizofrenia Yang Anda Perlu Tahu

Pinterest LinkedIn Tumblr

Skizofrenia ialah satu penyakit mental yang melibatkan gangguan teruk terhadap emosi, kognitif dan personaliti penghidapnya. Masyarakat lebih mengenalinya sebagai gila,tidak waras atau psikosis. Terdapat tanda-tanda Skizofrenia yang boleh dijadikan panduan untuk mengenalpasti penyakit mental ini.

Di sini, dikongsikan 10 tanda-tanda Skizofrenia yang boleh membantu anda mengesan sekiranya ada ahli keluarga atau rakan-rakan yang mengalami penyakit ini. Pesakit Skizofrenia memerlukan rawatan sepanjang hayat dan rawatan awal dapat membantu mengawal tanda atau simptom yang berlaku daripada terus menjadi serius dan teruk.

Secara umumnya, gejala atau simptom-simptom Skizofrenia boleh dibahagiakan kepada 2 iaitu simptom positif dan negatif. Tetapi ada juga yang membahagikannya kepada 3 iaitu simptom psikotik, kognitif dan negatif.

Simptom positif ialah gangguan (keabnormalan) yang wujud atau hadir sebagai tambahan kepada personaliti seseorang itu. Manakala, simptom negatif ialah gangguan (keabnormalan) yang hilang daripada personaliti seseorang itu.

tanda-tanda skizofrenia

Tanda-tanda Skizofrenia termasuklah:

1. Halusinasi

Halusinasi adalah salah satu pengalaman atau gambaran yang dicipta oleh minda pesakit Skizofrenia. Tanda atau simptom ini menyebabkan pesakit Skizofrenia melihat, mendengar atau menghidu bau sesuatu yang orang sekelilingnya tidak mengalaminya.

Halusinasi ini adalah sangat nyata bagi pesakit ini dan ia boleh menyebabkan pasangan atau orang terdekat menjadi keliru. Mendengar suara boleh menjadi kritikal dan berbahaya terutamanya jika suara itu menyuruh untuk melakukan sesuatu yang membahayakan pesakit atau orang lain.

Terdapat juga halusinasi yang dikenali halusinasi taktil. Halusinasi ini menyebabkan pesakit berasa terdapat benda atau serangga yang bergerak-gerak di badan atau tangan walaupun hakikatnya adalah tidak ada.

2. Delusi

Delusi ialah kepercayaan peribadi yang tidak benar dan berasaskan tanggapan yang silap tentang keadaan sebenar. Pesakit Skizofrenia yang mengalami simptom ini tidak berganjak dari pegangannya walaupun kepercayaannya dapat dibuktikan salah.

Contohnya:

  • Pesakit berfikir bahawa komen-komen itu ditujukan kepadanya walaupun tidak.
  • Pesakit merasakan lelaki atau perempuan itu jatuh cinta kepadanya walaupun tidak.
  • Pesakit berfikir bahawa dia akan dicederakan atau diganggu.
  • Pesakit merasakan dia seorang yang popular atau artis.

3. Cakap Merepek

Tanda Skizofrenia yang seterusnya ialah cakap merepek atau percakapan yang tidak teratur yang berpunca daripada pemikiran yang kacau. Pesakit menjawab pertanyaan dengan jawapan yang tidak berkait atau merepek.

Kadang-kala mereka akan mencipta perkataan mereka sendiri dan tidak difahami oleh orang lain.

4. Gangguan Kepada Pergerakan

Pesakit Skizofrenia juga turut boleh mengalami simptom ini yang menyebabkan mereka kelihatan seperti gelisah atau melakukan sesuatu berulang-ulang kali.

Mereka juga boleh duduk atau tidak bergerak pada satu-satu tempat pada masa yang lama.

Selain itu, gangguan pergerakan ini juga termasuklah tindakan mereka yang tidak senonoh atau aneh, tidak mengikut arahan dan tiada tindak balas.

5. Sukar untuk Memberi Tumpuan

Tanda Skizofrenia yang berikutnya pula ialah ia menyebabkan penghidapnya sukar untuk memberi tumpuan atau fokus.

Sebagai contoh, mereka boleh tidak sedar apa yang berlaku dalam rancangan televisyen yang ditonton walaupun ketika itu mereka sedang menontonnya.

6. Menjadi Sangat Tidak Terurus

Tanda atau gejala ini menyebabkan pesakit Skizofrenia mengabaikan kebersihan diri seperti tidak mandi atau memilih pakaian yang sesuai.

Pesakit juga akan hilang minat untuk melakukan aktiviti atau rutin harian yang sebelum ini mereka suka melakukannya.

7. Tidak Mempunyai Perasaan

Pesakit Skizofrenia juga akan kelihatan seperti tidak mempunyai perasaan. Apabila berkata-kata, suara mereka akan berbunyi mendatar seolah-olah mereka tidak mempunyai perasaan.

Mereka juga tidak menunjukkan ekspresi muka sebagai tindak balas dalam sesuatu perbualan. Mereka juga mungkin tidak senyum seperti biasa serta kurang hubungan mata (kontak mata).

9. Menjauhi Rakan-rakan atau Keluarga

Penghidap Skizofrenia juga akan mula menyendiri dan menjauhkan diri daripada rakan-rakan atau keluarga.

Jika sebelum ini, pesakit suka berjumpa atau melepak bersama kawan-kawan tetapi setelah mengalami Skizofrenia mereka tidak lagi berbuat demikian.

10. Anosognosia

Anosognosia ialah keadaan dimana seseorang itu tidak sedar tentang sesuatu penyakit atau gejala yang dialaminya. Bagi pesakit Skizofrenia, anosognosia menyebabkan mereka sukar untuk dirawat atau sukar untuk bekerja dengan mereka.

Bagi lelaki, tanda-tanda Skizofrenia ini biasanya bermula seawal umur 20-an. Manakala, bagi perempuan, tanda-tanda ini biasanya bermula pada lewat usia 20-an. Skizofrenia ini jarang-jaramg berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau mereka yang berumur lebih daripada 45 tahun.

Tanda-tanda Skizofrenia dalam Kalangan Remaja

Simptom atau tanda Skizofrenia dalam kalangan remaja pada asasnya adalah sama seperti mana yang dialami oleh orang dewasa. Cuma, tanda-tanda penyakit ini sukar untuk dikenalpasti kerana tanda awal Skizofrenia hampir sama dengan perubahan yang dialami oleh remaja yang membesar.

Malah, penyalahgunaan dadah atau ganja juga boleh menyebabkan tanda-tanda yang hampir sama dengan Skizofrenia.

Pada peringkat awal, tanda-tanda yang dapat dilihat mungkin seperti perkara biasa yang dialami oleh kebanyakan remaja. Contohnya seperti:

  • Prestasi di sekolah semakin menurun.
  • Sukar untuk tidur (insomnia)
  • Kehilangan rakan-rakan atau bertukar-tukar rakan.
  • Kurang bermotivasi.
  • Kemurungan atau depresi.

Namun,terdapat tanda-tanda lain yang boleh menjadi satu amaran awal kepada ibu bapa bahawa anak mereka berisiko mengalami Skizofrenia. Tanda-tanda ini melibatkan perubahan kelakuan, pemikiran dan emosi.

Antara tanda-tanda yang boleh dijadikan panduan untuk mengenalpasti penyakit ini pada peringkat awal dalam kalangan remaja termasuklah:

  • Menjadi sangat beremosi.
  • Menjadi panas baran dan mudah melenting.
  • Kemurungan atau keresahan.
  • Ketakutan yang melampau.
  • Sukar untuk memberi tumpuan.
  • Tidak boleh membezakan antara mimpi dan realiti.
  • Paranoia – memikirkan bahawa ada orang ingin mencederakannya atau ada orang bercakap-cakap mengenainya.
  • Berhalusinasi seperti mendengar suara atau melihat benda yang tidak nyata.
  • Bercakap seorang diri.
  • Bertutur dengan perkataan atau bahasa yang tidak difahami.
  • Tindak balas yang tidak kena pada tempatnya seperti ketawa ketika menonton babak sedih.
  • Pergerakan badan yang aneh dan pelik.
  • Sukar untuk berkawan atau kekal dalam persahabatan.
  • Menjadi seorang yang tidak terurus dan mengabaikan kebersihan diri.
  • Penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah, ganja,pil kuda dan sebagainya.
  • Tingkah laku yang ganas.

Sekiranya anak anda menunjukkan tanda-tanda seperti yang disenaraikan, bawalah mereka berjumpa dengan doktor.

Sekiranya terdapat ahli keluarga yang pernah mengalami Skizofrenia, kebarangkalian untuk anak remaja ini turut mengalami Skizofrenia juga adalah tinggi.

Untuk membolehkan seseorang remaja itu didiagnos sebagai menghidap Skizofrenia, tanda-tanda atau simptom ini perlulah berlaku selama sekurang-kurangnya 6 bulan atau lebih.

Rumusan

Skizofrenia adalah salah satu masalah kesihatan mental yang serius yang boleh dirawat. Walaupun pesakit memerlukan rawatan sepanjang hayat mereka, melalui rawatan gejala atau simptom-simptom yang dialami oleh mereka dapat dikurangkan dan dikawal.

Tanda-tanda Skizofrenia ini melibatkan 3 fungsi utama seseorang itu iaitu kognitif (pemikiran), emosi dan personaliti.

Tanda-tanda penyakit ini penting untuk dijadikan sebagai panduan oleh orang yang paling hampir dengan pesakit untuk membantu pesakit mendapatkan rawatan sewajarnya. Pakar psikitri boleh membantu mencadangkan kaedah rawatan yang sesuai dengan simptom yang dialami oleh pesakit.

Rujukan