Pika adalah keinginan dan tabiat memakan bahan bukan makanan seperti kertas, rambut, lempung dan pasir. Keadaan ini biasanya dialami oleh pesakit histeria, kanak-kanak dan perempuan yang mengandung.
Istilah pika ini berasal daripada perkataan “pica-pica” iaitu perkataan Latin yang merujuk kepada burung murai kerana burung ini suka mengumpulkan atau memakan pelbagai objek kerana rasa ingin tahu.
Lazimnya, pika ini berlaku hanya buat sementara waktu. Pika juga boleh berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai ketidakupayaan intelektual. Ia selalunya berlaku lebih teruk dan lama bagi mereka yang mempunyai ketidakupayaan intelektual yang teruk.
Pika dikelaskan sebagai salah satu daripada kecelaruan makan yang berlaku secara terpencil tetapi terdapat keadaan di mana ia boleh berlaku bersama-sama skizofrenia, kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan trikotilomania.
Kelaziman kejadian pika tidak diketahui dengan tepat akibat penggunaan definisi yang pelbagai dalam kajian, kejadian yang tidak dilaporkan atau pengaruh sosial dan budaya yang kuat.
Terdapat kajian yang melibatkan kanak-kanak yang dijalankan di Jerman melaporkan bahawa sebanyak 12% daripada 804 orang kanak-kanak pernah terlibat dengan pika pada satu ketika dalam hidup mereka. [1]
Terdapat juga analisis yang melaporkan bahawa kira-kira 28% wanita mengandung pernah mengalami pika dengan kelaziman lebih tinggi di Afrika berbanding benua lain. [2]
Pika juga dilaporkan lebih kerap berlaku dalam kalangan pesakit terencat akal iaitu kira-kira 10% dan ia berkait dengan keterukan terencat akal. [3]
Simptom-simptom atau Gejala
Penghidap pika akan menunjukkan simptom-simptom atau gejala seperti makan bahan seperti:
- Rambut
- Pasir
- Lempung
- Najis haiwan
- Kotoran
- Ais
- Cat
- Sabun
- Abu rokok
- Gam
- Kapur
Bergantung kepada apa yang dimakan dan berapa banyak, simptom-simptom bagi masalah lain mungkin wujud. Contohnya seperti:
- Sakit perut, loya dan kembung perut akibat saluran usus atau perut yang tersumbat.
- Kelesuan, masalah kelakuan dan masalah di sekolah atau simptom lain yang merujuk kepada keracunan plumbum atau nutrisi yang tidak baik.
Punca atau Penyebab
Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada kejadian pika, namun tiada punca langsung dikenal pasti.
Kajian psikologi melaporkan bahawa terdapat beberapa perkaitan antara pika dengan tekanan (stres), pengabaian dan penderaan kanak-kanak dan deprivasi keibuan.
Selain itu, kekurangan mineral seperti zat besi juga turut terlibat bagi kecelaruan makan ini. Kajian-kajian populasi mendapati penghidap pika mempunyai paras zat besi yang rendah dalam darah.
Faktor Risiko
Terdapat juga beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan terbentukannya kecelaruan ini. Antaranya adalah:
- Tekanan (stres)
- Faktor budaya
- Kelakuan yang dipelajari
- Status sosioekonomi yang rendah
- Kekurangan nutrisi
- Gangguan kesihatan mental yang lain
- Pengabaian kanak-kanak
- Mengandung
- Epilepsi
- Psikopatologi keluarga
Diagnosis
Adalah penting untuk difahami, bagi membolehkan seseorang itu didiagnosis dengan pika, individu tersebut mestilah sekurang-kurangnya berusia 2 tahun.
Doktor biasanya akan mendiagnosis keadaan ini berdasarkan sejarah dan beberapa faktor lain. Pesakit mestilah bersikap jujur dengan doktor mengenai bahan yang dimakan. Ini boleh membantu doktor membuat diagnosis yang tepat.
Ujian darah juga mungkin dijalankan untuk melihat paras zat besi atau zink dalam darah. Ujian ini boleh membantu doktor mengetahui sekiranya pesakit mengalami kekurangan zat besi.
Rawatan
Rawatan terhadap pika mesti mendahulukan kekurangan nutrisi atau masalah perubatan lain seperti keracunan plumbum.
Merawat pika perlu melibatkan kelakuan, persekitaran dan pendidikan kepada ahli kelaurga. Salah satu terapi yang boleh digunakan untuk merawat pika adalah terapi aversi ringan.
Terapi aversi ringan melibatkan hukuman atau mengaitkan akibat negatif daripada kelakuan memakan bahan bukan makanan. Kemudian, pesakit diberikan ganjaran sekiranya makan makanan yang normal.
Tiada ubat-ubatan yang diluluskan secara khusus untuk merawat pika. Ubat-ubatan mungkin membantu sekiranya pika adalah sebahagian daripada kecelaruan perkembangan.
Komplikasi
Komplikasi pika boleh dibahagikan mengikut kategori bahan yang dimakan seperti:
- Geophagia: Pemakanan lempung boleh menyebabkan sembelit, hipokalemia dan kekurangan nutrisi. Pemakanan lempung juga boleh menyebabkan jangkitan parasit.
- Amylophagia: Pemakanan kanji yang berlebihan boleh menyebabkan kekurangan zat besi, paras gula darah yang tinggi dan obesiti.
- Pagophagia: Pemakanan ais boleh menjurus kepada kekurangan zat besi terutamanya semasa mengandung. Selain itu, ia boleh menyebabkan pereputan gigi.
- Bahan lain: Pemakanan bahan yang mengandungi bahan toksik seperti plumbum, merkuri, arsenik, atau lain-lain boleh menyebabkan keracunan.
Rujukan
- Murray, H. B. et al. (2018). Prevalence in primary school youth of pica and rumination behavior: The understudied feeding disorders. The International journal of eating disorders.
- Fawcett, E. J. et al. (2016). A meta-analysis of the worldwide prevalence of pica during pregnancy and the postpartum period. International journal of gynaecology and obstetrics.
- McAlpine, C., & Singh, N. N. (1986). Pica in institutionalized mentally retarded persons. Journal of mental deficiency research.
- Al Nasser Y, Muco E, Alsaad AJ. Pica. [Updated 2021 Jul 29]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from NCBI.