Pengaruh keganasan dalam media terhadap pengguna terutamanya kanak-kanak dan remaja adalah antara topik yang banyak dikaji dalam psikologi media.
Filem, televisyen, media sosial, internet atau permainan video adalah media yang menjadi wadah bagi kebanyakan generasi muda untuk berhibur dan mendapatkan maklumat.
Keganasan dalam media-media ini sudah semestinya menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa, pengguna lain serta ahli psikologi.
Malah, sejak kemunculan televisyen beberapa dekad yang lalu, ahli psikologi telah menyiasat kemungkinan hubungan antara keganasan dalam media dan peningkatan dalam keagresifan dalam kehidupan sebenar.
Adakah Melihat atau Menonton Kandungan Keganasan Menyebabkan Sifat Agresif?
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa kandungan keganasan dalam media mempunyai impak terhadap keagresifan dalam kehidupan sebenar.
Banyak eksperimen dalam makmal telah membuktikan bahawa pendedahan jangka pendek kepada keganasan dalam media meningkatkan keagresifan pada kanak-kanak, remaja dan belia.
Pendedahan jangka pendek meningkatkan kemungkinan tingkah laku agresif secara fizikal dan lisan, pemikiran agresif dan emosi agresif. [1]
Kajian longitudinal pada skala besar turut menunjukkan bukti bahawa pendedahan keganasan dalam media semasa zaman kanak-kanak boleh menyebabkan keagresifan ketika dewasa termasuklah menyebabkan kecederaan fizikal dan penderaan isteri. [1]
Satu kajian oleh pengkaji dari Universiti Teknologi Malaysia pula melaporkan bahawa keganasan dalam media tidak menyebabkan pelajar-pelajar bertingkah laku agresif dalam bentuk fizikal, emosi, lisan dan seksual.
Tetapi, pendedahan keganasan dalam media menyebabkan pelajar-pelajar bertingkah laku agresif dalam bentuk permusuhan. [2]
Kajian lain yang melibatkan 127 orang pelajar sekolah menengah turut menunjukkan bahawa pengaruh program-program berunsur ganas di media adalah ditahap sederhana. [3]
Pengaruh Keganasan dalam Media Terhadap Kesihatan Mental
Selain kajian yang mengkaji pengaruh keganasan dalam media terhadap keagresifan kanak-kanak dan remaja, ahli psikologi turut mengkaji pengaruh keganasan dalam media terhadap kesihatan mental.
Meningkatkan Keresahan atau Kebimbangan (Anxiety)
Kajian menunjukkan melihat filem yang mempunyai unsur ganas boleh meningkatkan keresahan atau kebimbangan (anxiety) berbanding mereka yang tidak menonton filem berbentuk keganasan. [4]
Memburukkan Lagi Kesihatan Mental
Perubahan teknologi turut mengubah pendekatan dan penyampaian berita pada zaman ini. Kini, pelbagai maklumat boleh dikongsikan dengan pantas melalui telefon pintar dan media sosial.
Perubahan ini juga menyebabkan peristiwa-peristiwa keganasan seperti penembakan di sekolah, serangan pengganas atau pembunuhan dapat dilaporkan dengan pantas dan sesetengahnya tanpa tapisan.
Satu kajian melaporkan bahawa terdedah kepada tindakan keganasan berpotensi menyebabkan kemurungan, keresahan, tekanan, penyalahgunaan dadah serta kecelaruan stres pascatrauma (PTSD). [5]
Solusi
Bagi kanak-kanak dan remaja, ibu bapa boleh memainkan peranan dengan mengehadkan kandungan-kandungan media berunsur keganasan daripada ditonton atau dilihat oleh anak mereka.
Selain itu, ibu bapa juga boleh menemani anak mereka sekiranya media yang ditonton tersebut mengandungi unsur keganasan. Kemudian, ibu bapa boleh bercakap dan menjelaskan mengenainya.
Melalui cara ini, ibu bapa boleh melatih anak mereka untuk menjadi pengguna yang arif iaitu boleh menilai kandungan yang mereka lihat secara rasional.
Di samping itu, pihak media juga perlu memainkan peranan dengan mengurangkan dan menapis kandungan-kandungan berunsur ganas atau kejam.
Rujukan
- Anderson, C. A. et al. (2003). The Influence of Media Violence on Youth. Psychological science in the public interest.
- Yaacob, Z. (2010). PENGARUH KEGANASAN DALAM MEDIA TERHADAP TINGKAH LAKU AGRESIF REMAJA. Tesis Ijazah Sarjana, UTM.
- Maakip, I. et al. (2018). Pengaruh Media Berunsur Agresif Dan Kesannya Terhadap Tingkah Laku Pelajar Sekolah Menengah.
- Madan, A. et al. (2014). The effects of media violence on anxiety in late adolescence. Journal of youth and adolescence.
- Pfefferbaum, B. et al. (2014). Disaster media coverage and psychological outcomes: descriptive findings in the extant research. Current psychiatry reports.