Al-Quran adalah ubat kepada jiwa manusia. Bagi umat Islam, mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran atau membaca surah-surah di dalam Al-Quran boleh membantu menenangkan hati dan minda.
Malah, terdapat kajian-kajian yang membuktikan bahawa surah-surah di dalam Al-Quran boleh membantu mengurangkan keresahan (anxiety) dan kemurungan dalam kalangan mereka yang mengalami gangguan kesihatan mental ini.
Bagi anda yang sedang mencari surah-surah yang sesuai untuk anda menenangkan hati atau mengurangkan gangguan mental yang dialami, kami senaraikan surah-surah yang sesuai dibaca dan telah dibuktikan keberkesanannya dalam kajian.
1. Surah Ar-Rahmaan
Surah Ar-Rahmaan adalah surah ke-55 dalam Al-Quran yang diturunkan di Makkah. Surah ini mengandungi 78 ayat.
Audio Bacaan Surah Ar-Rahmaan
Kajian Berkenaan Surah Ar-Rahmaan
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa Surah Ar-Rahmaan boleh membantu menenangkan dan merawat kemurungan.
Kajian yang melibatkan wanita Muslim yang mengalami kecelaruan episod kemurungan major. Hasil kajian ini mendapati pesakit yang mendengar bacaan surah Ar-Rahmaan mengalami pengurangan kepada paras kemurungan yang dialami. [1]
2. Surah Al-Insyiraah
Surah Al-Insyiraah adalah surah ke-94 dalam Al-Quran yang diturunkan di Makkah dan mengandungi sebanyak 8 ayat.
Audio Bacaan Surah Al-Insyiraah
Kajian Berkenaan Surah Al-Insyiraah
Satu kajian yang dijalankan terhadap wanita Muslim semasa bersalin mendapati mendengar bacaan surah Al-Insyiraah mempunyai kesan positif terhadap kesakitan, keresahan dan keselesaan. [2]
Kajian ini turut menyimpulkan bahawa menyokong kerohanian wanita dengan surah Al-Insyiraah membolehkan mereka menjalani proses ini dengan lebih positif dan memberikan mereka penjagaan rohani seperti yang diperlukan oleh penjagaan kejururawatan dan perbidanan.
Selain itu, surah Al-Insyiraah juga sesuai untuk dibaca bagi menghilangkan rasa gugup atau gementar. Contohnya ketika ingin menghadapi temuduga.
3. Surah Al-Falaq
Surah Al-Falaq adalah surah ke-113 dalam Al-Quran. Surah ini diturunkan di Makkah dan mengandungi 5 ayat.
Audio Bacaan Surah Al-Falaq
Surah Al-Falaq adalah surah yang baik untuk dibaca dan didengar bagi melindungi diri kita daripada hasad dengki.
Hasad dengki atau cemburu membuatkan seseorang itu cenderung melakukan perkara-perkara yang dilarang.
Tambahan itu lagi, hasad dengki juga membuatkan seseorang itu terus menerus berada dalam keadaan tertekan dan hati yang tidak tenang.
Ringkasan
Secara umumnya, membaca Al-Quran tidak kira surah apa pun boleh menenangkan hati dan minda sesiapa yang membacanya.
Secara khususnya, terdapat kajian yang mendapati mendengar bacaan surah Ar-Rahmaan dan Al-Insyiraah boleh membantu mengurangkan kemurungan, keresahan dan mendatangkan keselesaan kepada pendengarnya.
Selain itu, surah Al-Falaq juga merupakan surah yang baik untuk dibaca dan didengar bagi melindungi kita daripada perasaan cemburu atau hasad dengki.
Perasaan cemburu dan hasad dengki ini akan menyebabkan hati dan minda yang tidak tenang.
Rujukan
- Rafique, R. et al. (2019). Efficacy of Surah Al-Rehman in Managing Depression in Muslim Women. Journal of religion and health.
- Kocak, M. Y. et al. (2022). The Effect of Listening to the Recitation of the Surah Al-Inshirah on Labor Pain, Anxiety and Comfort in Muslim Women: A Randomized Controlled Study. Journal of religion and health.