Ramai yang akan berasa gugup atau nervous apabila perlu bercakap di hadapan orang ramai, semasa ditemuduga atau sewaktu ingin melakukan persembahan. Jadi, bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Ikuti 11 petua menghilangkan rasa gugup atau nervous yang dikongsikan di sini.
Gugup adalah tindak balas semula jadi kepada situasi yang menimbulkan tekanan. Ia bersifat sementara dan akan hilang apabila tekanan telah berlalu. Ia boleh dikawal, walaupun anda seorang yang lebih terdedah kepada perasaan gugup.
Walaupun rasa gugup ini adalah salah satu gejala yang biasa bagi kecelaruan keresahan, namun kedua-duanya bukanlah perkara yang sama. Kecelaruan keresahan adalah berpanjangan dan tidak terkawal tanpa rawatan.
Petua-petua berikut boleh membantu anda hilangkan rasa gugup yang mungkin selama ini membelenggu diri anda.
1. Menarik Nafas Dalam
Menarik nafas yang dalam adalah teknik ringkas tetapi berkesan yang boleh membantu merendahkan tahap rasa gugup anda.
Sebelum anda menghadapi situasi yang menyebabkan anda gugup, tarik nafas yang dalam beberapa kali boleh membantu anda menenangkan diri.
Mulakan dengan duduk ditempat yang sunyi dan selamat. Bernafas melalui hidung dan menghembusnya melalui mulut secara perlahan-lahan.
2. Berlatih dan Membuat Persediaan Awal
Berlatih atau melakukan persediaan awal adalah penting bagi mengelakkan rasa gugup atau nervous untuk menghadapi satu-satu acara atau peristiwa.
Sebagai contoh, anda boleh berlatih dihadapan cermin atau bersama-sama rakan-rakan sebelum menjalani temuduga atau melakukan pembentangan.
Berlatih dan membuatkan persediaan awal dapat menambahkan keyakinan anda kerana latihan dapat mengukuhkan ingatan serta mengurangkan kebimbangan.
3. Berfikir Positif
Berfikir positif juga boleh membantu anda menghilangkan rasa gugup atau nervous.
Apabila sesuatu perkara atau situasi menyebabkan anda berasa gugup, cuba berfikir secara positif. Berbanding memikirkan perkara buruk, adalah lebih baik untuk anda melihat dari sudut yang positif yang boleh mendatangkan keyakinan dan keberanian kepada diri.
4. Pilih Keberanian Daripada Keyakinan
Petua menghilangkan rasa gugup yang seterusnya adalah memilih keberanian berbanding keyakinan.
Sekiranya anda terpaksa memilih antara keberanian dan keyakinan, pilihlah keberanian. Hal ini demikian kerana membina keberanian adalah lebih mudah daripada membina keyakinan.
Menyedari bahawa kita kurang keyakinan dan menyedari bahawa kita tidak tahu bagaimana untuk menjadi lebih yakin sebenarnya boleh menyebabkan kita kurang keyakinan.
Tetapi kita boleh memilih keberanian. “Ya, saya agak takut. Ya, saya gementar. Tetapi saya tetap melakukannya!” Langkah proaktif dalam memilih keberanian ini boleh membawa kepada tindak balas psiko-fisiologi yang positif dan membolehkan kita “muncul” dengan lebih baik.
5. Bercakap dengan Seseorang
Bercakap dengan seseorang terutamanya orang yang rapat dengan anda boleh membantu anda menghilangkan rasa gugup.
Telefon ibu, rakan baik atau sesiapa sahaja yang anda percaya. Berkongsi perasaan anda dengan seseorang boleh menenangkan anda. Mereka boleh membantu anda melihat sesuatu situasi dengan lebih rasional.
Kajian turut menunjukkan bahawa berkongsi perasaan anda dengan seseorang terutamanya mereka yang pernah mengalami situasi yang sama boleh mengurangkan rasa stres dan membuatkan anda berasa lebih positif. [1]
6. Jangan Minum Kopi
Petua menghilangkan rasa gugup yang seterusnya adalah jangan meminum kopi sebelum anda temuduga, bercakap dikhalayak ramai atau situasi yang menyebabkan anda gugup.
Hal ini disebabkan oleh kandungan kafein dalam kopi atau makanan yang tinggi dengan kandungan kafein. Kafein boleh meningkatkan paras adrenalin dalam badan. Hormon adrenalin ini terlibat dalam respons lawan atau lari.
Ini akan menyebabkan anda bertambah gugup, risau atau gelisah.
7. Mendengar Muzik
Sesetengah orang mungkin memilih mendengar muzik bagi menghilangkan rasa gugup mereka.
Muzik boleh mengaktifkan bahagian otak untuk meningkatkan rasa gembira dan mengurangkan rasa tekanan dan keresahan.
Satu kajian kecil menunjukkan bahawa mendengar muzik boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan fungsi sistem imun.[2]
8. Mendengar Bacaan Al-Quran
Mendengar alunan bacaan Al-Quran juga boleh membantu anda untuk menghilangkan rasa gugup dan berasa lebih tenang.
Satu kajian terkini melaporkan bahawa mendengar alunan bacaan Al-Quran boleh mengurangkan kebimbangan atau keresahan dalam kalangan pesakit kanser yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi.[3]
9. Hadapi Rasa Takut
Cara terbaik untuk mengurangkan rasa gugup tentang sesuatu adalah dengan melakukannya, dan kemudian melakukannya sekali lagi.
Cuba berlatih melakukan apa yang membuatkan anda gugup atau nervous berulang-ulang kali. Cara ini boleh meningkatkan keyakinan diri anda dan mengurangkan rasa gugup.
Hadapi rasa takut yang menyelubungi diri anda dengan melakukan perkara tersebut secara berulang-ulang kali. Lama-kelamaan, anda akan biasa dan tidak lagi berapa gugup.
10. Membaca Surah Al-Insyiraah
Petua menghilangkan rasa gugup yang seterusnya adalah membaca surah Al-Insyiraah beberapa kali (3 kali) sebelum memasuki bilik temuduga, berucap atau melakukan pembentangan.
Insya-Allah, anda akan berasa kurang gementar dan lebih tenang.
11. Dapatkan Tidur dan Rehat yang Cukup
Jika acara atau peristiwa besar akan datang, adalah mudah untuk melupakan bahawa anda adalah manusia sebenar yang mempunyai keperluan asas seperti makanan dan tidur.
Kadang-kadang, makan sehingga kenyang mungkin perkara terakhir yang anda mahu lakukan sebelum acara yang membuatkan anda berasa gugup atau gementar.
Jika keadaan ini berlaku, sila mendapatkan snek atau makanan ringkas tetapi mengenyangkan seperti buah pisang sebagai alas perut.
Mendapatkan tidur yang cukup juga penting untuk anda berasa lebih segar bagi menghadapi acara atau peristiwa besar tersebut.
Rujukan
- Townsend, S. S. M. et al. (2014). Are You Feeling What I’m Feeling? Emotional Similarity Buffers Stress. Social Psychological and Personality Science.
- Chanda,M.L. & Levitin, D.J. (2013). The neurochemistry of music. Trends in Cognitive Sciences.
- Al-Jubouri, M. et al. (2021). Recitation of quran and music to reduce chemotherapy-induced anxiety among adult patients with cancer: A clinical trial. Nursing open.