Stres adalah perasaan berada di bawah tekanan yang tidak normal. Tekanan ini boleh datang dari pelbagai aspek kehidupan kita. Adalah penting untuk menangani stres bagi mengelakkan ia menjejas kualiti kehidupan kita. Oleh itu, ikuti 10 panduan menangani dan melegakan stres yang dikongsikan di sini.
Kehidupan hari ini sememangnya mudah untuk meletakkan seseorang itu dibawah tekanan yang tinggi. Peningkatan bebanan kerja, masalah kewangan, hutang atau masalah keluarga boleh menjadi punca kepada stres atau tekanan tersebut.
Lebih parah daripada itu, anda mungkin mendapati stres ini mempunyai kesan kumulatif dengan setiap tekanan membina di atas satu sama lain.
Pandemik COVID-19 juga turut meletakkan ramai orang kepada satu situasi yang amat menekankan. Ramai yang kehilangan pendapatan, hilang pekerjaan atau kehilangan orang yang tersayang akibat virus ini. Semua situasi ini sedikit sebanyak meletakkan seseorang itu dalam tekanan, kesusahan dan kesedihan.
Stres boleh memberikan kesan yang besar terhadap emosi dan mental, mempelajari cara menangani atau melegakan stres boleh membantu anda berhadapan dengan stres itu dengan lebih baik.
Berikut adalah beberapa panduan yang boleh anda amalkan dalam menangani dan melegakan stres yang dihadapi:
1. Bersenam
Bersenam adalah salah satu cara untuk menenangkan badan dan minda. Bersenam boleh menambah baik “mood” anda kerana senaman boleh membantu badan anda merembeskan hormon endorfin iaitu hormon yang boleh melegakan stres dan kesakitan.
Bersenam tidak bermakna anda perlu pergi ke gimnasium atau melakukan angkat berat, berjalan menuju ke pejabat dari stesen MRT atau bas juga turut dianggap senaman.
Melakukan regangan semasa waktu rehat semasa di pejabat juga boleh mendatangkan kelegaan pantas terhadap situasi yang menekankan.
2. Mendengar Bacaan Al-Quran atau Lagu
Mendengar bacaan ayat suci Al-Quran boleh membantu menenangkan fikiran yang kusut atau hati yang tidak tenang.
Berehat sementar dan mendengar alunan ayat Al-Quran boleh membantu anda kembali tenang, merendahkan tekanan darah dan mengurangkan hormon yang berkaitan dengan stres seperti hormon kortisol.
Selain ayat Al-Quran, anda juga boleh memilih lagu yang mempunyai rentak yang menenangkan.
3. Makan dengan Betul
Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat juga memainkan peranan penting untuk berasa lebih baik dan mengurangkan stres.
Sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dan ikan adalah pilihan makanan yang sihat. Malah, ikan berlemak seperti ikan sardin, ikan kembung atau ikan patin mempunyai kelebihan dalam membantu mengurangkan simptom-simptom stres.
Ikan berlemak kaya dengan asid lemak Omega-3 yang boleh mencegah peningkatan hormon kortisol iaitu hormon yang berkaitan dengan stres. [1]
4. Nikmati Aromaterapi
Aromaterapi adalah terapi yang sangat bermanfaat untuk menangani atau melegakan stres. Terapi ini boleh membuatkan anda berasa bertenaga dan lebih tenang.
Semakin banyak kajian yang menunjukkan aromaterapi yang menggunakan minyak pati seperti buah sitrus atau bunga lavender boleh membantu mengurangkan stres. [2, 3]
Pertimbangkan kaedah aromaterapi untuk mengurangkan tekanan atau stres yang anda alami.
5. Berhenti Merokok
Sesetengah orang mungkin berpendapat merokok mungkin melegakan stres yang dialami.
Tetapi hakikatnya, nikotina yang terdapat di dalam rokok tersebut sebenarnya menyebabkan badan lebih stres melalui peningkatan aliran darah, rangsangan fizikal dan peningkatan pernafasan. [4]
6. Tarik Nafas Panjang
Kaedah menarik nafas panjang turut bermanfaat dalam membantu mengurangkan stres.
Kaedah ini adalah kaedah yang paling mudah dan boleh dilakukan dimana-mana sahaja atau pada bila-bila masa.
Apa yang anda perlu lakukan adalah duduk dengan tegak di kerusi dengan kedua-dua belah kaki di lantai dan tangan di atas lutut. Tarik dan hembus nafas dengan perlahan-lahan dan panjang. Fokus kepada paru-paru anda.
Manarik nafas yang panjang boleh membantu meningkatkan kandungan oksigen dalam darah dan seterusnya menenangkan fikiran anda.
7. Berikan Ruang untuk Diri Sendiri
Kesibukan di tempat kerja dan tuntutan kehidupan yang lain sebenarnya boleh menjadi penyebab kepada stres. Semuanya kelihatan laju dan memenatkan.
Kadang-kadang kita hanya perlu memperlahankannya dan bertenang. Lihatlah kehidupan anda dan cari cara kecil yang boleh anda lakukan untuk mengatasi kesibukan kehidupan harian anda.
Contohnya:
- Ketika memandu di lebuh raya, beralih ke laluan perlahan bagi mengelakkan perlumbaan atau amukan di jalan raya (“cucuk-mencucuk”).
- Pecahkan kerja yang besar kepada beberapa bahagian yang kecil.
- Selalu mendahului masa bagi mengelakkan stres akibat lewat tiba di sesuatu tempat atau mesyuarat.
- Ambil 5 minit rehat setiap kali anda berasa tekanan atau stres. Anda juga boleh melihat tumbuhan hijau yang boleh kembali menenangkan anda.
8. Berkongsi dengan Orang Lain
Ada masanya kita memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah yang dihadapi. Berkongsi dengan orang lain seperti rakan baik, suami, isteri atau ahli terapi boleh membantu mengurangkan stres atau bebanan yang dialami.
9. Dapatkan Tidur yang Cukup
Cabaran bagi kebanyakan daripada kita pada zaman ini ialah untuk mendapatkan tidur yang mencukupi. Stres juga boleh menyebabkan seseorang itu tidak mendapatkan tidur yang mencukupi.
Tidur yang tidak cukup boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan. Seorang dewasa disarankan untuk mendapatkan tidur sekitar 7-8 jam sehari.
Elakkan daripada bermain gadjet sebelum tidur bagi membolehkan anda mendapatkan tidur yang lebih awal.
10. Berhenti Membaca, Melihat atau Mendengar Berita
Kadang-kadang anda perlu berhenti sebentar daripada membaca, melihat atau mendengar berita termasuklah media sosial.
Hal ini kerana, sesetengah berita boleh menganggu emosi dan boleh membuatkan anda lebih tertekan. Pertimbangkan untuk mengehadkan berita beberapa kali sehari sahaja.
Kesimpulan
Sesungguhnya sukar untuk seseorang itu lari daripada tekanan atau stres pada zaman ini. Kebanyakan daripada kita pasti akan merasainya. Jika tidak dirawat atau ditangani, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar termasuklah masalah kesihatan mental.
Panduan menangani dan melegakan stres ini diharap dapat membantu ramai daripada kita untuk belajar menangani stres yang dialami agar ia tidak mendatangkan masalah yang lebih besar.
Rujukan
- Muscaritoli M. (2021). The Impact of Nutrients on Mental Health and Well-Being: Insights From the Literature. Frontiers in nutrition.
- Chen, M. C. et al. (2015). The effects of aromatherapy in relieving symptoms related to job stress among nurses. International journal of nursing practice.
- Kerr, D. et al. (2021). Effects of diffused essential oils for reducing stress and improving mood for clinical nurses: An interventional time series study. Nursing forum.
- Parrott A. C. (1999). Does cigarette smoking cause stress?. The American psychologist.