Menyedari kemurungan pada kanak-kanak boleh menjadi mencabar kerana tanda atau gejala mungkin kelihatan berbeza berbanding dengan orang dewasa. Walau bagaimanapun, memahami tanda dan gejala adalah penting untuk pengesanan awal dan intervensi yang boleh memberi kesan ketara kepada kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak.
Kemurungan kanak-kanak adalah keadaan kesihatan mental yang kompleks dan sering disalahertikan yang memberi kesan mendalam kepada kehidupan individu muda.
Walaupun lazimnya dipercayai bahawa kanak-kanak tidak mengalami kemurungan, kajian dan pemerhatian klinikal telah menunjukkan bahawa kemurungan sememangnya boleh terjadi pada zaman kanak-kanak.
Kemurungan boleh menjejaskan kesejahteraan emosi, interaksi sosial dan prestasi akademik dalam kalangan kanak-kanak.
Oleh itu, mengenali dan menangani tanda-tanda kemurungan kanak-kanak adalah penting untuk meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan keseluruhan generasi muda kita.
Bagaimanakah Saya Boleh Mengetahui Jika Anak Saya Mengalami Kemurungan?
Jika kanak-kanak kemurungan, ibu bapa mungkin melihat beberapa tanda ini:
1. Tidak Bertenaga dan Bermaya
Kemurungan boleh menyusutkan tenaga kanak-kanak. Mereka mungkin kurang bermaya ke sekolah berbanding sebelum ini.
Walaupun melakukan tugas-tugas kecil boleh berasa seperti memerlukan banyak usaha. Kanak-kanak mungkin kelihatan letih, mudah berputus asa, atau tidak mencuba.
2. Sedih atau Mood Tidak Baik
Seorang kanak-kanak mungkin kelihatan sedih, sunyi, tidak gembira, atau kesal. Ia boleh berpanjangan selama beberapa minggu atau bulan.
Seorang kanak-kanak mungkin lebih mudah menangis. Mereka mungkin lebih banyak meragam berbanding sebelum ini.
3. Perubahan Tidur dan Makan
Kanak-kanak mungkin tidak tidur lena atau kelihatan letih walaupun mereka mendapat tidur yang cukup.
Mungkin ada yang tidak mahu makan. Manakala, yang lain pula mungkin makan berlebihan.
4. Tidak Menikmati Perkara yang Dahulunya Mereka Suka
Kanak-kanak tidak begitu seronok dengan rakan-rakan atau seronok bermain seperti dahulu. Mereka mungkin tidak berasa seperti melakukan perkara yang mereka sukai dahulu.
5. Mengkritik Diri Sendiri
Kanak-kanak yang mengalami kemurungan mungkin banyak mengadu. Mereka mungkin mengatakan perkara yang mengkritik diri sendiri seperti:
- “Saya tidak boleh melakukan apa-apa dengan betul.”
- “Saya tidak mempunyai kawan.”
- “Saya tidak boleh melakukan ini.”
- “Ia terlalu sukar untuk saya.”
6. Sakit-sakit Badan
Sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami sakit perut atau sakit lain. Ada yang terpaksa tidak hadir ke sekolah kerana tidak sihat walaupun tidak sakit.
Gejala-gejala lain
Selain itu, anak anda juga boleh mengalami tanda-tanda kemurungan yang lain seperti:
- Penurunan gred tanpa sebab
- Laporan tingkah laku buruk dari sekolah
- Melarikan diri dari rumah
- Sering kali bercakap, menulis atau melukis mengenai kematian atau bunuh diri
Apakah yang Menyebabkan Kemurungan Kanak-Kanak?
Kemurungan kanak-kanak, seperti kemurungan pada orang dewasa, adalah keadaan yang kompleks dengan pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada perkembangannya.
Walaupun punca sebenar kemurungan pada kanak-kanak tidak selalu jelas, ia berkemungkinan hasil gabungan faktor genetik, biologi, persekitaran dan psikologi.
Apakah yang Perlu Saya Lakukan Jika Saya Rasa Anak Saya Kemurungan?
Sekiranya anda berasakan bahawa anak anda mengalami kemurungan. Ambil langkah-langkah berikut:
1. Bercakap dengan Anak Anda Tentang Kesedihan dan Kemurungan
Kanak-kanak mungkin tidak tahu mengapa mereka begitu sedih dan mengapa keadaan kelihatan begitu sukar.
Beritahu mereka bahawa anda melihat bahawa mereka sedang melalui masa yang sukar dan anda bersedia untuk membantu. Dekati perbualan dengan empati dan keterbukaan.
Beritahu anak anda bahawa anda ada untuk mereka dan tidak mengapa untuk bercakap tentang perasaan mereka.
Elakkan menghukum atau mengkritik. Yakinkan mereka bahawa kemurungan adalah keadaan biasa dan boleh dirawat.
2. Berjumpa Doktor Kanak-kanak
Bawa anak anda berjumpa dengan doktor kanak-kanak atau pakar pediatrik.
Beritahu doktor anak anda jika keadaan sedih atau mood tidak baik kelihatan berterusan selama beberapa minggu.
Maklumkan kepada doktor anak anda jika anda juga melihat perubahan dalam tidur, makan, tenaga atau usaha anak anda.
Maklumkan juga sekiranya anak anda menghadapi tekanan yang besar, atau kesusahan.
Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan penuh membolehkan doktor memeriksa isu kesihatan yang boleh menyebabkan gejala anak anda.
Sekiranya ia melibatkan kemurungan. Doktor mungkin merujuk anak anda kepada ahli terapi kanak-kanak.
3. Berjumpa Ahli Terapi Kanak-kanak
Aahli terapi kanak-kanak (doktor kesihatan mental) akan meluangkan masa bercakap dengan anda dan anak anda.
Mereka akan melakukan pemeriksaan mendalam untuk kemurungan dengan bertanya soalan dan mendengar.
Ahli terapi boleh menerangkan bagaimana terapi boleh membantu anak anda.
4. Teman Anak Anda Menjalani Terapi
Ahli terapi mungkin mencadangkan beberapa lawatan, atau lebih. Teman anak anda menjalani sesi terapi.
Terapi boleh mengambil masa, tetapi anda akan melihat kemajuannya.
5. Bersabar dan Tabah
Bersabar dan tabah menghadapi kerenah anak anda apabila mereka beremosi atau bertindak sukar.
Berbincang dengan ahli terapi anak anda tentang cara terbaik untuk bertindak balas apabila anak anda bertindak sedemikian.
Selalunya, ia membantu untuk berhubung dengan anak anda dengan cara yang tenang, kemudian membimbing mereka kepada tingkah laku yang lebih baik.
Rujukan
- Lyness, D. (2021). Childhood Depression: What Parents Need to Know. KidsHealth.