Motivasi

Motivasi Pagi Untuk Memulakan Hari Dengan Positif

Pinterest LinkedIn Tumblr

Waktu pagi setiap daripada kita mungkin berbeza-beza. Ada yang okey dan ada yang tidak. Oleh itu, marilah kita sama-sama susuli kata-kata motivasi pagi untuk memulakan hari dengan penuh aura positif.

Ada yang memulakan paginya dengan penuh semangat dan ada juga yang memulakan paginya dengan rasa tidak bersemangat dan tidak bermaya.

Ada juga yang bermula paginya dengan penuh semangat dan gembira tetapi sesuatu terjadi semasa dalam perjalanan ke tempat kerja yang merosakkan emosi atau “mood” pada pagi tersebut.

Walau apa pun situasinya, dapatkan kembali semangat dan motivasi anda dengan kata-kata motivasi pagi ini.

motivasi pagi

Berikut adalah beberapa kata-kata motivasi pagi untuk menceriakan hari anda.

1. “Mulakan pagi mu dengan Alhamdulillah”

Mulakan pagi kita tanda syukur kerana masih dipanjangkan umur, diberi kesihatan dan masih boleh meneruskan aktiviti harian.

2. “Orang yang hebat ialah orang yang mampu bangun pagi tatkala selimut memeluk erat dan bantal terus mendodoi”

Tidak semua orang boleh bangun dengan kerelaan dirinya. Oleh itu, hanya mereka yang mempunyai kekuatan jiwa dan ketaatan kepada Pencipta sahaja mampu untuk menempis godaan tidur.

3. “Orang yang hebat tidak akan bertangguh, orang yang lemah sentiasa mengeluh”

Jangan amalkan sifat yang suka menangguh kerja kerana Allah tidak menyukai orang yang suka menangguhkan kerja mereka sedangkan mereka boleh melakukannya pada masa itu.

Orang yang lemah pula suka mengeluh tanpa berusaha sedaya upaya mereka.

4. “Lupakan keburukan semalam, mulakan hari ini dengan senyuman”

Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sekiranya hidup kita dibelenggu dengan kesilapan lampau, kita tidak akan maju ke hadapan.

Sebaliknya, belajarlah dari kesilapan lalu dan jadilah seseorang yang lebih baik dari semalam.

5. “Jadilah seorang yang disegani bukan ditakuti”

Sinonim dengan seorang ketua, bos atau sesiapa sahaja yang diberi kelebihan dengan kuasa. Orang yang disegani akan sentiasa dihormati dan ditaati walaupun mereka tiada dihadapan orang bawahannya.

6. “Jangan katakan saya TIDAK BOLEH, tetapi katakan saya AKAN CUBA”

Seseorang itu tidak akan mengetahui sama ada mereka mampu untuk melakukan sesuatu pekerjaan selagi mereka tidak mencubanya. Jangan mengalah sebelum berjuang!

7. “Ramai yang tidak tahu bahawa diri mereka lebih hebat daripada apa yang mereka sangka”

Kenali potensi sebenar diri anda. Setiap orang diciptakan dengan kelebihan masing-masing. Oleh itu, cari dan kenali potensi sebenar diri anda.

8. “Mulianya seseorang itu bukan kerana siapa dirinya, tetapi apa yang dilakukannya”

Pangkat dan kedudukan bukanlah kayu ukur kemuliaan seseorang itu. Tetapi segala amal kebaikannya adalah penentu kemuliaan dirinya.

9. “Kerja itu ibadah, ikhlaskan hati dan jangan mengalah”

Kerja itu ibadah, niatkan kerja yang dilakukan setiap hari itu kerana Allah s.w.t. Jangan mudah mengalah akan tekanan atau masalah di tempat kerja.

10. “Mulakan pagimu dengan senyuman dan akhiri harimu dengan ketaatan”

Mulakan hari kita dengan aura positif dan akhiri hari kita dengan ibadah kepada Allah s.w.t.

11. “Orang yang positif melihat peluang, orang yang negatif melihat alasan”

Orang yang positif sentiasa mencari peluang dalam apa jua yang dilakukannya. Manakala orang yang negatif sentiasa mencari alasan dalam apa jua yang dilakukannya.

12. “Hidup ini umpama cermin; ia akan senyum kepada anda jika anda senyum kepadanya”

Bagaimana kita ingin menjalani kehidupan ini adalah bergantung kepada diri kita. Pilihan terletak di tangan kita.

13. “Pagi ialah waktu mencari rezeki bukan waktu berdengki”

Pagi ialah waktu terbaik seseorang itu mencari rezeki dan bermula dengan aura positif yang menjadikan hari kita lebih baik.

Pagi juga bukanlah waktu untuk kita memulakan hari kita dengan sebarang aura atau sifat negatif yang akan merosakkan hari kita.

14. “Seperti mentari yang menyinari bumi, begitu jugalah kebaikan seorang insan kepada insan yang lain”

Impak kebaikan seorang insan terhadap insan yang lain sangatlah besar. Tambahan lagi jika insan yang ditolong itu benar-benar dalam kesusahan dan sangat memerlukan bantuan. Ia ibarat sinaran matahari yang menyinari setiap sudut kegelapan.

15. “Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan, setelah kabus berlalu pasti cerah kembali”

Setiap orang tidak akan terlepas daripada diuji, yang membezakannya hanyalah tahap ujian tersebut.

Ujian atau masalah ini adalah bersifat sementara, ia tidak akan berkekalan sebaliknya akan hilang apabila berjaya diselesaikan atau tiba masanya.


Kehidupan semestinya penuh dengan onak dan duri, tempuhinya dengan penuh sabar.

Kerja atau mencari nafkah itu juga adalah satu ibadah, maka lakukannya dengan penuh ikhlas dan amanah. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w bahawa sebaik-baik nafkah ialah nafkah untuk keluarga.

Daripada Thauban RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda:

Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan Allah dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan Allah.

Hadith riwayat Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad (rujukan)

Semoga kata-kata motivasi pagi ini dapat memberi semangat dan dorongan untuk kita semua terus berusaha menjadi seorang insan yang terbaik.