Setiap orang pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Bagi umat Islam, salah satu cara membersihkan diri daripada dosa-dosa adalah melalui taubat dan solat taubat.
Taubat bermaksud kembali kepada Allah dengan sebenar-benar kembali. Ia juga membawa maksud meninggalkan maksiat.
Kadang-kadang kesilapan atau dosa masa lalu sering kali menghantui diri kita sehingga membuatkan kita sentiasa rasa bersalah, tidak dapat menerima diri sendiri atau tidak mampu untuk maju ke hadapan.
Keadaan ini tidak baik untuk kesihatan mental dan fizikal kita. Dibelenggu dengan masalah dan dosa tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada kita. Tetapi, jika kita bertaubat dan berubah ke arah yang lebih baik, tindakan ini akan mengubah diri kita.
Salah satu cara untuk keluar daripada kesilapan-kesilapan lalu adalah dengan bertaubat dan solat taubat adalah sebahagian daripadanya.
Solat taubat atau solat sunat taubat adalah solat sunat yang dikerjakan apabila seseorang itu melakukan dosa atau kezaliman dan ingin bertaubat daripada kesalahan tersebut.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq R.A beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian baginda membaca ayat ini:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ
Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Aali Imran: 135]
Riwayat Abu Dawud (1521)
Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita cara untuk membersihkan diri dari perbuatan dosa dan zalim. Tiga intipati utama dalam hadis tersebut adalah bersuci (berwuduk) dengan sempurna, mengerjakan solat dua rakaat serta diakhiri dengan istighfar kepada Allah SWT.
Cara Solat Taubat
Sebelum mengerjakan solat, pastikan anda berwuduk dengan sempurna.
1. Niat solat sunat taubat
Lafaz niat adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat taubat 2 rakaat tunai kerana Allah Taala.”
Kemudian, disertai takbiratul ihram dan doa iftitah.
2. Rakaat Pertama: Baca Surah al-Fatihah dan Surah al-Kafirun
Membaca surah al-Fatihah
Kemudian, membaca surah al-Kafirun
Kemudian diikuti oleh rukuk dan sujud seperti biasa.
3. Rakaat Kedua: Baca Surah al-Fatihah dan Surah al-Ikhlas
Membaca surah al-Fatihah
Kemudian, dituruti oleh surah al-Ikhlas
Seterusnya, rukuk, sujud dan tahiyyat akhir. Memberi salam.
Nota: Bacaan surah-surah lain juga boleh dibaca selain surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas. Terdapat riwayat daripada Ibn Al-Sunni yang mengatakan supaya dibaca surah al-Kafirun dan juga surah al-Ikhlas.
4. Selepas Memberi Salam
Selepas seseorang itu selesai menunaikan solat sunat taubat, hendaklah dia melazimi atau memperbanyakkan istighfar kepada Allah s.w.t.
Istighfar boleh seringkas “Astaghfirullah”
atau
atau
Bacaan-bacaan istighfar ini tiada hadnya, boleh dilakukan semampu mungkin.
Doa Solat Taubat
Akhir sekali adalah berdoa.
Maksudnya:
Aku minta ampun dari Allah. Kami bertaubat kepada Allah dan kami kembali kepada-Nya. Kami menyesal atas apa yang telah kami lakukan.
Dan kami berazam tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut buat selama-lamanya. Dan kami berlepas diri dari segala agama yang bertentangan dengan agama Islam.
Dan kami naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Dan kami naik saksi bahawa nabi Muhammad pesuruh Allah, selawat dan salam ke atasnya.
Kami redha Allah sebagai tuhan kami. Dan Islam sebagai agama kami. Dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi dan rasul.
Ya Allah peliharalah ke atas nabi Muhammad s.a.w, keluarganya dan para sahabatnya, semoga selamat sejahtera. Berlakulah lembut dan belas kasihan ke atas kami serta orang-orang yang beriman.
Rujukan
- Muhammad Fahmi Rusli. (2017). Al-Kafi #651: Tatacara Solat Sunat Taubat. Mufti Wilayah Persekutuan.