Bagi anda yang mencari solusi untuk tenangkan hati, menghilangkan kegelisahan, menghilangkan rasa malas atau melindungi diri dari gangguan makhluk halus, artikel ringkas ini menyenaraikan surah atau ayat yang boleh diamalkan.
Pada masa ini, terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami hati yang tidak tenang, hati yang sentiasa gelisah, rasa malas atau gangguan-gangguan yang lain.
Sebagai umat Islam, Al-Quran adalah panduan terbaik untuk dijadikan pedoman hidup serta penawar untuk keluar daripada pelbagai masalah berkaitan hati dan kesihatan mental.
Malah, mengamalkan zikir dan ayat-ayat Al-Quran boleh menjadi benteng yang menghalang sebarang gangguan yang boleh melemahkan anda.
1. Untuk Tenangkan Hati, Menghilangkan Rasa Gelisah, Khuatir dan Takut
Maksudnya: “Iaitu (orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah). Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati-hati manusia.” – Surah Ar-Ra’d ayat 28.
Baca ayat ini sebanyak 7 kali pada setiap pagi dan petang.
2. Mengatasi Perasaan Malas
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad!), kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya maka dengan isi kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan (daripada segala benda dan perkara yang tidak kekal).” – Surah Yunus ayat 58.
3. Mengatasi Masalah Gangguan Sihir, Kedengkian, Gangguan Syaitan, Penyakit Jiwa
Bacalah surah Al-Baqarah secara berperingkat-peringkat. Baca surah ini setiap hari mengikut kemampuan anda. Sambung pada keesokkan harinya sekiranya tidak mampu menghabiskannya pada hari tersebut.
Selain itu, anda disarankan untuk menambah dengan membaca surah al-Falaq dan surah an-Nas dalam proses menyembuhkan jiwa secara menyeluruh.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Janganlah menjadikan rumah kamu seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari daripada rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah”. [HR Muslim]
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri mengatakan yang dimaksudkan dengan menjadikan rumah seperti perkuburan adalah rumah yang kosong daripada zikir dan ketaatan maka dengan itu menjadikannya seperti perkuburan atau seperti orang yang mati. [Tuhfah al-Ahwazi, 146/8]
Kredit & Rujukan
- Facebook Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah
- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Kelebihan Membaca Surah Al-Baqarah