Autisme adalah satu spektrum. Ini bermaksud setiap individu autisme mempunyai keperluan sokongan dan kekuatan yang berbeza-beza. Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), autisme dikategorikan kepada 3 tahap iaitu tahap 1, 2 dan 3.
Pembahagian tahap ini merangkumi dua bidang berfungsi iaitu komunikasi sosial dan tingkah laku berulang-ulang dan terhad.
Tahap-tahap yang diberikan oleh doktor ini akan mencerminkan berapa banyak bantuan luar yang mungkin diperlukan oleh penghidap autisme dalam kehidupan seharian mereka.
Autisme Tahap 1: Memerlukan Sokongan
Individu atau kanak-kanak yang memenuhi kriteria untuk tahap 1 mungkin mengalami cabaran sosial yang memerlukan sokongan.
Mereka mungkin mengalami kesukaran untuk:
- Memulakan perbualan dengan orang lain
- Mengekalkan minat dalam perbualan
- Bertindak balas seperti yang diharapkan oleh orang lain
Akibatnya, mereka mungkin mengalami kesukaran untuk membuat kawan baru terutamanya jika tanpa sokongan.
Individu itu juga mungkin:
- Merasakan keperluan untuk mengikuti corak tingkah laku yang tegar
- Memerlukan bantuan dengan penyusunan dan perancangan
- Berasa tidak selesa dengan perubahan situasi seperti persekitaran baharu
Autisme Tahap 2: Memerlukan Sokongan yang Banyak
Individu atau kanak-kanak yang memenuhi kriteria tahap 2 memerlukan lebih banyak sokongan daripada mereka yang mempunyai autisme tahap 1.
Cabaran sosial boleh menyukarkan mereka untuk mengadakan perbualan. Walaupun dengan sokongan, golongan ini mungkin berasa sukar untuk berkomunikasi secara logik dan konsisten.
Mereka lebih cenderung untuk bertindak balas dengan cara yang dianggap oleh orang kebanyakan sebagai mengejutkan atau tidak sesuai.
Individu ini mungkin:
- Bercakap dengan ayat pendek
- Hanya membincangkan topik-topik tertentu sahaja
- Mengalami kesukaran memahami atau menggunakan komunikasi bukan lisan, termasuk ekspresi muka
Contohnya, mereka mungkin berpaling muka daripada orang yang sedang bercakap dengannya.
Penghidap autisme tahap 2 juga mungkin mengalami kesukaran untuk berfungsi setiap hari disebabkan oleh cabaran untuk menghadapi perubahan.
Menghadapi perubahan mungkin menyebabkan mereka mengalami kesusahan yang ketara.
Autisme Tahap 3: Memerlukan Sokongan yang Sangat Banyak
Penghidap autisme yang dikategorikan sebagai tahap 3 adalah kumpulan yang memerlukan sokongan yang paling banyak.
Mereka akan berasa sangat sukar untuk menggunakan atau memahami komunikasi lisan dan bukan lisan.
Individu autisme pada tahap 3 mungkin:
- Mengelakkan atau mengehadkan interaksi dengan orang lain
- Menunjukkan minat yang terhad terhadap rakan
- Sukar untuk menyertai permainan imaginatif dengan rakan sebaya
- Mengalami kesukaran untuk membentuk persahabatan
Selain itu, mereka juga mungkin:
- Menghadapi kesukaran yang melampau dalam mengubah aktiviti atau rutin harian mereka
- Mengalami tahap kesusahan yang tinggi jika situasi memerlukan mereka mengubah fokus atau tugasan mereka
- Mengikuti corak tingkah laku yang berulang seperti membalikkan atau memusingkan objek, sehingga ia menjejaskan keupayaan mereka untuk berfungsi
Sokongan
Seorang autistik akan sentiasa menghidap autisme, tetapi sokongan dan terapi boleh membantu mereka menguruskan cabaran yang dihadapi.
Sebagai contoh, sokongan boleh membantu mengurangkan:
- Hiperaktiviti
- Kerengsaan
- Keagresifan
- Tingkah laku obsesif
- Impulsif
- Perubahan mood
- Masalah keresahan
- Defisit perhatian
Tiada ubat yang tersedia untuk autisme, tetapi terapi pendidikan dan tingkah laku boleh membantu, terutamanya dengan kanak-kanak yang lebih muda.
Intervensi ini boleh memberi tumpuan kepada bidang tertentu yang mencabar bagi kanak-kanak tersebut.
Rujukan
- Kandola, A. (2023). Levels of autism: Everything you need to know. MedicalNewsToday