Setiap umat Islam mesti beriman kepada hari kiamat. Tiada siapa yang mengetahui bila ia akan berlaku. Apa yang pasti Allah SWT dan Rasulullah SAW telah meninggalkan kita dengan petunjuk berkenaan dengan tanda-tanda kiamat sama ada tanda kecil atau tanda besar kiamat.
Tanda-tanda kiamat ini boleh menjadi panduan untuk kita bagi mempersiapkan diri dan tidak lalai dalam mengimbangi antara kehidupan akhirat dan kenikmatan dunia yang tidak kekal ini.
Artikel ini menyenaraikan 10 tanda-tanda kecil kiamat yang sudah berlaku dan boleh disaksikan dalam lipatan sejarah.
Berikut adalah 10 tanda kecil kiamat yang sudah berlaku:
1. Diutuskan Nabi dan Rasul Terakhir
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,
Nabi Muhammad SAW bersabda sambil merapatkan jari telunjuk dan jari tengah baginda, “Jarak diutusnya aku dengan hari kiamat seperti dua jari ini. Seperti keutamaan salah satunya atas satu lagi.”
Hadis ini memberi isyarat bahawa jarak antara baginda diutuskan dengan hari kiamat amatlah dekat. Pengutusan baginda sebagai nabi dan rasul yang terakhir menjadi tanda kecil kiamat yang sudah berlaku.
2. Terbelahnya Bulan
Bulan terbelah dua adalah salah satu mukjizat yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Qamar ayat 1-2:
“Ketika hampir saat (kedatangan hari kiamat), akan terbelahlah bulan. Apabila mereka (kaum musyrikin Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Inilah ) sihir yang terus-menerus berlaku.”
Bulan yang terbelah dua ini disaksikan oleh ramai penduduk Mekah. Ia diceritakan oleh Anas Bin Malik.
“Penduduk Mekah pernah meminta Nabi Muhammad SAW menunjukkan kepada mereka satu tanda kenabian. Baginda pun menunjukkan kepada mereka terbelahnya bulan sebanyak 2 kali.” (HR Muslim)
3. Kewafatan Nabi Muhammad SAW
Tanda kecil kiamat yang seterusnya adalah kewafatan baginda Rasulullah SAW. Kewafatan Rasulullah SAW menjadi satu musibah yang besar bagi umat Islam.
Kewafatan baginda menandakan terputusnya wahyu dan bermulanya pelbagai fitnah yang menimpa umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda kepada Auf bin Malik, sabdanya: “Hitunglah enam perkara diambang kiamat, iaitu kematianku, penaklukan Baitulmuqaddis, merebaknya penyakit maut yang biasanya menimpa haiwan ternakan seperti kambing. Kemudian, melimpah-ruahnya harta sehinggakan apabila seseorang diberikan 100 dinar dia masih tidak gembira. Selepas itu, fitnah memasuki setiap rumah orang Arab dan genjatan senjata antara umat Islam dan Bani Ashfar. Namun begitu, mereka kemudiannya mengkhianati kamu lalu datang kepada kamu dengan 80 panji dan di setiap panji ada 21,000 orang askar.” – (HR Bukhari).
4. Penaklukan Kota Baitulmuqaddis
Tanda kiamat kecil yang telah berlaku berikutnya adalah penaklukan kota Baitulmuqaddis yang berlaku semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Khattab iaitu pada tahun 16 Hijrah.
Pada kali kedua, Baitulmuqaddis ditakluk oleh Salahuddin al-Ayubbi pada tahun 583 Hijrah.
Penaklukan Baitulmuqaddis ini adalah khabar ghaib yang disampaikan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
Ini adalah bukti kebenaran tanda-tanda kiamat yang disampaikan baginda.
5. Tersebarnya Penyakit Taun
Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Auf bin Malik mengenai 6 perkara diambang kiamat dan salah satunya adalah penyakit maut yang biasanya menimpa haiwan ternakan seperti kambing.
Penyakit tersebut adalah penyakit taun yang berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab.
Penyakit ini tersebar di Syam pada tahun 18 Hijrah. Pada ketika itu, lebih daripada 25,000 orang Islam meninggal dunia.
6. Munculnya Nabi Palsu
Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa:
“Tidak akan terjadi kiamat sehingga munculnya para Dajjal si pembohong yang jumlahnya hampir mencapai 30 orang. Masing-masing mengaku diri mereka rasul (utusan) Allah.” (HR Muslim)
Kemunculan nabi palsu ini telah pun berlaku pada zaman sahabat. Antaranya adalah:
- Musailamah al-Kazzab
- Malik bin Nuwairah
- al-Aswad al-Ansi
- Sajjah (bomoh wanita)
Selepas itu, semasa zaman tabiin muncul pula nabi palsu seperti:
- al-Mukhtar ats-Tsaqafi
Pada tahun 1233 Hijrah, muncul nabi palsu atau dajjal yang mengaku nabi di Iran, al-Mirza Abbas.
Kemudiannya, muncul nabi palsu di beberapa buah negara seperti:
- Mahmud Muhammad Thaha dari Sudan yang dihukum mati pada tahun 1985.
- Mirza Ghulam Ahmad dari India
- Lia Aminuddin dari Indonesia
7. Jalan-jalan yang Aman
Adi bin Hatim menceritakan apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW kepadanya. “Tidak akan terjadi kiamat sampai ada seorang wanita yang berjalan dari Hijaz menuju Iraq dalam keadaan aman, tidak takut kepada apa pun.”
Adi bin Hatim berkata, “Benarlah kerana saya sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri.” (HR Ahmad)
Tanda kecil ini juga sudah berlaku di mana pada suatu masa dahulu jalan-jalan tersebut tidak selamat dilalui kecuali rombongan tersebut disertai para penjaga dan pengawal.
Namun kini, ia tidak lagi.
8. Api Keluar dari Hijaz sehingga Menerangi Leher-leher Unta di Basrah (Iraq)
Tanda kecil kiamat yang seterusnya adalah keluarnya api dari Hijaz (Arab Saudi) sehingga diketahui oleh penduduk di Iraq.
Rasulullah SAW bersabda: “Kiamat tidak akan terjadi sebelum api muncul dari tanah Hijaz yang dapat menerangi leher-leher unta di Basrah.” (HR Muslim)
Imam Nawawi ada menulis di dalam kitabnya Syarhun Nawawi Ala Muslim mengenai kemunculan api di Madinah pada tahun 654 Hijrah.
“Api itu sangat besar dan muncul dari arah timur Madinah di belakang Herat. Peristiwa ini diketahui oleh seluruh penduduk Syam (Baghdad) dan semua daerahnya. Penduduk Madinah yang menyaksikan hal ini mengisahkannya kepada saya.”
9. Harta Melimpah-ruah
Abu Hurairah menceritakan Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya: “Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah ada antara kamu yang mendapat harta yang banyak melimpah-ruah sehinggakan pemilik harta mencari-cari orang untuk menerima sedekahnya. Apabila seorang dipanggil, maka dia berkata, “Saya tidak memerlukannya.” (HR Bukhari)
Perkara ini sudah terjadi pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Dikatakan pada masa ini para pemberi zakat terpaksa pulang kerana tidak berjumpa seorang pun yang berhak menerimanya.
10. Terjadinya Peperangan dengan Turki
Salah satu tanda kiamat yang diberitakan oleh Rasulullah SAW ialah adanya beberapa kaum dari Tatar yang memerangi kaum Muslimin.
Rasulullah SAW bersabda: “Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah kamu memerangi satu kaum yang bersandal bulu dan sampai kalian memerangi bangsa Tatar yang bermata sepet, berwajah merah, berhidung kecil, seakan-akan wajah mereka bagaikan tameng yang ditempa palu.” (HR Ahmad)
Peperangan dengan Tatar ini telah terjadi pada awal pemerintahan Bani Umaiyah. Sifat-sifat yang disebut oleh Rasulullah SAW amat sesuai dengan bangsa Tatar yang berasal dari Turki.
Tatar adalah satu kaum yang ganas. Mereka hanya tahu membunuh, merompak, merampas harta dan membuat kerosakan di mana pun mereka berada.