Mengenali tanda seseorang yang mempunyai sifat toksik boleh membantu anda mengelakkan daripada mempunyai hubungan dengan individu tersebut. Langkah ini penting bagi kesihatan mental anda.
Selain itu, tanda-tanda seseorang yang mempunyai sifat toksik ini juga boleh dijadikan cerminan untuk diri sendiri bagi mengelakkan anda bersifat sedemikian.
Seseorang yang mempunyai sifat toksik boleh menyebabkan masalah atau konflik dalam kehidupan orang yang berada di sekelilingnya. Sekiranya anda mampu, mengenali sifat-sifat toksik ini boleh membantu anda mengubah individu tersebut.
Namun, jika ia berada di luar kemampuan anda, mengelak daripada individu seperti ini adalah jalan yang terbaik.
Walaupun ketoksikan tidak dikelaskan sebagai salah satu gangguan kesihatan mental. Namun, mereka yang menghidap kecelaruan personaliti mungkin menunjukkan kelakuan atau sifat yang menunjukkan tanda-tanda ketoksikan.
Berikut adalah tanda-tanda seseorang itu mempunyai sifat toksik:
1. Mengelakkan Pembincangan
Seseorang yang mempunyai sifat toksik mungkin tidak mahu terlibat dalam perbincangan penting. Akibatnya, banyak isu tidak berjaya untuk diselesaikan.
Mengelakkan daripada berbincang boleh menyebabkan sebelah pihak mempunyai rasa rendah diri atau tanggapan yang salah.
Dalam perhubungan, sifat ini akan mengeruhkan lagi keadaan.
2. Tidak Mengambil Tanggungjawab
Seseorang yang mempunyai sifat toksik sukar untuk mengakui kesilapan dan suka menyalahkan orang lain atas sebarang kekurangan yang dia alami.
Golongan ini mengelak daripada mengambil tanggungjawab atas apa-apa yang berlaku akibat daripada kekurangan diri mereka.
Jika anda tidak dapat bermuhasabah tentang tingkah laku anda yang menyumbang kepada isu yang timbul, ini selalunya boleh menjejaskan pertumbuhan peribadi anda.
Menurut kajian, bermuhasabah terhadap keputusan yang anda lakukan boleh memberi impak positif terhadap bagaimana anda mengenal diri anda.
3. Memanipulasi Orang Lain
Orang yang mempunyai sifat toksik juga suka memanipulasi orang lain untuk keuntungan dan kawalan peribadi.
Seseorang yang melakukan ini mungkin berbohong, membesar-besarkan atau meninggalkan maklumat untuk membuat seseorang melakukan apa yang mereka mahu.
Mereka juga melakukan ini untuk mempengaruhi pendapat positif tentang diri mereka pada orang lain.
Manipulasi boleh termasuk penghinaan, bergurau tentang sensitiviti seseorang dan menahan kasih sayang.
4. Tidak Mahu Meminta Maaf
Seseorang yang toksik juga sering memutarbelitkan kebenaran untuk menjadikannya seolah-olah dia telah menjadi mangsa atau menggantikan kesalahan kepada orang lain.
Jika berdepan dengan isu, golongan ini mungkin akan bersikap mempertahankan diri terhadap maklum balas dan tersinggung dengan kritikan.
Ketoksikan juga boleh menyukarkan untuk anda mendengar perspektif orang lain, yang boleh menyebabkan anda tidak meminta maaf apabila perlu.
5. Tidak Konsisten
Kita semua tidak sempurna. Setiap orang boleh menjadi tidak konsisten pada masa-masa tertentu.
Tetapi jika anda kerap menunjukkan tingkah laku yang tidak konsisten, orang ramai boleh menganggap ini sebagai sifat toksik.
6. Sentiasa Berfikiran Negatif
Jika seseorang sentiasa berfikiran negatif, kritikal dan tidak menyokong, mereka menunjukkan sifat toksik.
Orang seperti ini mungkin mempunyai pandangan yang pesimis dalam kehidupan mereka.
Mereka juga mungkin kerap membuat aduan, selalunya tentang perkara yang di luar kawalan mereka. Bahkan mereka bukannya menawarkan maklum balas yang membina, mereka hanya akan mengkritik idea sesiapa sahaja, tidak kira betapa bagusnya idea mereka.
7. Sombong dan Mementingkan Diri
Salah satu sifat toksik yang paling jelas adalah sombong dan mementingkan diri.
Orang yang angkuh mementingkan diri mereka sendiri sehingga mereka merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.
Golongan seperti ini juga kurang mempunyai sifat empati dan hanya memikirkan tentang keperluan diri mereka sahaja.
8. Kritikan yang Merosakkan
Kritikan yang merosakkan adalah apabila seseorang membuat komen negatif tentang orang lain dengan niat untuk menyakiti mereka.
Ia boleh menjadi serangan peribadi, atau ia boleh menjadi kenyataan yang menjejaskan kerja mereka.
Orang yang mempunyai sifat toksik ini sering kali mengkritik tanpa memikirkan orang yang dikritik. Apa yang mereka minati ialah merendahkan orang lain dan menjadikan diri mereka lebih hebat.
9. Suka Mengawal (Mengongkong) dan Suka Maki Hamun
Tingkah laku yang suka mengawal dan suka memaki hamun juga adalah sifat seorang yang toksik.
Orang yang toksik suka mengawal orang lain bagi tujuan untuk mendominasi atau mengawal seseorang. Mereka akan menggunakan kuasa atau kelebihan yang ada pada diri mereka untuk mengawal orang lain.
Selain itu juga, orang toksik ini juga suka untuk mencaci atau memaki hamun orang lain. Mereka berasa mereka lebih “hebat” atau lebih “besar” daripada orang lain.
10. Kurang Ajar atau Biadab
Seorang yang toksik juga mempunyai sifat yang kurang ajar atau biadab.
Ini termasuklah membuat komen yang menghina atau merendahkan orang lain, bergurau tentang seseorang sehingga menghina, mengganggu yang tidak sesuai, atau bersikap kasar kepada seseorang.
Bercakap perkara biadap kepada seseorang atau tentang mereka sudah tentu turut dikira pakai. Begitu juga sikap tidak sopan semasa interaksi sosial.
Kesimpulan
Sifat-sifat atau ciri-ciri yang disenaraikan ini boleh menjadi panduan untuk mengenal seorang yang mempunyai sifat toksik.
Sifat toksik adalah sifat yang tidak baik dan harus diubah sekiranya ada pada diri kita.