Adalah normal sekiranya anda berasa anxiety atau keresahan sekali-sekala dalam hidup anda. Walau bagaimanapun, orang yang mengalami kecelaruan keresahan (anxiety disorder) selalunya mempunyai kebimbangan dan ketakutan yang kuat, berlebihan dan berterusan tentang situasi harian. Terdapat tanda-tanda anxiety yang boleh dijadikan panduan untuk mengetahui sekiranya anda menjurus kepada kecelaruan keresahan.
Tanda-tanda anxiety boleh bermula seawal zaman kanak-kanak atau remaja dan boleh berterusan sehingga dewasa.
Setiap orang mempunyai tanda-tanda yang berbeza, secara amnya badan bertindak balas dengan cara yang sangat spesifik terhadap kebimbangan atau keresahan. Apabila anda berasa cemas, badan anda akan berada dalam mod berjaga-jaga, mencari kemungkinan bahaya dan mengaktifkan respons lawan atau lari.
Berikut adalah tanda-tanda anxiety yang menjurus kepada kecelaruan keresahan:
1. Berasa Gementar, Resah atau Tegang
Seseorang yang mengalami anxiety (keresahan) akan menunjukkan tanda-tanda seperti berasa gementar, resah atau tegang.
Perasaan gementar, resah atau tegang ini biasanya diikuti dengan kebimbangan yang berlebihan.
Ramai penghidap kecelaruan keresahan menyeluruh melaporkan bahawa mereka sentiasa berasa resah dan gementar sepanjang hidup mereka.
2. Mempunyai Rasa Bahaya yang Akan Datang atau Panik
Individu yang mengalami anxiety juga boleh mengalami serangan panik atau mempunyai rasa bahaya yang akan datang.
Serangan panik boleh berlaku dalam konteks kecelaruan keresahan dan kecelaruan mental yang lain. Ia akan menyebabkan lonjakan ketakutan atau ketidakselesaan yang teruk secara mendadak.
3. Deyutan Jantung Meningkat, Bernafas dengan Laju, Berpeluh dan Menggigil
Denyutan jantung yang meningkat, bernafas dengan laju, berpeluh dan menggigil adalah tanda-tanda yang selalunya berlaku apabila berlakunya serangan panik.
Serangan panik ini boleh timbul sama ada daripada keadaan tenang atau keadaan cemas.
4. Berasa Lemah atau Penat
Sekiranya anda mengalami kecelaruan keresahan, anda mudah untuk berasa lemah atau penat. Rasa lemah dan penat ini diikuti dengan rasa bimbang dan resah. Keadaan ini mengganggu kualiti hidup termasuklah pekerjaan, sosial atau aktiviti harian.
Tanda-tanda ini boleh berlaku selama beberapa hari atau mungkin hampir setiap hari.
5. Sukar untuk Memberikan Tumpuan atau Berfikir
Tanda-tanda anxiety yang seterusnya adalah sukar untuk memberikan tumpuan atau berfikir atau minda menjadi kosong.
Tanda-tanda ini turut berlaku bersama-sama rasa bimbang dan resah.
6. Sukar untuk Tidur
Gangguan tidur yang menyebabkan anda sukar untuk terlelap, sukar untuk tidur nyenyak atau tidur yang tidak memuaskan diakibatkan oleh rasa bimbang dan resah boleh menjadi tanda-tanda kepada anxiety.
7. Sukar untuk Mengawal Rasa Bimbang
Seterusnya, tanda-tanda yang mungkin menunjukkan anda mungkin mengalami anxiety ialah sukar untuk mengawal rasa bimbang atau resah.
Anda juga mungkin turut mengalami kesukaran untuk menjauhkan pemikiran yang membimbangkan daripada mengganggu perhatian anda.
8. Mempunyai Keinginan untuk Mengelakkan Perkara yang Mencetuskan Kebimbangan
Individu yang mengalami anxiety mungkin cuba untuk mengelakkan perkara atau situasi yang ditakuti boleh mencetuskan kebimbangan buatnya.
Contohnya, anda mungkin berasa takut atau bimbang sekiranya anda menunjukkan tanda-tanda anxiety dan dinilai secara negatif oleh orang lain, ia membawa kepada penolakan atau menyinggung perasaan.
Secara khususnya, tanda ini merujuk kepada kecelaruan keresahan sosial (social anxiety disorder).
Ringkasan
Untuk anda didiagnosis sebagai menghidap kecelaruan keresahan (anxiety disorder) tanda-tanda yang berlaku mestilah berlarutan lebih daripada 6 bulan.
Tanda-tanda atau simptom-simptom ini juga turut menjejaskan kualiti hidup anda. Tambahan itu juga, tanda-tanda yang berlaku mesti bebas atau tidak berkaitan dengan masalah kesihatan yang lain.
Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda anxiety ini, sila dapatkan rawatan daripada doktor atau ahli psikiatri untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan rawatan yang sewajarnya.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2018). Anxiety Disorders. MayoClinic
- American Psychiatric Association: Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Arlington, VA, American Psychiatric Association, 2013.