Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pandemik COVID-19 telah menyebabkan peningkatan keresahan dan kemurungan global sehingga 25%. Kenaikan ini menunjukkan perlunya intervensi bagi menangani kenaikan tersebut.
Selain pendekatan perubatan biasa, rawatan Islam juga dilihat satu pilihan yang berkesan untuk merawat keresahan (anxiety) dan kemurungan (depresi) .
Keresahan boleh ditakrifkan sebagai ketakutan yang berlebihan terhadap kehidupan dan keadaan seharian.
Ia mewujudkan kemurungan, menjadikan seseorang itu mudah terjebak dengan dadah dan mewujudkan idea membunuh diri dan kadang-kadang berakhir dengan membunuh diri.
Kemurungan pula boleh ditakrifkan sebagai gangguan mood yang membawa kepada kesedihan dan kurang keseronokan dalam aktiviti harian.
Ia juga boleh membawa kepada penurunan berat badan yang ketara, kurang tidur dan gangguan pemikiran.
Terdapat banyak punca keresahan dalam kalangan belia. Salah satunya ialah mereka menjadi materialistik dan mementingkan diri sendiri dan menumpukan kehidupan mereka kepada urusan duniawi. Ini sering menjadikan mereka sangat terdedah kepada gangguan dan penyakit mental.
Bagi membantu menangani gangguan keresahan dan kemurungan ini, rawatan Islam dilihat berkesan dalam membantu mengurangkan keresahan dan kemurungan yang dialami.
1. Mendengar Bacaan Ayat Suci Al-Quran
Mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran boleh membantu mengurangkan keresahan yang dialami.
Mendengar bacaan ayat Al-Quran boleh memberikan kesan terhadap aktiviti otak dan mengurangkan ketegangan dan meningkatkan kesantaian.
Kajian yang dijalankan terhadap pelajar perubatan mendapati mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran adalah lebih berkesan dalam mengurangkan keresahan yang dialami berbanding mendengar muzik. [1]
Kajian lain juga turut mendapati mendengar bacaan Al-Quran boleh mengurangkan keresahan yang dialami oleh pesakit kanser yang disebabkan oleh terapi kemoterapi. [2]
Kajian oleh pengkaji dari University of the Punjab, Pakistan pula melaporkan bahawa mendengar bacaan surah Al-Rahman boleh mengurangkan kemurungan dengan ketara dalam kalangan wanita Islam yang mengalami kecelaruan episod kemurungan major. [3]
2. Membaca Al-Quran
Membaca Al-Quran juga adalah salah satu terapi yang baik untuk mengurangkan kemurungan atau depresi yang dialami.
Keberkesanan membaca Al-Quran untuk mengurangkan depresi turut dilaporkan di dalam beberapa kajian.
Contohnya, kajian terhadap pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis mendapati pembacaan Al-Quran boleh mengurangkan simptom-simptom kemurungan yang dialami oleh pesakit tersebut. [4]
3. Sembahyang atau Solat
Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam dan solat-solat sunat adalah kaedah rawatan Islam yang turut berkesan untuk mengurangkan keresahan dan kemurungan.
Bagi setiap individu Islam, solat fardhu 5 waktu sehari semalam itu wajib ditunai. Ia sebenarnya sudah menjadi penawar kepada keresahan atau kemurungan yang dialami setiap hari.
Satu kajian yang melibatkan 30 orang lelaki Islam mendapati aktiviti solat boleh mengalakkan kesantaian, mengurangkan keresahan dan mengurangkan risiko terhadap penyakit kardiovaskular. [5]
4. Pendidikan Kerohanian
Pendidikan kerohanian yang melibatkan kepercayaan, kesabaran, kemaafan, persahabatan, pembacaan Al-Quran, sembahyang dan berdoa adalah kaedah rawatan Islam yang berkesan untuk merawat keresahan dan kemurungan.
Satu kajian yang melibatkan 71 penjaga kepada pesakit kegagalan jantung mendapati intervensi kerohanian boleh mengurangkan tahap keresahan dengan ketara berbanding sebelumnya. [6]
Kajian lain yang melibatkan 60 penjaga kepada pesakit mental pula mendedahkan bahawa program berasaskan kerohanian memberikan kesan yang positif terhadap tekanan (stres), keresahan dan kemurungan dalam kalangan penjaga tersebut. [7]
5. Bertaubat dan Mendekatkan Diri dengan Allah
Kaedah rawatan Islam yang seterusnya adalah mengingatkan pesakit kepada Allah, percaya kepada Allah dan memohon keampunan kepada-Nya atas semua kesilapan lalu (bertaubat).
Kaedah ini didapati berkesan untuk mengurangkan keresahan dan kemurungan yang dialami oleh pesakit berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas 32 individu lelaki dan 30 individu wanita. [8]
Kesimpulan
Kaedah rawatan Islam adalah satu kaedah yang berkesan dalam membantu merawat masalah keresahan dan kemurungan yang terjadi terutamanya kepada penganut Islam.
Mendengar bacaan ayat suci Al-Quran, membaca Al-Quran, mengerjakan solat, pendidikan kerohanian dan mendekatkan diri dengan Allah adalah antara kaedah rawatan yang berkesan untuk menangani gangguan mental ini.
Rujukan
- Masoumy, M. et al. (2013). A comparative Study on the Effects of Holly Quran and Music Sound on Students Text Anxiety. CMJA.
- Al-Jubouri, M. et al. (2021). Recitation of quran and music to reduce chemotherapy-induced anxiety among adult patients with cancer: A clinical trial. Nursing open.
- Rafique, R. et al. (2019). Efficacy of Surah Al-Rehman in Managing Depression in Muslim Women. Journal of religion and health.
- Babamohamadi, H. et al. (2017). The Effect of Holy Qur’an Recitation on Depressive Symptoms in Hemodialysis Patients: A Randomized Clinical Trial. Journal of religion and health.
- Doufesh, H. et al. (2014). Effect of Muslim prayer (Salat) on α electroencephalography and its relationship with autonomic nervous system activity. Journal of alternative and complementary medicine.
- Borji, M. et al. (2019). The Impact of Spiritual Care Education on Anxiety in Family Caregivers of Patients with Heart Failure. Journal of religion and health.
- Khosravi, F. et al. (2022). The Effect of a Spirituality-Based Program on Stress, Anxiety, and Depression of Caregivers of Patients with Mental Disorders in Iran. Journal of religion and health.
- Saged, A. et al. (2022). The Effect of an Islamic-Based Intervention on Depression and Anxiety in Malaysia. Journal of religion and health.