Jenis-jenis

Skizofrenia: Penyakit Mental yang Serius

Pinterest LinkedIn Tumblr

Skizofrenia ialah penyakit mental yang serius yang menyebabkan pemikiran seseorang itu bercelaru dan mentafsir kenyataan secara tidak normal. Penyakit ini juga akan menyebabkan penghidapnya mengalami delusi, halusinasi, pemikiran abnormal dan perceraian antara emosi dengan pemikiran.

Menurut WHO, penyakit mental ini telah memberi kesan kepada 20 juta orang di seluruh dunia. Malah, penghidap penyakit ini turut terdedah kepada penyakit kardiovaskular, penyakit metabolik dan jangkitan yang boleh membawa maut.

Skizofrenia boleh dirawat. Namun, jika tidak dirawat simptom-simptom penyakit ini boleh menjadi kekal. Oleh itu rawatan terutamanya rawatan pada peringkat awal dapat membantu mengawal simptom-simptom ini sebelum ia berterusan menjadi serius.

skizofrenia

Gejala atau Simptom-Simptom

Skizofrenia melibatkan masalah yang berkaitan pemikiran (kognitif), emosi dan tingkah laku. Kebiasaannya, penyakit ini didiagnos pada usia lewat remaja hingga awal 30-an dan berlaku lebih awal bagi lelaki berbanding wanita.

Simptom-simptom Skizofrenia boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu:

1. Simptom psikotik

Simptom-simptom ini menyebabkan perubahan pada deria penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan sentuhan. Ia juga melibatkan pemikiran yang tidak normal dan kelakuan yang pelik.

Individu yang mempunyai simptom psikotik ini akan mengalami halusinasi, delusi dan kecelaruan pemikiran yang turut menyebabkan percakapan yang tidak teratur.

2. Simptom negatif

Simptom-simptom negatif akan menganggu emosi, kelakuan dan keupayaan seseorang itu. Mereka akan berasa hilang motivasi, kurang berminat atau tidak seronok untuk menjalani aktiviti harian, mengelak daripada bersosial dan sukar untuk menunjukkan ekspresi emosi sama ada melalui air muka atau suara.

3. Simptom Pemikiran (Kognitif)

Simptom-simptom kognitif melibatkan masalah memori, fokus dan perhatian. Simptom ini berbeza-beza bagi setiap orang, ada yang tidak teruk dan ada yang teruk sehingga menganggu aktiviti harian.

Individu yang mengalami simptom ini akan:

  • Sukar memproses maklumat dan membuat keputusan.
  • Sukar untuk memberi tumpuan.
  • Sukar untuk menggunakan maklumat selepas mempelajarinya.

Punca-punca Skizofrenia

Punca sebenar atau tepat yang menyebabkan penyakit ini tidak diketahui. Pengkaji percaya beberapa faktor mungkin menyumbang kepada penyakit ini, iaitu:

  • genetik
  • persekitaran
  • biologi

Penyakit ini boleh juga berlaku disebabkan oleh keturunan. Namun, harus diingat tidak semestinya sekiranya terdapat seorang penghidap Skizofrenia dalam keluarga itu, ahli keluarga yang lain menghidap penyakit ini juga.

Gabungan faktor genetik dan persekitaran seseorang itu turut menyumbang kepada pembentukan Skizofrenia. Kemiskinan, kekurangan zat makanan ketika dalam kandungan, persekitaran yang penuh dengan tekanan dan terdedah kepada virus mungkin turut menjadi faktor yang menyumbang kepada penyakit ini.

Kajian pada 2014 yang dijalankan terhadap pesakit Skizofrenia menunjukkan kejanggalan pada sesetengah struktur otak. Keabnormalan kimia dalam otak dipercayai bertanggungjawab kepada banyak simptom Skizofrenia.

Terapi dan Rawatan Skizofrenia

Punca sebenar kepada penyakit Skizofrenia ini tidak diketahui secara sepenuhnya. Oleh itu, terapi dan rawatan kepada penyakit ini menumpukan kepada rawatan untuk menguruskan atau mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.

Antara rawatan yang ada ialah:

1. Ubat Antipsikotik

Ubat jenis ini boleh mengurangkan gejala psikotik. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk pil atau suntikan. Biasanya, pakar psikiatri akan membantu dalam mencadangkan ubat yang sesuai serta gabungan ubat yang sesuai untuk pesakit.

Ubat antipsikotik generasi kedua yang lebih baru dan mempunyai risiko kesan sampingan yang lebih rendah disarankan digunakan. Antara ubat antipsikotik generasi kedua ialah:

  • Aripiprazole (Abilify)
  • Asenapine (Saphris)
  • Brexpiprazole (Rexulti)
  • Cariprazine (Vraylar)
  • Clozapine (Clozaril, Versacloz)
  • Iloperidone (Fanapt)
  • Lurasidone (Latuda)
  • Olanzapine (Zyprexa)
  • Paliperidone (Invega)
  • Quetiapine (Seroquel)
  • Risperidone (Risperdal)
  • Ziprasidone (Geodon)

2. Rawatan Psikososial

Beberapa kaedah terapi atau sokongan sosial seperti Terapi Tingkah laku Kognitif, Latihan Kemahiran Tingkah Laku, Intervensi Pemulihan Kognitif dan sokongan pekerjaan boleh membantu menangani simptom-simptom negatif dan kognitif.

Gabungan antara ubat antipsikotik dan rawatan psikososial ini selalu digunakan bagi pesakit Skizofrenia untuk menghadapi kehidupan harian.

3. Pendidikan dan Sokongan Keluarga

Ini adalah program yang diberikan kepada hali keluarga dan kawan-kawan kepada penghidap Skizofrenia. Program ini melibatkan pendidikan mengenai simptom-simptom Skizofrenia, rawatan dan strategi untuk membantu pesakit.

4. Dimasukkan ke Hospital

Semasa berlakunya simptom-simptom yang teruk, pesakit mungkin dikehendaki dimasukkan ke hospital bagi memastikan keselamatan, pemakanan yang betul, tidur yang mencukupi dan kebersihan diri terjaga.

Apa yang Anda Boleh Lakukan?

Sekiranya ada ahli keluarga atau kawan-kawan anda yang menghidapi panyakit ini. Beberapa langkah yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Membantu mereka mendapatkan rawatan dan mengalakkan mereka agar terus dalam program rawatan.
  • Menghormati dan menyokong mereka tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
  • Ingat bahawa mereka percaya halusinasi mereka itu benar.
  • Kenal pasti sekiranya terdapat kumpulan sokongan di kawasan anda.

Rujukan