Menimang cahaya mata sudah semestinya satu momen yang mengembirakan dan mengujakan bagi ramai ibu bapa. Walaupun, tidak cukup tidur pada waktu malam atau sering perlu menukar lampin.
Meskipun begitu, bersama dengan kegembiraan, keibubapaan juga membawa kebimbangan tentang kesihatan dan kesejahteraan bayi anda. Lebih-lebih lagi jika anda mula melihat apa-apa kelainan dengan perkembangan anak anda.
Ramai ibu bapa yang mengesan tanda awal autisme pada bayi mereka pada usia 2 tahun. Tetapi, ada juga yang kelihatan seawal usia 2 bulan.
Kurang hubungan mata, kurang gerak isyarat dan tidak bertindak balas apabila nama mereka dipanggil adalah antara tanda-tanda awal autisme pada bayi.
Sebagai ibu bapa, sekiranya anda tahu apa yang perlu dicari atau diperhatikan, anda mungkin boleh mengenal pasti tanda awal austisme.
Ini kerana tanda-tanda awal autisme bukanlah kehadiran tingkah laku yang tidak dijangka, tetapi ketiadaan kemahiran atau keupayaan yang biasanya berkembang pada usia tertentu.
The Centers for Disease Control and Prevention melaporkan bahawa kebanyakan ibu bapa dengan anak autisme perasan akan beberapa tanda semasa 1 tahun pertama dan 80 hingga 90% melihat perbezaan perkembangan semasa anak mereka berusia 2 tahun.
Menurut satu kajian, dalam kira-kira 42% kanak-kanak autistik, gejala atau tanda mula-mula kelihatan antara 7 dan 12 bulan. Di samping itu, kelewatan bahasa adalah salah satu sebab yang paling biasa untuk mendorong penilaian untuk kecelaruan spektrum autisme (ASD). [1]
Berikut adalah tanda-tanda awal autisme pada bayi yang boleh menjadi panduan untuk anda membuat penilaian selanjutnya:
1. Kurang Hubungan Mata
Bayi akan mula melakukan hubungan mata apabila mereka berusia sekitar 2 bulan. Menjelang usia 2 bulan, bayi biasanya boleh mengesan wajah dan membuat hubungan mata dengan mahir. [2]
Hubungan mata kemudiannya menjadi satu cara untuk membina hubungan sosial dan mendapatkan maklumat tentang persekitaran mereka.
Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa kemerosotan hubungan mata antara usia 2 hingga 6 bulan boleh menjadi petanda autisme. [3]
2. Ekpresi Muka Berkurangan Termasuk Senyum
Ekspresi muka ialah cara bukan lisan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan.
Usia 2 bulan juga menjadi waktu pertama senyuman bayi anda. Jadi, jika bayi anda kelihatan lambat dalam keupayaan tersenyum atau kurang ekspresi muka, ia boleh menjadi tanda autisme pada bayi anda.
Walau bagaimanapun, ia penilaian lanjut oleh ahli profesional kesihatan masih diperlukan.
3. Skil yang Merosot atau Menghilang
Sebarang kemerosotan atau kehilangan kemahiran yang ketara boleh menjadi tanda autisme pada bayi anda.
Sebagai contoh, bayi yang banyak membebel mungkin kelihatan kurang membebel dari semasa ke semasa, atau bayi yang kerap melihat penjaga mungkin tidak lagi seperti itu.
Apabila semakin membesar, tanda-tanda autisme semakin mudah untuk dikenal pasti. Contohnya seperti:
- Lambat atau tidak bercakap
- Ekolalia atau mengulang perkataan atau frasa tanpa niat untuk berkomunikasi
- Kesukaran dengan perubahan rutin
- Minat yang mendalam terhadap objek selain daripada mainan, atau menyusun mainan dalam barisan yang teratur dan bukannya bermain dengannya.
- Pergerakan berulang-ulang termasuk mengepak tangan, berputar, atau bergoyang.
- Masalah gastrousus berlarutan
- Kelewatan dalam latihan tandas
Jika anda melihat mana-mana tanda ini, ia tidak semestinya bermakna anak anda menghidap ASD. Untuk mendapat kepastian, pertimbangkan untuk mendapatkan bimbingan daripada ahli profesional kesihatan.
4. Pengurangan Penjejakan Mata
Menurut The Centers for Disease Control and Prevention, bayi berusia 2 bulan harus mula mengikuti pergerakan dengan mata mereka.
Penjejakan mata yang berkurangan boleh menjadi tanda awal autisme atau ketidakupayaan perkembangan lain.
5. Tiada atau Kurang Tindak Balas Apabila Namanya Dipanggil
Pada usia 6 bulan, kebanyakan bayi menunjukkan kesedaran tentang nama mereka sendiri, terutamanya apabila nama itu disebut oleh ibu mereka.
Bayi autistik menunjukkan perbezaan perkembangan di mana menjelang usia 9 bulan, ramai bayi yang kemudiannya mengalami ASD tidak berorientasikan nama mereka sendiri. Keadaan ini berterusan sehingga usia mereka 2 tahun.
Bayi yang secara konsisten gagal bertindak balas terhadap nama mereka pada tahun kedua kehidupan mungkin berisiko mengalami ASD. [4]
6. Kurang Penglibatan dengan Penjaga
Pada usia sekitar 4 bulan, bayi mungkin menunjukkan minat terhadap orang lain dan bertindak balas terhadap kasih sayang.
Jika tingkah laku ini tiada atau kelihatan seperti bayi anda sering “dalam dunia mereka sendiri”, ini mungkin tanda awal autisme.
Untuk kepastian, anda boleh mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Bayi Anda Menunjukkan Tanda Autisme?
Jika anda bimbang bayi anda mungkin menunjukkan tanda-tanda autisme, adalah penting untuk tidak membuat kesimpulan tanpa berunding terlebih dahulu dengan doktor perubatan anak anda.
Hanya kerana bayi mempunyai beberapa tanda autisme tidak bermakna mereka akan menerima diagnosis ASD.
Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga lebih mengenali anak mereka. Oleh itu, jika sesuatu masih kelihatan seperti “tidak kena” walaupun selepas doktor mengatakan tiada apa yang perlu dibimbangkan, jangan takut untuk mendapatkan pendapat kedua.
Bukti menunjukkan bahawa diagnosis awal dan rawatan autisme membawa kepada hasil jangka panjang yang lebih baik.
Baru-baru ini, penyelidikan yang diterbitkan pada 2021 mendapati bahawa bayi dengan tanda-tanda awal autisme yang menerima intervensi terapi pencegahan mempunyai pengurangan keterukan autisme. Mereka juga mempunyai kemungkinan yang lebih rendah untuk didiagnosis dengan ASD pada usia 3 tahun. [5]
Rujukan
- Parmeggiani, A. et al. (2019). Early features of autism spectrum disorder: a cross-sectional study. Italian journal of pediatrics.
- Okumura, Y. et al. (2016). Eye Contact Affects Object Representation in 9-Month-Old Infants. PloS one.
- Jones, W., & Klin, A. (2013). Attention to eyes is present but in decline in 2-6-month-old infants later diagnosed with autism. Nature.
- Miller, M. et al. (2017). Response to Name in Infants Developing Autism Spectrum Disorder: A Prospective Study. The Journal of pediatrics.
- Whitehouse, A. J. O. et al. (2021). Effect of Preemptive Intervention on Developmental Outcomes Among Infants Showing Early Signs of Autism: A Randomized Clinical Trial of Outcomes to Diagnosis. JAMA pediatrics.