Dalam Islam, hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan merupakan hari yang barakah. Mendapatkan motivasi pada pagi Jumaat ini boleh menjadi pemangkin untuk anda terus bersemangat hingga ke penghujung hari.
Tidak kira dimana pun anda berada, mulakan pagi anda dengan rasa syukur kerana masih dipanjangkan umur dan diberikan nikmat kesihatan untuk meneruskan hidup ini walaupun ada kalanya ia mencabar.
Bagi yang belum mengucap puji-pujian (berzikir) kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa, ucapkanlah “Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakhbar”.
Bagi yang bekerja, mungkin ramai yang seronok kerana hari ini adalah hari terakhir sebelum berhujung minggu, namun ia bukan bermakna anda boleh mengabaikan tanggungjawab anda sebagai seorang pekerja.
Menarik aura positif adalah kunci untuk menjadikan pagi anda lebih ceria dan bersemangat. Elakkan membaca kata-kata kesat dan komen negatif di media sosial di permulaan hari anda.
Sebaliknya, mulakan pagi Jumaat ini dengan motivasi dan doa-doa yang memohonkan keampunan dan kebaikan.
Berdoa dan ucapkanlah:
“Ya Allah, janganlah Engkau sibukkan diri kami dan lalaikan kami dengan dunia dan segala isinya sehingga kami lupa akan dosa dan kesalahan kami kepada Mu, Ya Allah.”
“Ya Allah, berikan kepada kami jalan petunjuk kebenaran mudah-mudahan kami menjadi hambaMu yang beriman dan bertaqwa.”
“Ya Allah, terima kasih atas kehidupan kami, nafas kami dan rezeki yang Engkau limpahkan kepada kami hari ini.”
“Ya Allah, jadikanlah hari ini penuh semangat, dimudahkan rezeki, kesihatan yang baik, mendapat ilmu yang bermanfaat dan terlepas daripada segala kesulitan.”
“Ya Allah, kami memohon kepada-Mu kebaikan, kemenangan, pertolongan, cahaya, keberkatan dan petunjuk hari ini dan selama-lamanya.
“Ya Allah, ampunkanlah dosa kami, rahmatilah kami, berilah kami hidayahMu agar kami sentiasa dekat denganMu, Ya Allah.”
Kata-kata Hikmah bagi Memulakan Pagi Jumaat Anda
Kata-kata hikmah atau mutiara kata sudah pastinya boleh menambah keceriaan dan semangat untuk anda memulakan hari anda yang penuh dengan kesibukan itu.
Semoga kata-kata hikmah ini menjadi penyuntik semangat untuk anda memulakan hari anda.
“Orang beriman itu bagaikan mutiara. Di manapun dia berada, keindahan selalu ada dalam dirinya.” – Imam Abu Hanifah.
“Sesungguhnya, ketika seseorang itu mulai memuji dirinya sendiri, maka kehormatannya akan meninggalkannya.” – Imam Abu Hanifah.
“Jangan membenci musibah yang menimpamu, kerana apa yang kamu benci boleh menjadi penyebab penyelesaian bagimu dan apa yang kamu suka boleh menjadi penyebab kehancuranmu.” – Imam Hasan al-Basri.
“Di antara tanda-tanda Allah berpaling daripada seseorang ialah Allah menjadikan kesibukannya pada perkara-perkara yang tidak bermanfaat bagi dirinya.” – Imam Hasan al-Basri
“Barang siapa yang ingin hatinya diterangkan oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwat (menyendiri), mengurangi makan, dan tidak bergaul dengan orang-orang bodoh yang buruk budi pekertinya, serta tidak berkumpul dengan orang-orang berilmu yang tidak mempunyai keinsafan dan tidak mempunyai adab.” – Imam As-Syafie
“Orang yang berakal itu ialah orang yang diikat oleh akalnya dari segala perbuatan tercela.” – Imam As-Syafie
“Ingatlah saudara-saudari sekalian, setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Setiap permasalahan pasti ada penyelesaian. Setiap kesabaran pasti ada ganjaran.” – KlinikMinda