Banyak kes kemurungan yang tidak dirawat berakhir dengan kejadian yang tragik. Kira-kira 10% hingga 15% orang yang menghidap kemurungan yang teruk dan tidak dirawat mengambil keputusan diri membunuh diri. Maka, salah satu cara untuk membantu gologan ini adalah dengan mengenal pasti tanda-tanda penghidap kemurungan tersembunyi.
Penghidap kemurungan tersembunyi akan menyembunyikan atau menyimpan kemurungan mereka sebagai satu rahsia gelap yang tidak didedahkan kepada sesiapapun. Terdapat juga individu yang mempunyai imej luaran yang berbeza daripada kehidupan peribadi mereka.
Adalah menjadi suatu cabaran untuk orang sekeliling untuk mengetahui sama ada rakan atau ahli keluarganya menghadapi kemurungan atau tidak. Sehubungan itu, beberapa tanda berikut boleh menjadi petunjuk bahawa seseorang itu adalah penghidap kemurungan tersembunyi.
1. Kelihatan Tidak Tertekan
Setiap individu adalah unik dan berbeza antara satu sama lain. Tidak semua penghidap kemurungan akan menzahirkan kemurungan yang dialami oleh mereka.
Mereka mungkin akan menunjukkan bahawa mereka tidak mengalami tekanan atau tertekan. Mereka juga mungkin akan menonjolkan kesihatan mental yang baik untuk melindungi diri mereka.
Ramai yang beranggapan bahawa penghidap kemurungan adalah seorang yang jarang keluar bilik, tidak berpakaian kemas dan kelihatan sengsara. Hakikatnya, penghidap kemurungan tersembunyi tidak berkelakuan seperti itu.
2. Sikap Panas Baran
Tanggapan umum masyarakat adalah penghidap kemurungan mempunyai sifat pemalu dan pendiam.
Namun realitinya, seorang penghidap kemurungan juga boleh bersifat panas baran atau cepat marah. Jika seseorang yang anda kenali pernah berkongsi masalah dengan anda dan mengalami kemurungan, anda mungkin boleh melihat perubahan pada diri mereka apabila mereka menjadi seorang yang panas baran.
Jika mereka cepat marah dan mudah merasakan sesuatu perkara itu menjengkelkan, itu sebenarnya merupakan salah satu kesan sampingan kemurungan.
3. Sukar untuk Bertindak Balas kepada Kasih Sayang dan Keprihatinan
Tanda penghidap kemurungan tersembunyi yang seterusnya adalah sukar untuk bertindak balas kepada kasih sayang atau keprihatinan.
Keadaan ini boleh berlaku kerana seorang individu yang mengalami kemurungan cenderung untuk tidak merasai apa-apa atau hanya mengalami emosi secara ringkas sahaja. Ia bergantung kepada individu itu sendiri, tetapi sesetengah orang yang mengalami kemurungan mengadu berasa hampir kaku dan perkara yang dekat dengan emosi yang mereka alami adalah kesedihan dan/atau kemarahan.
Oleh sebab itu, sukar bagi mereka untuk bertindak balas dengan sewajarnya kepada isyarat badan atau perkataan yang menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan.
4. Kelihatan Penat dan Sering Mengadu Keletihan
Kelihatan penat atau sering mengadu keletihan adalah salah satu kesan sampingan daripada kemurungan.
Bagi mereka yang hidup dengan kemurungan yang tidak didiagnosis, punca keletihan boleh jadi mengelirukan. Mereka dapat tidur dengan secukupnya dan bangun pagi dengan perasaan seperti mereka hanya tidur beberapa jam.
Lebih parah lagi, mereka menyalahkan diri sendiri, percaya ia berpunca daripada sifat malas atau beberapa kesalahan peribadi yang lain yang menyebabkan mereka menjadi lemah.
Penghidap kemurungan tersembunyi akan cuba untuk merahsiakan perkara ini dari rakan-rakan atau ahli keluarga kerana ia selalu memberi kesan terhadap bebanan kerja dan hubungan peribadi.
5. Tabiat Makan yang Tidak Normal
Tabiat makan yang tidak normal berpunca daripada 2 sebab iaitu sebagai salah satu bentuk penerimaan atau kesan sampingan kepada kurangnya penjagaan diri.
Makan terlalu sedikit atau terlalu banyak adalah merupakan tanda kemurungan yang biasa. Menurut Anxiety and Depression Association of America, penghidap obesiti yang mempunyai kecelaruan makan gelojoh lazimnya turut bergelut dengan penyakit kesihatan mental yang lain termasuklah keresahan atau kemurungan.
Apabila makanan dijadikan sumber kepuasan bagi orang yang mengalami kemurungan, mereka cenderung untuk mengambil makanan secara berlebihan atau terlalu sedikit.
Jika seseorang itu tidak didiagnosis atau tidak berkongsi masalah ini, orang lain akan menganggap tabiat pemakanan sedemikian sebagai kesalahan peribadi dan menghukum mereka, keadaan ini boleh membuatkan mereka berasa lebih teruk dan merasakan diri tidak berguna.
6. Tidak Mendapat Tidur yang Mencukupi
Jika pasangan atau rakan mengadu tidak dapat tidur yang secukupnya, ini mungkin merupakan tanda amaran menunjukkan ada sesuatu yang kurang baik berlaku.
Masalah tidur ini mungkin hanya tanda luaran kepada sebab yang lebih dalam dan penuh bermasalah di mana boleh menyebabkan keresahan, kurang aktif atau kemurungan.
Masalah tidur dan kemurungan selalunya berkait rapat antara satu sama lain.
7. Sembunyikan Kemurungan
Stigma masyarakat juga boleh menjadi faktor yang menyumbang kepada kenapa seseorang itu lebih suka menyembunyikan kemurungan mereka.
Sikap menghukum tanpa mengetahui hal sebenar menjadikan ramai untuk memilih mendiamkan kemurungan atau masalah yang mereka hadapi.
8. Menyalahkan atau Memburukkan Diri Sendiri
Tanda penghidap kemurungan tersembunyi yang berikutnya adalah menyalahkan atau memburukkan diri sendiri.
Seseorang mungkin mengatakan perkara negatif dalam cara bergurau untuk mengalihkan perhatian daripada kesakitan yang mendasari mereka. Mungkin terdapat peningkatan dalam tingkah laku mengambil risiko, terutamanya dalam kalangan remaja.
Ini mungkin percubaan untuk mengatasi perasaan kaku atau mendatangkan kecederaan diri.
9. Hilang Tumpuan
Apabila seseorang berhenti semasa perbualan atau kehilangan landasan pemikiran mereka, ia mungkin menunjukkan masalah dengan ingatan dan tumpuan, yang merupakan gejala biasa kemurungan.
Kajian oleh pengkaji dari Jerman mendapati bahawa kesukaran memberikan tumpuan boleh memburukkan lagi kesan sosial kemurungan dengan menjadikan kerjaya dan hubungan peribadi lebih mencabar.
10. Tidak Bersemangat dan Menolak Aktiviti yang Pernah Digemari
Kurangnya minat dalam melakukan aktiviti dalam satu tempoh masa yang panjang boleh menjadi tanda seseorang itu mengalami kemurungan.
Aktiviti-aktiviti yang pernah mereka gemari secara umumnya akan hilang kerana kemurungan ini selalunya membuatkan ia sukar untuk dilakukan atau dinikmati.
Oleh itu, tidak berminat dengan aktiviti yang pernah digemari oleh seseorang boleh menjadi salah satu tanda yang boleh diperhatikan oleh orang lain apabila orang yang mereka sayangi mengalami kemurungan.