Rukun nikah dalam Islam mengandungi 5 perkara. Tanpa salah satu daripadanya, maka pernikahan itu adalah tidak sah. Bagi anda yang bakal mendirikan rumah tangga, adalah penting untuk mengetahui rukun-rukun nikah ini.
Matlamat pernikahan adalah untuk mencapai kebahagian hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat keredhaan Allah SWT.
Nikah juga adalah sunnah. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah ia daripada golonganku.“
(Riwayat Ibn Majah)
Rukun Nikah dan Syarat-syarat Rukun Nikah
Rukun nikah ada 5 perkara iaitu:
- Calon suami (pengantin lelaki)
- Calon isteri (pengantin perempuan)
- Wali
- Dua orang saksi lelaki
- Lafaz ijab dan kabul (sighah)
Setiap rukun nikah mempunyai syarat-syarat tertentu. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
1. Calon Suami
Calon suami hendaklah:
- Islam
- Tentu orangnya
- Tidak mempunyai 4 orang isteri (termasuk yang telah dicerai tetapi masih dalam idah)
- Tidak dalam ihram haji atau umrah
- Sah kelelakiannya
- Tiada halangan untuk berkahwin dengan perempuan yang hendak dinikahi menurut hukum syarak
- Sukarela tanpa paksaan menurut hukum syarak
2. Calon Isteri
Calon isteri hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut:
- Islam atau Ahli Kitab (tetapi dengan syarat tertentu)
- Tentu orangnya
- Sah kewanitaannya
- Bukan isteri orang atau dalam idah suami terdahulu
- Tidak dalam ihram haji atau umrah
- Tiada tegahan syarak untuk berkahwin dengan lelaki yang akan menjadi suaminya
3. Wali
Wali pula hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
- Islam
- Lelaki
- Baligh
- Sukarela
- Tidak dalam ihram haji atau umrah
- Sempurna akal (tidak gila)
- Adil
- Tidak ditahan daripada menguruskan hartanya kerana safih (bodoh atau dungu)
Senarai Wali
Senarai wali mengikut susunan keutamaan:
- Bapa
- Datuk dan ke atas
- Saudara lelaki seibu dan sebapa (adik beradik)
- Saudara lelaki sebapa (adik beradik)
- Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa (anak saudara)
- Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa dan ke bawah (anak saudara)
- Saudara lelaki bapa seibu sebapa (bapa saudara)
- Saudara lelaki bapa sebapa (bapa saudara)
- Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa seibu sebapa (sepupu)
- Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa sebapa dan ke bawah (sepupu)
- Saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa (datuk saudara)
- Saudara lelaki kepada bapa kepada bapa sebapa (datuk saudara)
- Anak saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa (sepupu kepada bapa)
- Anak saudara lelaki kepada bapa kepada bapa sebapa (sepupu kepada bapa)
- Wali hakim (sekiranya tiada wali yang disebutkan di atas)
Wali Hakim
Seseorang perempuan boleh berkahwin menggunakan wali hakim apabila berlaku salah satu daripada sebab-sebab berikut:
- Tiada wali nasab
- Wali nasab yang dekat tidak memenuhi syarat wali dan wali yang berikut atau wali jauh tidak ada
- Wali berada ditempat yang jauh iaitu berada dalam atau lebih dua marhalah (tidak kurang dari 93 km) dan tidak mewakilkan kepada orang lain
- Wali yang ditahan dipenjara dan tidak dapat dihubungi
- Wali yang enggan menikahkannya tanpa sebab yang munasabah
- Wali menyembunyikan diri kerana tidak mahu menikahkannya
- Wali yang sengaja menangguhkan akad nikah tanpa sebab
- Wali hilang dan tidak diketahui tempatnya serta tidak diketahui sama ada masih hidup atau sudah mati
- Wali hendak bernikah dengan perempuan yang dia sendiri menjadi wali sedangkan tiada wali lain yang sedarjat dengannya
4. Saksi (2 Orang Saksi)
Syarat-syarat bagi saksi pula adalah seperti berikut:
- Islam
- Lelaki
- Baligh
- Sempurna akal
- Boleh mendengar
- Boleh melihat
- Boleh bertutur
- Faham bahasa ijab kabul
- Adil
- Tidak ditentukan menjadi wali
5. Lafaz Ijab dan Kabul
Ijab dan kabul perlu mengandungi perkara-perkara berikut:
- Lafaz ijab dengan lafaz nikah atau tazwij atau terjemahan.
- Lafaz akad tidak mengandungi taklik.
- Lafaz akad tidak mengandungi batas waktu.
- Lafaz kabul hendaklah mengandungi lafaz terima nikah.
- Lafaz kabul hendaklah disebut nama perempuan atau ganti nama.
- Lafaz ijab dan kabul hendaklah berturut-turut (tidak diselangi dengan perkataan atau kata-kata lain atau diam yang lama antara ijab dan kabul).
- Hendaklah berkekalan kelayakan orang yang melafazkan ijab dan kabul serta saksi-saksi itu sehingga selesai akad.
- Lafaz ijab dan kabul didengar dan difahami oleh kedua-dua saksi.
Hikmah Pernikahan
Pernikahan dalam Islam mempunyai banyak hikmahnya. Antaranya adalah:
- Memelihara kesucian keturunan
- Mengelakkan daripada berlakunya pergaulan bebas dan zina
- Menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan menurut syarak
- Menghubungkan kasih sayang
- Membentuk keluarga dan menyusun masyarakat