Stres adalah tindak balas normal yang berlaku kepada semua orang. Tanda-tanda stres tersebut boleh diperhatikan tidak kira samada ada pada lelaki atau wanita.
Badan manusia dijadikan untuk mengalami stres atau tekanan dan bertindak balas terhadapnya. Tindak balas stres boleh membantu badan untuk mengubahsuai mengikut keadaan baru.
Stres boleh menjadi positif kerana ia membuatkan kita terus peka, bermotivasi dan bersedia untuk menghindari bahaya. Namun, stres akan menjadi masalah apabila ia berlaku secara berterusan tanpa kelegaan atau henti.
Semasa mengalami stres, badan manusia akan bertindak balas. Keadaan ini akan menyebabkan deyutan jantung meningkat, tekanan darah meningkat, pernafasan menjadi laju dan otot-otot mengetat.
Stres boleh menjejaskan pelbagai aspek dalam kehidupan anda termasuklah kesihatan fizikal, emosi, tingkah laku dan kesihatan mental.
Tanda-tanda stres mungkin berbeza-beza bagi setiap orang kerana setiap orang menguruskan stres yang dialami secara berbeza-beza. Sesetengah tanda atau simptom juga mungkin sama dengan masalah kesihatan yang lain.
Berikut adalah beberapa tanda stres yang boleh dilihat pada lelaki dan wanita:
Tanda-tanda Stres Pada Fizikal
- Sakit kepala
- Pening
- Jerawat
- Sakit atau tegangan otot
- Sakit dada
- Denyutan jantung yang laju
- Sakit perut atau masalah penghadaman
- Sistem imun yang rendah
- Masalah dalam hubungan intim
- Berpeluh
Tanda-tanda Stres pada Emosi dan Mental
- Sukar untuk memberikan tumpuan
- Sukar untuk membuat keputusan
- Rasa bimbang yang berterusan
- Menjadi pelupa
- Kemurungan
- Keresahan
- Serangan panik
- Kesedihan
- Menjadi seorang yang pesimistik atau hanya melihat pada sudut negatif sahaja
Tanda-tanda Stres pada Tingkah Laku
- Banyak tidur atau sukar untuk tidur
- Tidak berselera atau semakin berselera
- Menghindari sesetengah tempat atau orang
- Semakin banyak merokok
- Semakin banyak minum arak
- Berjudi
- Mengambil dadah
- Berlengah-lengah dan mengelak daripada tanggungjawab
Apa yang Harus Dilakukan?
Stres adalah sebahagian daripada kehidupan. Apa yang penting adalah bagaimana anda menangani stres tersebut. Terdapat banyak panduan menangani atau menhilangkan stres yang boleh dilakukan sekiranya anda mengalami stres atau tekanan.
Langkah yang paling mudah untuk anda lakukan adalah mencegah daripada stres itu daripada berlaku secara berlebihan dan mendapatkan pertolongan sekiranya anda tidak mampu menanganinya.
Harus diingat juga bahawa tanda-tanda stres sebahagiannya boleh menjadi simptom-simptom kepada masalah kesihatan yang lain. Dapatkan rawatan daripada doktor untuk menilai simptom-simptom anda.