Setiap orang pasti pernah mengalami stres (tekanan) dan keresahan dalam hidup mereka. Apa yang penting adalah bagaimana anda menghadapi atau mengurusnya. Ketahui petua menghadapi stres dan keresahan dalam artikel ini.
Stres dan keresahan adalah dua perasaan yang boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja, malah orang yang paling gembira dan paling stabil dari segi emosi pasti akan mengalami perasaan tekanan dan keresahan.
Pelbagai faktor boleh menjadi penyumbang kepada keadaan ini seperti tekanan yang kuat, perubahan hidup yang besar, mengalami diskriminasi, risau mengenai sesuatu atau masalah kesihatan.
Tekanan dan keresahan berkait rapat, tetapi ia tidak sama. Keresahan atau kebimbangan ialah tindak balas badan terhadap tekanan, sama ada akut atau kronik.
Ubat dan terapi sering digunakan untuk menguruskan stres dan keresahan, yang menjadi pilihan rawatan yang berkesan dan berbaloi.
Walau bagaimanapun, rawatan ini mungkin tidak mencukupi bagi sesetengah orang untuk menghadapi stres dan keresahan pada jangka masa panjang.
Jika ini berlaku, anda mungkin berminat dengan petua yang selamat dan berkesan untuk stres dan keresahan yang boleh anda masukkan ke dalam gaya hidup anda.
1. Teh Herba
Sesetengah orang mungkin mendapati dengan meminum teh herba atau minuman lain boleh menenangkan atau mempunyai kesan antikeresahan.
Ini bertepatan dengan kajian yang mendapati teh chamomile boleh mengurangkan gejala-gejala kecelaruan keresahan menyeluruh. [1]
Selain itu, herba Ashwagandha juga turut dilaporkan boleh digunakan untuk mengurangkan keresahan. Terdapat kajian yang mendedahkan bahawa herba Ashwagandha boleh mengurangkan stres dan keresahan. [2]
Anda juga boleh mencuba beberapa bahan lain untuk dijadikan teh herba seperti:
- Halia
- Kunyit
- Reishi
2. Aromaterapi
Petua menghadapi stres dan keresahan yang seterusnya adalah menggunakan aromaterapi. Percaya atau tidak, menyedut minyak pati tertentu boleh membantu menghilangkan stres.
Minyak pati lavender adalah paling popular dan berkesan. Malah, ada kajian yang menunjukkan minyak pati lavender boleh melegakan gejala-gejala kecelaruan keresahan dan mempunyai kesan penenangan.[3]
3. Bersenam
Bersenam juga berkesan untuk menghilangkan stres dan membuatkan anda berasa lebih gembira.
Hal ini demikian kerana bersenam boleh merendahkan paras hormon kortisol dan meningkatkan paras hormon serotonin dan endorfin yang boleh meningkatkan mood serta mengurangkan keresahan. [4]
Anda boleh mencuba beberapa jenis senaman seperti:
- Tinju
- Menari
- Berlari
4. Bertafakur
Bertafakur atau meditasi adalah petua menghadapi stres dan keresahan yang berikutnya.
Secara umumnya, bertafakur dianggap sebagai amalan memfokuskan perhatian anda pada persekitaran atau sensasi masa kini di sekeliling anda.
Bertafakur adalah kaedah yang popular dan berkesan untuk mengurangkan stres dan melegakan keresahan.
5. Senaman Pernafasan Dalam
Seperti bertafakur, senaman pernafasan boleh membantu menterbalikkan tindak balas fizikal badan anda kepada tekanan, seperti degupan jantung yang tinggi, otot yang tegang dan tekanan darah tinggi.
Pernafasan dalam menghantar isyarat kepada otak anda bahawa sudah tiba masanya untuk bertenang. Keadaan fizikal yang santai ini diterjemahkan kepada keadaan mental yang santai, menenangkan fikiran yang cemas.
Beberapa teknik pernafasan yang boleh dicuba adalah:
- Pernafasan 4-7-8
- Pernafasan perut
- Pernafasan ujjayi
6. Tidur
Tidur juga adalah bahagian yang penting dalam hidup dan kesihatan anda.
Tidak cukup tidur boleh menyebabkan anda berasa stres, fikiran kabur dan cepat marah.
Kajian menunjukkan bahawa kekal kepada rutin tidur yang sama setiap hari boleh membantu anda menguruskan stres dengan lebih baik. [5]
7. Membaca Al-Quran
Bagi umat Islam, membaca atau mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran boleh membantu anda mengurangkan stres, rasa resah dan bimbang.
Satu kajian semula yang melibatkan 28 kajian mendapati membaca Al-Quran boleh membantu mengurangkan keresahan. [6]
Kesimpulan
Tekanan memberi kesan kepada kita semua. Dan kadang-kadang, ia boleh menjadi sangat berlebihan.
Jika anda merasakan keresahan anda menjejaskan kehidupan harian anda, pertimbangkan untuk menghubungi doktor atau ahli profesional kesihatan mental.
Mereka boleh membantu anda memutuskan sama ada terapi, ubat-ubatan, petua atau kombinasi ketiga-tiga rawatan ini adalah terbaik untuk anda.
Rujukan
- Keefe, J. R. et al. (2016). Short-term open-label chamomile (Matricaria chamomilla L.) therapy of moderate to severe generalized anxiety disorder. Phytomedicine.
- Salve, J. et al. (2019). Adaptogenic and Anxiolytic Effects of Ashwagandha Root Extract in Healthy Adults: A Double-blind, Randomized, Placebo-controlled Clinical Study. Cureus.
- Malcolm, B. J., & Tallian, K. (2018). Essential oil of lavender in anxiety disorders: Ready for prime time?. The mental health clinician.
- Basso, J. C., & Suzuki, W. A. (2017). The Effects of Acute Exercise on Mood, Cognition, Neurophysiology, and Neurochemical Pathways: A Review. Brain plasticity.
- Adachi, H. et al. (2021). Association of weekday-to-weekend sleep differences and stress response among a Japanese working population: a cross-sectional study. Sleep medicine.
- Ghiasi, A., & Keramat, A. (2018). The Effect of Listening to Holy Quran Recitation on Anxiety: A Systematic Review. Iranian journal of nursing and midwifery research.