Simptom-simptom ADHD biasanya muncul pada zaman kanak-kanak dan boleh berterusan ke alam dewasa. Gangguan ini ditandai oleh ketakperhatian (tidak memberi perhatian penuh), hiperaktif, dan impulsif yang mengganggu fungsi dalam pelbagai persekitaran seperti di rumah, sekolah, tempat kerja, dan persekitaran sosial.
ADHD tidak selalu kelihatan sama dari satu individu ke individu yang lain. Simptom-simptom ini boleh berubah apabila penghidapnya meningkat dewasa.
Simptom-simptom ADHD biasanya muncul pada awal usia, walaupun ia boleh menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak mula bersekolah.
Secara puratanya, umur diagnosis ADHD ialah 7 tahun. Anda atau anak anda juga mungkin didiagnosis lebih awal atau lebih lewat daripada itu, bergantung pada simptom dan keterukan yang mereka alami.
Kebanyakan orang dewasa yang didiagnosis dengan ADHD berkemungkinan mengalami simptom-simptom sejak zaman kanak-kanak yang tidak disedari atau tersalah diagnosis.
Simptom-simptom ADHD
ADHD melibatkan pelbagai simptom yang sering dikategorikan kepada tiga jenis utama iaitu:
- Ketakperhatian
- Hiperaktif-impulsif
- Gabungan antara ketakperhatian dan hiperaktif-impulsif
Simptom-simptom boleh berubah mengikut usia apabila kanak-kanak belajar kemahiran mengatasi. Sesetengah orang mungkin juga mengalami simptom yang kurang atau kurmereka meningkat dewasa, walaupun tanpa rawatan formal.
Simptom-simptom Ketakperhatian
Untuk didiagnosis dengan ADHD jenis ketakperhatian, anak anda atau anda mesti mengalami 6 atau lebih gejala berikut selama 6 bulan atau lebih:
- Sukar mengekalkan perhatian: Individu dengan ADHD sering menghadapi kesukaran untuk mengekalkan fokus pada tugas, terutamanya yang repetitif atau memerlukan usaha mental yang berterusan.
- Mudah terganggu: Mereka mungkin mudah teralih oleh rangsangan luaran atau pemikiran dalaman, menyebabkan kesukaran dalam menumpukan perhatian pada tugas.
- Masalah mengatur tugas dan aktiviti: Individu dengan ADHD ini mungkin mengalami kesukaran dalam mengatur tugas, menguruskan masa secara berkesan, dan mengutamakan tanggungjawab.
- Lupa: Lupa mengenai aktiviti harian, janji temu, dan tarikh luput adalah biasa.
- Kesukaran mengikut arahan: Kesukaran dalam menepati arahan dan menyelesaikan tugas, terutamanya yang kompleks atau memerlukan beberapa langkah.
- Selalunya kehilangan perkara yang diperlukan untuk tugasan dan aktiviti: Contohnya seperti bahan sekolah, pensel, buku, alatan, dompet, kunci, kertas kerja, cermin mata, telefon bimbit.
Simptom-simptom Hiperaktif-Impulsif
Sesetengah orang dengan ADHD mempunyai simptom-simptom yang berpaksikan hiperaktif dan impulsif.
Seperti simptom ketakperhatian, anda atau anak anda mesti mengalami sekurang-kurangnya 6 daripada simptom ini dalam tempoh 6 bulan untuk jenis hiperaktif-impulsif:
- Gelisah: Individu dengan ADHD mungkin kelihatan gelisah, sentiasa bergerak atau menggerak-gerakkan anggota badan, walaupun dalam situasi di mana ia tidak sesuai.
- Bercakap secara berlebihan: Penghidap ADHD mungkin bercakap secara berlebihan, sering mengeluarkan jawapan sebelum soalan selesai, atau mengganggu perbualan.
- Kesukaran terlibat dalam aktiviti yang sunyi: Kesukaran terlibat dalam aktiviti yang sunyi tanpa gerakan atau bunyi yang berterusan.
- Ketidakupayaan untuk duduk diam: Keinginan untuk meninggalkan tempat duduk, terutamanya dalam situasi di mana kekal duduk dijangkakan, seperti semasa kelas atau mesyuarat.
- Sentiasa bergerak: Dorongan yang jelas untuk sentiasa bergerak.
- Membuat keputusan secara impulsif: Bertindak tanpa mempertimbangkan akibatnya, mengakibatkan pembuatan keputusan secara impulsif dalam pelbagai aspek kehidupan.
- Kesukaran menunggu atau bergiliran: Kesukaran menunggu giliran dalam perbualan, permainan, atau situasi lain di mana menunggu adalah penting.
- Mengganggu orang lain: Mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain tanpa mempedulikan norma sosial atau peraturan.
Penting untuk diingat bahawa keterukan dan kombinasi simptom boleh sangat berbeza antara individu yang menghidap ADHD.
Selain itu, simptom boleh berubah dari masa ke masa dan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti usia, tahap tekanan, faktor persekitaran, dan keadaan yang wujud serentak.
Apakah Rupa ADHD Pada kanak-kanak?
Simptom-simptom ADHD lebih jelas dalam kalangan kanak-kanak terutamanya semasa mereka berada di alam persekolahan.
Kanak-kanak yang menghidap ADHD cenderung untuk mempunyai masalah memberi tumpuan dan mungkin tidak dapat mengatasi masalah ini berbanding rakan-rakan mereka.
Simptom-simptom ADHD dalam kalangan kanak-kanak kelihatan seperti:
- Sukar untuk bermain dengan senyap
- Lebih kerap berangan berbanding kanak-kanak lain
- Mempunyai masalah atau konflik dengan rakan-rakan
- Pelupa dan cenderung untuk kerap kehilangan barang
- Sukar untuk menunggu giliran atau bersabar
- Gelisah
- Mengambil risiko yang tidak perlu, seperti berlari ke jalan tanpa melihat terlebih dahulu
- Berlari-lari atau memanjat dalam situasi yang tidak selamat atau tidak sesuai
Ia juga boleh menjadi perkara biasa bagi kanak-kanak dengan ADHD untuk mengalami gangguan perkembangan saraf yang kedua.
Apabila kanak-kanak mencapai usia remaja, beberapa simptom hiperaktif dan impulsif mungkin berkurangan.
Simptom-simptom ketakperhatian, sebaliknya, lebih berkemungkinan kekal sehingga dewasa. Tetapi ramai orang dewasa dengan ADHD telah menemui cara untuk mengurus dan mengurangkan simptom-simptom ini juga.
Apakah Rupa ADHD Pada Orang Dewasa?
ADHD boleh muncul secara berbeza pada orang dewasa. Sebagai contoh, hiperaktif pada kanak-kanak boleh hadir sebagai kegelisahan pada orang dewasa.
Simptom-simptom ADHD dalam kalangan orang dewasa kelihatan seperti berikut:
- Kegelisahan
- Sukar untuk fokus semasa kerja
- Bertindak secara impulsif
- Sukar untuk kekal teratur semasa di rumah atau tempat kerja
- Sukar untuk mengutamakan tugasan, perancangan dan pengurusan masa
- Marah atau perubahan mood
- Sukar menguruskan stres
- Sukar untuk melakukan banyak tugasan
ADHD tidak bermula pada masa dewasa. Walaupun ia mungkin tidak dikenali atau didiagnosis, anda mungkin pernah mengalami simptom-simptom semasa kecil.
Simptom-simptom ADHD pada orang dewasa boleh kelihatan seperti atau disalah anggap sebagai keadaan kesihatan mental yang lain seperti kemurungan dan keresahan.
Doktor anda mungkin akan meminta anda memikirkan simptom yang mungkin anda alami semasa kecil untuk mengetahui sama ada ia adalah ADHD atau sesuatu yang lain.
Orang dewasa yang hidup dengan ADHD mungkin mengalami masalah pengangguran atau kewangan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Tetapi rawatan boleh memudahkan untuk menguruskan simptom-simptom dan mengurangkan halangan.
Apa yang Perlu Dilakukan Sekiranya Anak atau Anda Mempunyai Simptom-simptom Tersebut?
Jika anda mendapati terdapat simptom-simptom ADHD sama ada pada anak anda atau diri anda sendiri, anda boleh bermula dengan menghubungi doktor atau ahli profesional kesihatan mental untuk pemeriksaan.
Selain simptom-simptom tersebut, terdapat beberapa kriteria lain yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu didiagnosis dengan ADHD.
Oleh itu, adalah penting untuk anda mendapatkan pemeriksaan daripada ahli profesional kesihatan seperti:
- Pakar kanak-kanak (untuk anak anda)
- Ahli psikologi
- Ahli psikiatri
- Doktor kesihatan awam
Dalam sesetengah kes, doktor anda mungkin memulakan ujian darah untuk menolak sebarang keadaan kesihatan fizikal yang mungkin mempunyai simptom-simptom bertindih.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2023). Symptoms and Diagnosis of ADHD.
- Mark L. Wolraich. et al. (2019). Clinical Practice Guideline for the Diagnosis, Evaluation, and Treatment of Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder in Children and Adolescents. Pediatrics.