Kadang-kadang kita cemburu melihat kesenangan atau kemewahan orang lain, itulah fitrah manusia. Keadaan ini membuatkan kita terfikir kenapa rezeki kita tidak seperti mereka. Apakah punca yang menyebabkan rezeki kita susah? Apakah punca yang menyebabkan rezeki kita terhalang?
Persoalan-persoalan ini akan berlegar-legar dalam benak kita. Dalam mencari jawapan kepada persoalan ini, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menyemak diri sendiri.
Muhasabah diri kita akan kekurangan atau kesilapan yang telah kita lakukan yang mungkin menyebabkan rezeki kita terhalang.
Sesungguhnya Allah SWT telah menyediakan setiap makhluk yang diciptakan-Nya dengan rezeki mereka yang tersendiri.
Justeru itu,ketahui 21 sebab mengapa rezeki kita terhalang berdasarkan perkongsian oleh Dr. Mohd Fadzilah Kamsah ini.
1. Hati Kotor
Hati kotor dan otak kotor boleh menjadi punca rezeki kita terhalang. Kotor disini merujuk kepada hati kita yang penuh dengan kemaksiatan dan hasad.
Mungkin kita sering melihat orang jahat, orang yang sentiasa melakukan maksiat, orang yang meninggalkan solat, orang yang minum arak atau orang yang melakukan rasuah sentiasa dilimpahi dengan kemewahan. Sedarlah, itu semua adalah istidraj daripada Allah SWT untuk menyesatkan mereka lagi.
Oleh itu, sama-samalah kita muhasabah diri, perbetulkan diri kita menjadi seorang yang lebih dengan meninggalkan segala amalan-amalan yang buruk.
2. Meninggalkan Solat
Yang memberi rezeki itu Allah SWT. Jika kita tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT , bagaimana kita ingin meminta rezeki daripada-Nya?
Solat adalah tiang agama dan solat juga merupakan masa kita dengan Pencipta kita. Gunakanlah solat sebagai medium untuk kita meminta daripada-Nya.
3. Tidak Bayar Zakat
Tidak membayar zakat juga boleh menjadi punca rezeki kita terhalang. Dalam rezeki yang kita perolehi, terdapat rezeki orang lain. Sekiranya sudah mencukupi haul dan nisab, maka tunaikan lah zakat.
Zakat bukan sahaja tertakluk kepada zakat simpanan tetapi termasuk juga zakat harta, zakat emas. zakat perak, zakat galian, zakat saham, zakat pertanian dan zakat ternakan.
4. Derhaka Kepada Ibu Bapa
Seorang anak yang derhaka kepada ibu bapa juga mungkin kehidupannya penuh dengan kesempitan dan juga mempunyai rezeki yang sempit.
Redha dan restu daripada ibu bapa adalah penting dalam kehidupan seorang anak. Janganlah menderhakai mereka dan berbaktilah kepada mereka. Nescaya kehidupan kita dilimpahi rahmat dan kebahagiaan.
5. Memutuskan Silaturahim
Sebab yang kelima yang mungkin menyebabkan rezeki kita terhalang atau sempit adalah kerana memutuskan silaturahim.
Memutuskan hubungan silaturahim dalam kalangan adik beradik atau ahli keluarga adalah amat ditegah dalam Islam.
Mungkin tindakan kita yang bergaduh antara adik beradik kita sehingga memutuskan pertalian silaturahim menjadi punca kepada kesusahan yang kita alami sekarang.
Tidak kurang dan tidak rugi jika kita mengalah dan memaafkan.
6. Enggan Bayar Hutang
Sikap atau perangai enggan atau liat untuk membayar hutang juga boleh menjadi salah satu punca mengapa rezeki kita terhalang.
Adalah wajib seseorang itu membayar hutannya apabila telah tiba masa seperti yang telah dipersetujui sewaktu awal pinjaman dahulu.
Ingatlah, roh mereka yang mati tetapi masih tidak melangsaikan hutang akan tergantung dilangit.
7. Makan Harta Riba
Zaman moden ini, riba ada dimana-mana terutamanya sistem perbankan konvensional. Amalan riba diperangi Allah SWT dan Rasul-Nya.
Oleh itu, sekiranya anda masih mempunyai akaun bank konvensional atau menggunakan kad kredit atau debit konvensional, beralihlah kepada perbankan Islamik yang patuh syariah.
Mungkin perkara ini membuatkan rezeki kita sempit.
8. Makan Harta Anak Yatim
Amalan memakan harta anak yatim ini juga adalah amalan yang mungkin menyebabkan rezeki terhalang.
Memakan harta anak yatim secara terang-terangan amatlah keji dan hina. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa ada masanya mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan ibu bapa atau harta yang belum difaraidkan.
Oleh itu, sentiasanya berhati-hati dengan hak orang lain.
9. Sering Berbohong
Salah satu perangai orang munafik adalah suka berbohong. Apabila mereka berbicara mereka berdusta.
Hindarilah sikap ini dan bertaubatlah. Mudah-mudahan ia menjadi jalan pembuka rezeki.
10. Biarkan Ahli Keluarga Derhaka
Tugasan seorang ketua keluarga atau suami adalah berat. Bukan sahaja bertanggungjawab terhadap nafkah keluarga tetapi juga terhadap akhlak dan perilaku ahli keluarganya.
Seorang suami yang dayus tidak akan menegur atau membiarkan ahli keluarga derhaka dan melakukan dosa.
Seorang suami yang soleh pula akan menegur ahli keluarganya jika melakukan kesalahan.
11. Cuai Ketika Buang Air Kecil
Tindakan yang remeh ini mungkin menjadi penyebab kenapa rezeki kita terhalang.
Selalunya bagi kaum adam, membuang air kecil secara berdiri atau tidak membersihkannya secara sempurna mungkin menjadi punca rezeki menjadi sempit.
12. Riak
Sifat ujub, riak dan takbur tidak seharusnya ada dalam diri seorang manusia.
Semua kelebihan atau kekuatan yang ada pada seseorang itu adalah kurniaan oleh Allah SWT. Maka adakah patut untuk seseorang itu berasa dia lebih? Bukankah sepatutnya dia berasa bersyukur?
Muhasabah diri kita, adakah kita sering riak dengan apa sahaja kelebihan yang diperolehi oleh kita. Ubahlah rasa riak itu dengan rasa bersyukur dan memuji Allah SWT.
13. Sering Mengungkit
Seterusnya, sifat mengungkit juga mungkin menjadi penyebab rezeki kita terhalang.
Sesetengah orang, pada mulanya dia memberi dengan rela. Tetapi apabila berlaku pergaduhan, dia sering mengungkit-ungkit pemberiannya.
Sedar tidak sedar, perangai inilah yang menyebabkan rezekinya sempit.
14. Sifat Dengki
Sifat dengki juga merupakan sifat terkeji yang harus dibuang jauh-jauh dari diri kita.
Setiap orang telah ditentukan rezeki mereka. Tidak perlu berdengki dan mensabotaj orang lain untuk kepentingan diri kita.
Ingatlah, orang yang berdengki tidak akan berjaya.
15. Mencari Kesalahan Orang
Tindakan ini banyak berlaku pada zaman media sosial dan teknologi ini. Mencari kesalahan dan keburukan orang lain untuk ditularkan oleh masyarakat.
Muhasabahlah diri, mungkin amalan ini menjadikan hidup kita sering bermasalah dan ditimpa pelbagai musibah.
16. Tidak Bersatu Hati
“Bersatu teguh, bercerai roboh”. Perumpamaan Melayu yang sepatutnya dipegang oleh setiap kumpulan masyarakat, keluarga dan juga suami isteri.
Mungkin disebabkan kita tidak bersatu, maka rezeki kita juga menjadi suakr dan terhalang.
17. Tidak bersyukur dengan Nikmat Allah
Orang yang tidak bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan mungkin mengalami kesempitan rezeki.
Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kami memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Surah Ibrahim : 7.
18. Redha Ibu Bapa & Pasangan
Redha ibu bapa dan pasangan juga mungkin menjadi asbab kenapa rezeki seseorang itu sempit atau luas.
Berkat redha mereka mungkin menjadikan kita seseorang yang berjaya. Semaklah kembali hubungan kita dengan mereka.
19. Sifat Malas
Rezeki harus dicari dan diusahakan. Rezeki tidak akan datang bergolek.
Maka, orang yang malas mungkin mempunyai rezeki yang sempit dan terhalang. Buang sifat malas tersebut dan teruskan berusaha.
20.Tidak Cukup Ilmu
Ilmu amatlah penting dalam kehidupan manusia. Tidak kira ia ilmu formal atau ilmu tidak formal. Dengan ilmu seseorang itu boleh mencari rezeki, dengan ilmu juga pendapatan seseorang itu juga mungkin berbeza.
21. Kurang Berdoa
Akhir sekali, punca rezeki terhalang atau sempit mungkin disebabkan kita kurang berdoa kepada Allah SWT. Kita kurang meminta kepada yang memberi rezeki.
Banyakkan berdoa terutamanya pada waktu-waktu mustajab, semoga permintaan dan hajat kita dimakbulkan oleh Allah SWT.
Ringkasan
Muhasabah dan semaklah diri kita, adakah kita ada melakukan perkara-perkara yang dinyatakan di atas? Mungkin itu menjadi punca kenapa rezeki kita terhalang dan sempit.