Pada masa ini, ramai daripada kita sering berhadapan dengan cabaran dan situasi yang menekankan. Komitmen kerja, keluarga dan lain-lain sentiasa membuatkan anda sibuk dan stres. Namun begitu, anda perlu menguruskan stres atau kesihatan mental dan fizikal anda akan terjejas.
Artikel ini menyediakan panduan ketika menghadapi stres yang boleh anda lakukan bagi mengelakkan kesihatan mental dan fizikal anda terjejas.
Stres atau tekanan adalah tindak balas fisiologi dan psikologi terhadap situasi yang badan dan minda mendapati sangat tidak tertahan.
Kadang-kadang kita boleh berasa tertekan akibat daripada interaksi yang buruk dengan seseorang, terlalu banyak kerja atau kerumitan seharian seperti terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Stres yang berpanjangan boleh menghalang anda daripada berasa dan melakukan yang terbaik dari segi mental, fizikal dan emosi.
Tetapi tiada kehidupan seseorang yang benar-benar bebas tekanan. Adalah penting untuk mengetahui cara menghadapi stres dalam hidup anda.
Berikut adalah panduan ketika menghadapi stres yang boleh anda amalkan:
1. Berhenti Sementara Daripada Membaca Berita Termasuklah Media Sosial
Berhenti sementara daripada membaca berita termasuklah melayari media sosial adalah salah satu langkah untuk menghadapi stres.
Walaupun bagus untuk sentiasa maklum mengenai perkembangan semasa, tetapi berita-berita yang melibatkan emosi dan komen-komen jelik daripada orang lain di media sosial boleh menyebabkan anda semakin stres.
Pertimbangankan untuk mengehadkan berita atau masa melayari media sosial kepada beberapa kali sehari sahaja.
2. Jaga Diri Anda
Amalkan pemakanan yang sihat, mendapatkan tidur yang mencukupi dan berehat setiap kali anda berasa tertekan.
Bersenam secara kerap juga boleh membantu anda menenangkan badan dan minda. Selain itu, bersenam turut menambah baik emosi atau mood anda.
Senaman pernafasan dalam juga adalah satu kaedah yang baik untuk melegakan tekanan (stres).
Caranya adalah:
- Duduk dalam kedudukan yang selesa dengan tangan di pangkuan anda dan kaki anda di atas lantai. Atau anda boleh berbaring.
- Pejamkan mata.
- Bayangkan diri anda berada di tempat yang santai. Ia boleh berada di pantai, padang rumput yang indah atau di mana-mana sahaja yang memberikan anda perasaan damai.
- Perlahan-lahan tarik nafas dalam dan keluar.
- Lakukan ini selama 5 hingga 10 minit pada satu-satu masa.
3. Bercakap dengan Orang yang Anda Percayai
Ada masanya anda memerlukan sokongan moral daripada orang yang anda percayai. Sokongan ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan tekanan yang anda hadapi.
Anda boleh berkongsi masalah atau perasaan anda dengan pasangan, ahli keluarga, rakan karib atau kaunselor.
4. Elakkan Rokok, Dadah dan Alkohol
Ramai yang beranggapan bahawa rokok, dadah dan alkohol boleh membantu mereka melegakan stres atau tekanan yang dihadapi.
Tetapi hakikatnya, rokok, dadah dan alkohol boleh mencipta masalah tambahan yang boleh meningkatkan tekanan yang sedia ada.
Contohnya, bahan-bahan ini boleh menyebabkan ketagihan dan masalah kesihatan. Ketagihan akan melibatkan kos pembelian barangan tersebut manakala masalah kesihatan juga akan melibatkan kos rawatan.
Kos-kos ini akan memberikan tekanan yang baru terhadap kewangan anda. Ini boleh menyebabkan anda bertambah stres.
5. Jauhi Orang yang Menyebabkan Anda Stres
Panduan menghadapi stres yang seterusnya adalah menjauhi orang yang menyebabkan anda stres.
Sekiranya seseorang sering kali menyebabkan anda stres dalam hidup, hadkan masa yang anda luangkan kepada orang tersebut atau putuskan terus hubungan dengannya.
Sekiranya majikan atau bos anda yang sering menyebabkan anda stres, belajar untuk berkata “tidak.”
Ketahui had anda dan berpegang padanya. Sama ada dalam kehidupan peribadi atau profesional anda, mengambil lebih daripada yang anda boleh kendalikan adalah resipi untuk stres.
Bezakan antara “harus” dan “mesti” dan jika boleh, katakan “tidak” jika anda tidak mampu lagi untuk kendalikan bebanan kerja tersebut.
6. Luahkan Perasaan Anda dan Tidak Memendamnya
Jika anda tidak dapat mengelakkan situasi yang menyebabkan anda tertekan, cuba mengubahnya. Selalunya, ini melibatkan perubahan cara anda berkomunikasi dan beroperasi dalam kehidupan harian.
Jika sesuatu atau seseorang mengganggu anda, bersikap lebih tegas dan sampaikan ketidakselesaan anda dengan cara yang terbuka dan hormat.
Sebagai contoh, sekiranya adan mempunyai peperiksaan dan rakan sebilik yang banyak cakap baru pulang. Katakan terlebih dahulu kepadanya bahawa anda hanya mempunyai lima minit untuk bercakap.
Sekiranya anda tidak menyuarakan perasaan anda, rasa tidak puas hati atau dendam akan terbina dan tekanan akan meningkat.
7. Membaca atau Mendengar Al-Quran
Membaca atau mendengar bacaan Al-Quran adalah salah satu terapi yang baik untuk emosi dan jiwa anda.
Al-Quran adalah ubat kepada masalah hati dan Al-Quran adalah penenang terbaik kepada hati yang bermasalah dan tertekan. Gunakan sedikit masa dalam sehari dengan membaca Al-Quran.
Anda juga boleh mendengar alunan bacaan Al-Quran ketika memandu kenderaan seorang diri ke tempat kerja. Ini boleh membantu mengurangkan stres akibat kesesakan lalu lintas.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Coping with stress.