Motivasi

20 Mutiara Kata Kehidupan dan Motivasi

Pinterest LinkedIn Tumblr

Mutiara kata dan kata-kata motivasi mempunyai kesan yang sangat menakjubkan untuk mengubah cara kita berfikir tentang kehidupan ini.

Setiap insan pasti akan diuji dan pernah berada pada satu keadaan yang paling teruk dalam kehidupannya. Namun, itu bukanlah noktah akhir dalam hidup kita. Kita harus bangkit!

Bagaimana?

Caranya ialah dengan mengubah cara kita berfikir akan situasi yang kita alami. Mutiara kata adalah salah satu cara untuk mengubah cara kita berfikir tentang kehidupan yang kita lalui.

Begitu juga untuk mengubah kualiti kehidupan kita, kita harus mengubah kualiti pemikiran kita. Kata-kata yang positif boleh membantu mengubah cara seseorang itu berfikir dan boleh membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik.

Kita adalah tuan kepada akal fikiran kita. Kita yang menentukan apa yang kita akan fikirkan dalam situasi tertentu. Fikiran dan perasaan kita akan menentukan tindakan kita dan menentukan hasil yang kita dapat.

Mutiara kata atau kata-kata semangat boleh mengubah cara kita berfikir dan kembali positif dalam menghadapi apa jua rintangan dalam kehidupan.

mutiara kehidupan dan motivasi

Mutiara Kata Kehidupan dan Motivasi Sebagai Panduan Hidup

Berikut adalah beberapa mutiara kata kehidupan dan motivasi yang boleh dijadikan panduan dan inspirasi untuk kita terus berjuang dalam kehidupan ini.

1. “Kita Hanya Merancang Tetapi Allah Jua Yang Menentukan.”

Sebagai seorang hamba, kita hanya boleh merancang tetapi Allah SWT sahaja yang akan menentukan sama ada perancangan itu sesuai atau tidak untuk kita.

Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Ada kala kita apa yang kita suka itu adalah tidak baik untuk kita dan apa yang kita benci itu sebenarnya baik untuk kita.

Tetapi janganlah terus menyerah dan tidak mahu merancang dan mencuba. Manusia yang hebat ialah manusia yang sentiasa merancang dan berusaha dalam hidupnya.

2. “Orang Kaya Tidak Semestinya Mulia, Orang Miskin Tidak Semestinya Hina.”

Kemuliaan bukanlah diukur daripada harta benda tetapi kemuliaan seseorang terletak pada budi bahasa dan bagaimana hubungannya dengan Pencipta dan masyarakat.

3. “Orang Yang Gagal Merancang Adalah Merancang Untuk Gagal.”

Perancangan adalah penting sebagai panduan untuk seseorang itu untuk mencapai sesuatu matlamat atau tujuan.

Tanpa perancangan, seseorang itu mungkin akan sesat tanpa hala tuju.

4. “Ujian Dan Dugaan Adalah Asam GARAM Dalam Kehidupan, Tanpanya Hidup Akan Menjadi TAWAR.”

Setiap orang mesti mempunyai cerita mereka tersendiri. Kesusahan dan keperitan yang pernah dilalui akan menjadi satu kenangan yang cukup bermakna dalam hidup mereka.

5. “Hasad Dengki Ialah Barah Yang Akan Membunuh Seseorang Itu Dengan Senyap.”

Hasad dengki ialah sifat yang keji yang harus ditinggalkan. Ia tidak membawa apa-apa kebaikan. Malah, sifat ini akan “makan tuan” jika dibiarkan merebak dalam diri kita.

6. “Impian Dan Cita-cita Umpama Pelita di Jalan Yang Gelap Gelita.”

Orang yang berjaya adalah orang yang mempunyai cita-cita dan impian. Impian dan cita-citalah yang akan sentiasa memimpin dan mendorong seseorang itu untuk mencapai matlamatnya.

7. “Dunia Untuk Diurus, Bukan Untuk Dirunsingkan.”

Dunia adalah bersifat sementara dan tidak kekal. Apa yang penting adalah kita menguruskan kehidupan kita di dunia ini dengan baik.

8. “Hidup Ini Adalah Tarbiah dari Allah, Sama Ada Kita Akan Sabar Ataupun Sebaliknya.”

Hidup kita akan sentiasa diuji oleh Allah untuk mengetahui sejauh mana keimanan kita kepada-Nya. Mereka yang sentiasa bersabar dengan ujian yang mendatang akan dikurniakan pahala dan dinaikkan darjat.

Dunia ini juga adalah universiti kehidupan dimana Allah mengajar kita akan apa itu kegembiraan, kesedihan, kesakitan, kesusahan dan nikmat kesyukuran.

9. “Manusia Yang Mempunyai Masalah itu Normal, Yang Tidak Normal Ialah Manusia Tanpa Masalah.”

Setiap orang yang hidup di dunia pasti mempunyai masalah. Tidak kira masalah keluarga, kewangan, perhubungan atau masalah kesihatan.

10. “Kegagalan Adalah Guru Kepada Mereka yang Berjaya.”

Kegagalan adalah guru terbaik untuk seseorang itu berjaya. Lihatlah tokoh-tokoh yang hebat, rata-ratanya telah melalui pelbagai kegagalan sebelum mereka berjaya.

11. “Di mana Ada Rungutan, Di situ Ada Peluang.”

Mutiara kata ini sesuai untuk ahli perniagaan atau orang yang ingin berniaga. Setiap rungutan oleh masyarakat adalah peluang perniagaan untuk mereka yang kreatif.

12. “Orang Yang Hebat Ialah Orang Yang Boleh Menguasai Dirinya Sendiri.”

Orang yang hebat ialah orang yang boleh mengawal dirinya sendiri tatkala mereka berada dalam keadaan beremosi atau tenang.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti, seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.

Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim (rujukan).

13. “Kesilapan Adalah Tanda Kita Mencuba.”

Dalam kehidupan ini kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Kesilapan juga adalah tanda bahawa kita mencuba melakukan sesuatu untuk mencapai kejayaan atau impian yang kita idamkan.

14. “Mereka Yang Gagal Dalam Kehidupan Adalah Mereka Yang Berputus Asa Disaat Mereka Hampir Berjaya.”

Putus asa seharusnya menjadi musuh buat semua yang ingin berjaya. Jika diselusuri sejarah, ramai tokoh atau individu hebat yang berjaya mempamerkan sifat tidak berputus asa mereka walaupun mereka menemui banyak kegagalan.

15. “Jagalah Lisanmu Kerana Bisanya Lebih Bisa Daripada Bisa Ular Dan Tajamnya Lebih Tajam Daripada Pisau.”

Kata-kata seseorang itu boleh melukai orang lain lebih teruk daripada bisa ular atau pisau.

Dunia media sosial sekarang membolehkan seseorang itu mengata atau mencerca seseorang itu tanpa mengenali atau berhadapan dengannya.

Perbuatan ini haruslah dijauhi kerana ia boleh merosakkan keharmonian dan perhubungan.

16. “Kegagalan Adalah Satu Peluang Untuk Bermula Kembali, Tetapi Dengan Lebih Baik.”

Mereka yang bijak ialah mereka yang belajar daripada kegagalan mereka. Kegagalan membolehkan kita melihat kelemahan yang ada pada diri kita untuk diperbetulkan.

Kegagalan juga membolehkan kita melihat kembali adakah cara atau kaedah yang kita gunakan itu betul atau salah. Dari situ dapatlah kita bermula kembali dengan kaedah yang berbeza dan lebih baik.

17. “Usia Bukanlah Penghalang Untuk Seseorang Itu Berjaya.”

Usia bukanlah kayu ukur atau syarat wajib untuk seseorang itu berjaya. Bahkan, sudah terbukti ramai golongan muda yang turut berjaya dalam kehidupan mereka.

18. “Orang yang Mempunyai Keyakinan Terhadap Dirinya Akan Beroleh Keyakinan Daripada Orang Lain.”

Keyakinan diri adalah amat penting. Tidak kira kepada orang biasa atau seorang ketua.

Jika seseorang itu tidak yakin akan dirinya, bagaimana orang lain ingin yakin kepadanya?

19. “Hidup ini Ada 3P Iaitu Pilihan, Peluang dan Perubahan. Kita Harus Membuat Pilihan Untuk Mengambil Peluang Jika Ingin Perubahan.”

Hidup kita melibatkan pilihan, peluang dan perubahan. Kita harus membuat pilihan sama ada ingin merebut peluang yang datang.

Peluang itu mungkin akan mendatangkan perubahan dalam hidup kita.

20. “Kadang kala Kita Diuji, Bukan Untuk Menunjukkan Kelemahan Kita, Tetapi Untuk Menonjolkan Kekuatan Kita.”

Setiap kali diuji, ambillah sudut positifnya. Mungkin melalui ujian itu kita dapat mengenalpasti kekuatan diri kita.