Doa ialah senjata umat Islam. Umat Islam disarankan berdoa dan meminta pertolongan daripada Allah SWT. Namun, mesti ramai yang tertanya-tanya apakah sebab doa mereka tidak dimakbulkan?
Setiap daripada kita mesti mempunyai hajat atau permintaan yang ingin dikabulkan oleh Allah SWT. Tidak kira ia untuk dunia atau akhirat. Walau bagaimanapun, memakbulkan doa tersebut adalah hak mutlak Allah SWT.
Namun, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk memudahkan sesuatu doa atau permintaan untuk dikabulkan oleh Allah SWT. Terdapat juga amalan atau perkara-perkara yang menjadi sebab mengapa doa seseorang itu tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
Menurut seorang ahli sufi iaitu Ibrahim bin Adham, beliau didatangi orang ramai dan kemudiannya mereka bertanya kepada beliau:
“Kami telah berdoa tetapi tidak dimakbulkan oleh Allah SWT, pada hal Allah SWT sudah berfirman (yang bermaksud): “Berdoalah kamu sekalian kepadaKu, nescaya Aku akan mengabulkan doamu itu.”
Maka, Ibrahim menjawab: “Hal sedemikian kerana hati kamu mati.”
Kemudian, beliau ditanya lagi: “Apa yang menyebabkan hati menjadi mati?”
Jawab Ibrahim: Ada 8 perkara yang menyebabkan hati menjadi mati iaitu:
- Kamu mengetahui hak Allah SWT tetapi kamu tidak melakukan.
- Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak amalkan ajaran-ajarannya.
- Kamu mengatakan,”Kami menyintai Rasulullah SAW”, tetapi kamu tidak mengamalkan sunnah Baginda.
- Kamu mengatakan “takut mati”, tetapi kamu tidak bersiap-siap untuknya.
- Allah SWT berfirman ertinya: “Sesungguhnya syaitan itu musuhmu yang nyata, maka perlakulah ia sebagai musuh”. (Surah al-Fathir: 6), tetapi sebaliknya kamu malah bersubahat dengan syaitan untuk membuat maksiat.
- Kamu mengatakan “takut neraka” tetapi kamu menganiaya diri sendiri dalam neraka.
- Kamu mengatakan “cinta syurga” tetapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.
- Apabila kamu bangun dari tempat tidur, kamu melemparkan aib kamu sendiri ke belakang punggung (menyembunyikan aib) dan kamu membentangkan aib orang lain dihadapan kamu dan kamu membuat kemurkaan Allah SWT.
Marilah sama-sama kita semak diri kita, di mana ada kekurangan, kita perbaiki. Mana yang sudah baik, kita cantikkan lagi. Semoga hari-hari kita menjadi lebih baik.
Rujukan
- Majalah Cahaya Keluaran JAKIM