Walaupun hari ini ramai yang beranggapan wang adalah segala-segalanya, semua urusan melibatkan wang. Tetapi sebenarnya, terdapat 10 perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang yang mungkin ramai tidak menyedarinya.
Kehidupan pada masa ini semakin menghimpit, apabila berlaku ketidaksetaraan antara pendapatan dengan kos hidup. Ia membuatkan semua orang terkejar-kejar untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi atau lebih.
Bagi orang yang mempunyai kekayaan, mereka berasakan mereka boleh membeli segala-galanya. Namun sebenarnya, mereka silap. Masih ada perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit tidak kira sejauh mana kekayaan seseorang itu.
Bahkan, jika anda mempunyai 10 perkara ini, anda sebenarnya lebih kaya daripada orang terkaya dunia kerana wang tidak boleh membelinya.
Berikut adalah 10 perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang:
1. Adab
Adab adalah nilai yang mesti dipupuk dari kecil dan dipelajari daripada pemerhatian kita terhadap orang lain. Ia tidak boleh dijual beli.
Anda boleh mempelajari adab daripada orang tua yang elok budi pekertinya. Lihat bagaimana mereka berinteraksi dan menghargai sesiapa sahaja di depan mata.
Nilai ini adalah nilai yang semakin terhakis daripada jiwa setiap insan pada masa kini. Ramai yang semaking kurang adabnya kerana terikut dengan budaya yang kurang adab.
2. Moral
Moral adalah satu pegangan atau ajaran berkenaan dengan buruk baiknya sesuatu perbuatan.
Modal uatam moral adalah mengasingkan yang mana baik dan yang mana buruk. Ia memerlukan penelitian akal dan hati yang seimbang.
Moral juga memerlukan asuhan dan didikan sejak kecil, ia tidak akan wujud dengan sendirinya. Moral juga tidak boleh bertukar ganti dengan tukaran wang ringgit.
Oleh sebab itu, seseorang yang bermoral mempunyai peribadi yang unggul.
3. Akal
Seorang yang berakal adalah seorang yang peka kepada sekelilingnya. Orang yang berakal juga turut peka dengan bagaimana dunia ini bergerak.
Asasnya adalah menjadi seorang yang peka dan bukannya pekakkan diri daripada melihat suasana.
Anda boleh perhatikan pada masa ini, semakin kurang orang yang berakal. Mereka tidak mempedulikan orang lain. Hanya mementingkan diri mereka.
Contohnya, memandu secara berbahaya, memasuki simpang tanpa memberi lampu isyarat, memandu dalam keadaan mabuk atau tidak memberikan tempat duduk kepada wanita mengandung di dalam pengangkutan awam.
Adakah akal boleh dibeli di kedai runcit atau pasaraya?
4. Hormat
Sifat hormat adalah sifat yang terbina apabila kita sendiri menghormati orang lain.
Jika kita gagal untuk mendidik diri kita untuk menghormati orang lain, maka hal tersebut akan berbalik kepada diri kita sendiri.
Mungkin kita tidak akan dihormati dan mungkin juga akan dikeji suatu masa nanti.
5. Karakter
Karakter adalah sifat perwatakan yang membezakan seseorang daripada yang lain.
Karakter seseorang terbina daripada ilmu, pengalaman dan pilihan yang dibuat dalam hidupnya. Seseorang menjadi kuat kerana dia diuji dengan hebat.
Seseorang menjadi lemah kerana terlalu bergantung kepada orang lain.
6. Kesabaran
Kesabaran juga adalah perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang.
Sabar adalah sifat yang berat untuk semua orang. Seorang yang penyabar adalah seorang yang boleh mengawal diri mereka sendiri.
7. Kepercayaan
Kepercayaan adalah nilai yang perlu dibina, mungkin mengambil masa sehingga bertahun-tahun lamanya.
Ia bermodalkan masa dan bukannya wang. Anda tidak akan berjaya membina kepercayaan dengan wang.
Malanya, kepercayaan boleh lebur dalam sekelip mata jika kepercayaan tersebut dikhianati.
8. Integriti
Integriti adalah kejujuran dan ketulusan yang bermodalkan kebenaran.
Seseorang yang berintegriti akan melakukan tugasannya dengan amanah dan menyampaikan sesuatu perkara walau pahit untuk ditelan. Ia jauh lebih baik daripada menutup sesuatu dengan kepalsuan.
Jika seseorang itu boleh dibeli dengan rasuah, maka dia bukanlah seorang yang memiliki sikap integriti.
9. Persahabatan
Persahabatan adalah satu perhubungan antara dua insan yag disulami dengan kejujuran dan keikhlasan.
Seorang sahabat yang benar adalah seorang yang sentiasa bersama dengan kita sama ada kita susah atau senang.
Persahabatan seperti ini tidak boleh dibeli dengan wang dan ia amat sukar untuk diperolehi.
10. Kasih Sayang
Kasih sayang adalah perasaan cinta dan belas kasihan yang wujud tanpa boleh dijual beli.
Kasih sayang dan cinta datang daripada hati yang suci dan ikhlas. Seseorang yang mempunyai kasih sayang tidak mengharapkan balasan dan sentiasa inginkan yang terbaik untuk orang yang disayangi.
Salah satu contoh kasih sayang yang sejati adalah bagaimana ibu dan ayah kita menyayangi kita.
Teliti kehidupan kita hari ini. Pastikan kita tingkatkan nilai diri ini dengan bersungguh-sungguh. Ingatlah, tidak semua perkara boleh dibeli dengan wang.