Adalah menjadi satu adab dan budaya bagi masyarakat Melayu dan Islam untuk mengucapkan terima kasih setiap kali menerima sesuatu, tidak kira ia adalah barangan atau pertolongan. Sebenarnya, terdapat manfaat ucapan terima kasih tersebut terhadap kesihatan mental.
Mungkin kelihatan remeh, tetapi secara psikologinya impak ucapan terima kasih adalah sangat besar terhadap kehidupan dan kesihatan seseorang.
Terima kasih membawa maksud seseorang itu menyatakan penghargaan atas pemberian atau pertolongan yang telah diperolehi. Ia juga bermaksud seseorang itu bersyukur terhadap apa-apa yang diperolehi.
Dalam Islam, selain mengucapkan terima kasih atau syukran, terdapat ucapan terima kasih yang lebih baik yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu “Jazaakallahu Khairan.”
Manfaat ucapan terima kasih ini boleh memberi impak kepada kesihatan mental, kesihatan fizikal, emosi dan kualiti hidup seseorang.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, berikut adalah 7 manfaat ucapan terima kasih terhadap kesihatan mental dan fizikal seseorang:
1. Meningkatkan Kualiti Perhubungan
Ucapan terima kasih boleh meningkatkan kualiti perhubungan antara pasangan, saudara-mara, kawan-kawan atau kenalan.
Mereka yang sering mengucapkan terima kasih lebih memiliki hubungan yang erat dan seseorang itu akan berasa lebih dihargai.
2. Mencegah Depresi atau Kemurungan
Mengucapkan terima kasih juga boleh mengurangkan tekanan (stres), mencegah atau mengurangkan kemurungan (depresi).
Ini dibuktikan melalui satu kajian yang melaporkan bahawa penulisan ucapan terima kasih boleh membantu mengurangkan tekanan dan kesan negatif. [1]
Selain itu, ucapan terima kasih daripada orang sekeliling juga boleh menjadikan seseorang itu berasa mempunyai banyak sokongan daripada orang lain.
3. Meningkatkan Kesihatan Badan
Orang yang sering mengucapkan terima kasih kepada orang lain juga merupakan seorang yang optimis.
Seorang yang bersikap optimistik juga cenderung untuk memiliki sistem imun yang kuat dan emosi yang lebih baik. [2]
Selain itu, sikap bersyukur juga boleh mendatangkan manfaat kepada kesihatan badan dengan mengurangkan keradangan. [3]
4. Meningkatkan Kualiti Hidup
Sentiasa mengucapkan terima kasih juga boleh meningkatkan kualiti hidup individu dan masyarakat.
Orang yang memberi akan berasa diri mereka dihargai, manakala orang yang menerima pula akan berasa diri disayangi. Keadaan ini akan mewujudkan masyarakat yang harmoni.
5. Meningkatkan Kualiti Tidur
Manfaat ucapan terima kasih yang berikutnya adalah meningkatkan kualiti tidur.
Untuk mendapatkan manfaat ini, cubalah mengucapkan terima kasih sebelum tidur kepada diri sendiri dan pasangan.
Amalan ini boleh memicu kepada perasaan yang tenang yang seterusnya membawa kepada tidur yang nyenyak. (Psst..Jangan lupa juga doa tidur).
Satu kajian melaporkan bahawa penghidap masalah sukar tidur (insomnia) yang menulis jurnal kesyukuran secara harian selama seminggu berjaya mendapatkan tidur yang lebih baik. [4]
6. Meningkatkan Produktiviti
Selain itu, ucapan terima kasih juga boleh membantu meningkatkan produktiviti.
Sebagai contoh, dalam satu organisasi, sekiranya seorang ketua atau bos mengucapkan terima kasih kepada orang bawahannya. Maka, ia mampu meningkatkan produktiviti mereka.
Ucapan tersebut membuatkan para pekerja berasa dihargai atas kerja kerasnya dan membuatkan seseorang itu terus bermotivasi untuk melakukan kerja dengan lebih baik.
7. Meningkatkan Harga Diri
Ucapan terima kasih juga boleh membantu meningkatkan harga diri seseorang.
Ucapan terima kasih membuatkan seseorang itu berasa diri mereka berguna. Seorang manusia memerlukan harga diri yang tinggi untuk mencapai kesejahteraan emosi.
Secara tidak langsung ia dapat mencegah seseorang itu daripada memiliki rasa iri hati atau dengki terhadap orang lain.
Kesimpulan
Terdapat pelbagai manfaat ucapan terima kasih kepada kesihatan badan dan kesihatan mental. Justeru itu, jadikanlah ucapan terima kasih sebagai satu amalan dan cara hidup.
Rujukan
- Fekete, E. M., & Deichert, N. T. (2022). A Brief Gratitude Writing Intervention Decreased Stress and Negative Affect During the COVID-19 Pandemic. Journal of happiness studies.
- Segerstrom, S. C. et al. (1998). Optimism is associated with mood, coping, and immune change in response to stress. Journal of personality and social psychology.
- Hazlett, L. I. et al. (2021). Exploring neural mechanisms of the health benefits of gratitude in women: A randomized controlled trial. Brain, behavior, and immunity.
- Digdon, N. & Koble, A. (2011). Effects of Constructive Worry, Imagery Distraction, and Gratitude Interventions on Sleep Quality: A Pilot Trial. Applied Psychology: Health and Well-Being.