Kehidupan ini penuh dengan ujian dan cabarannya. Setiap orang mempunyai ujian berbeza dalam hidup mereka. Ujian dan cabaran ini kadang-kadang menyebabkan seseorang lupa untuk mensyukuri nikmat Allah SWT yang sedang dan telah dinikmati mereka.
Setiap ujian yang dihadapi oleh kita adalah yang bersesuai dengan kemampuan kita untuk menghadapinya. Pernah atau tidak kita terfikir, walaupun ketika ujian itu melanda masih ada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita?
Tatkala kita kehilangan pekerjaan, kita masih mampu untuk makan. Tatkala kita tidak mempunyai wang kita masih sihat dan boleh bernafas. Ini adalah nikmat yang kita sering lupakan kerana tidak nampak pada zahirnya.
Bagaimana Mensyukuri Nikmat Allah Menjadikan Kita Lebih Tenang?
Bersyukur akan membuatkan kita berasa cukup. Cukup dalam konteks ini adalah berasa senang walaupun apa yang diperolehi tersebut tidak seperti yang diharapkan.
Mentaliti dan sikap seperti ini akan menjadikan kita sebagai seorang yang sentiasa berusaha dan mencuba.
Selain itu, Allah SWT telah berfirman:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih.”
Surah Ibrahim, Ayat 7
Sesiapa sahaja yang bersyukur dengan apa sahaja pemberian Allah SWT, mereka pasti akan terus menerus mendapat nikmat daripada Allah SWT. Bukankah ini akan membuatkan kita lebih tenang?
Bagaimana untuk Menjadi Seorang yang Bersyukur?
Untuk menjadi seorang yang bersyukur memerlukan latihan. Latihan untuk mengawal nafsu, latihan untuk mendidik jiwa agar menerima dan redha dengan ketentuan Allah SWT.
Salah satu cara untuk menjadi orang yang bersyukur ialah dengan berasa cukup. Berasa cukup bukan bermakna kita tidak berbuat apa-apa atau terus menyerah, sebaliknya kita masih perlu berusaha untuk mendapatkan apa yang lebih baik.
Langkah yang seterusnya ialah jangan memandang orang yang lebih dari kita sebaliknya pandanglah orang yang kurang daripada kita. Contohnya, jangan membandingkan diri kita dengan orang yang lebih kaya daripada kita, sebaliknya bandingkan diri kita dengan orang yang lebih susah daripada kita.
Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan fizikal, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari, No: 6490, Muslim, No: 2963, Ahmad, No: 7800)
Seterusnya, untuk menjadi seorang yang bersyukur, anggaplah setiap ujian yang melanda itu adalah tanda kasih sayang Allah SWT untuk mengampunkan dosa dan mengangkat darjat kita.
Seorang yang bersyukur dengan nikmat yang dikecapi juga harus mengelak dan menjauhi perasaan hasad dengki terhadap nikmat orang lain. Ucapkanlah “Alhamdulillah” untuk setiap nikmat yang dirasai atau dinikmati.
Setiap insan tidak akan terlepas daripada berbuat dosa dan kesalahan, maka sentiasalah beristighfar memohon keampunan dari Allah SWT agar kita lebih tenang dalam menjalani kehidupan harian.
Akhir sekali, seperti mana hadis Rasulullah SAW, sentiasalah bersabar dengan setiap ujian yang melanda. Sesungguhnya, bersabar itu lebih baik untuk kita.