Mengenali tanda-tanda disleksia terutamanya bagi anak anda boleh membantu anda mengambil langkah-langkah rawatan dan menguruskannya. Artikel ini membantu menyenaraikan tanda-tanda disleksia yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak hingga dewasa sebagai panduan kepada anda.
Apa itu Disleksia?
Disleksia ialah gangguan pembelajaran yang melibatkan kesukaran membaca akibat daripada masalah untuk mengenal pasti bunyi percakapan dan mempelajari bagaimana ia berkaitan dengan huruf dan perkataan (penyahkodan).
Disleksia turut dikenali sebagai ketakupayaan membaca dan ia menjejaskan bahagian otak yang memproses bahasa. Ia menyebabkan kanak-kanak tersebut sukar untuk membaca dengan lancar dan mengeja.
Lazimnya, penghidap dislaksia mempunyai kepintaran dan penglihatan yang normal. Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap disleksia boleh berjaya di sekolah dengan tunjuk ajar dan program pendidikan yang khusus.
Meskipun, disleksia berkaitan dengan keturunan, kualiti pengajaran dan celik huruf dirumah memberikan impak yang kuat terhadap keupayaan membaca seorang kanak-kanak. Walaupun tiada ubat untuk disleksia, penilaian awal dan intervensi menghasilkan hasil yang terbaik.
Tanda-tanda Disleksia Dalam Kalangan Kanak-kanak
Tanda-tanda disleksia mungkin sukar untuk dikenal pasti sebelum kanak-kanak memasuki sekolah. Tetapi, beberapa petunjuk awal boleh menjadi indikator kepada masalah ini.
Guru-guru di tadika, taska atau prasekolah adalah golongan pertama yang mungkin pertama kali menyedari masalah ini. Keterukan gangguan pembelajaran ini berbeza-beza tetapi keadaan itu sering menjadi jelas apabila kanak-kanak mula belajar membaca.
Sebelum Bersekolah
Tanda-tanda kanak-kanak belum bersekolah yang mungkin berisiko mengalami disleksia adalah:
- Lambat bercakap.
- Lambat belajar perkataan baru.
- Mengalami masalah menyusun perkataan dengan betul seperti menterbalikkan bunyi dalam perkataan atau mengelirukan perkataan yang serupa bunyinya.
- Sukar mengingat atau menamakan huruf, nombor dan warna.
- Kesukaran mempelajari lagu kanak-kanak atau bermain permainan berirama.
Usia Persekolahan
Apabila anak anda mula bersekolah, tanda-tanda dan gejala disleksia akan menjadi semakin jelas. Antaranya adalah:
- Membaca jauh di bawah tahap yang dijangkakan untuk umur mereka.
- Bermasalah memproses dan memahami apa yang dia dengar.
- Kesukaran mencari perkataan yang betul atau membentuk jawapan kepada soalan.
- Bermasalah mengingati urutan perkara.
- Kesukaran melihat (dan kadang-kadang mendengar) persamaan dan perbezaan dalam huruf dan perkataan.
- Ketidakupayaan untuk membunyikan sebutan perkataan yang tidak dikenali.
- Kesukaran mengeja.
- Menghabiskan masa yang sangat lama untuk menyelesaikan tugasan yang melibatkan membaca atau menulis.
- Mengelakkan aktiviti yang melibatkan membaca.
Remaja dan Dewasa
Tanda-tanda disleksia dalam kalangan remaja dan orang dewasa adalah sama seperti kanak-kanak. Antara tanda-tanda dan gejala disleksia yang sering berlaku kepada remaja dan orang dewasa adalah:
- Kesukaran membaca termasuklah membaca dengan kuat.
- Membaca dan menulis dengan perlahan.
- Bermasalah dalam mengeja.
- Mengelak daripada aktiviti-aktiviti yang melibatkan membaca.
- Kesukaran untuk meringkaskan cerita.
- Tersalah sebut nama atau perkataan.
- Menghabiskan masa yang lama untuk melengkapkan tugasan yang melibatkan membaca atau menulis.
- Sukar mempelajari bahasa asing.
- Sukar mengingati.
- Sukar menyelesaikan masalah matematik.
- Mengalami kesukaran untuk memahami jenaka atau simpulan bahasa.
Tindakan yang Perlu Dilakukan oleh Ibu Bapa
Walaupun kebanyakan kanak-kanak sudah bersedia untuk belajar membaca pada peringkat tadika atau darjah satu, kanak-kanak disleksia selalunya tidak dapat memahami asas membaca pada masa itu.
Ibu bapa perlu berjumpa dengan doktor jika tahap bacaan anak anda di bawah paras yang dijangkakan untuk umurnya atau jika anda melihat tanda-tanda disleksia yang lain.
Apabila disleksia tidak didiagnosis dan tidak dirawat, kesukaran membaca kanak-kanak tersebut akan berterusan sehingga dewasa.