Sebenarnya kesihatan mental adalah satu aspek yang cukup dekat dengan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesihatan mental adalah satu keperluan asas yang perlu dijaga dan dipelihara dengan baik.
Penyakit mental adalah gangguan yang melibatkan gangguan kepada emosi, tingkahlaku dan pemikiran seseorang yang mengalaminya. Jika dilihat dalam konteks agama, ia juga adalah masalah atau penyakit yang berkaitan jiwa.
Gangguan-gangguan ini selalunya berpunca daripada masalah, musibah atau cabaran hidup yang tidak dapat ditangani atau dihadapi oleh penghidapnya dengan baik. Kesannya, gangguan ini akan bertambah parah sehinggakan membawa kesan buruk kepada penghidapnya.
Bagi seorang Muslim yang bergelar hamba kepada Allah s.w.t, harus diyakini bahawa setiap masalah, musibah dan cabaran hidup adalah ujian keimanan kepada kita kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
Al-Ankabut (29:2)
Ibn Kathir dalam kitabnya, Tafsir Ibn Katsir menyatakan bahawa Allah s.w.t menguji hamba-hambaNya yang beriman sesuai dengan keimanan yang dimiliki mereka.
Islam melihat kesihatan mental ini melibatkan jiwa yang memerlukan penjagaan kepada dua elemen penting iaitu roh dan jasad.
Peranan Roh dalam Kesihatan Mental
Kesihatan mental menurut Islam menekankan peranan dan kesihatan rohani atau spiritual seseorang itu.
Pendekatan Islam mementingkan peranan roh dalam merawat mental dan jiwa manusia adalah berdasarkan kebesaran Allah s.w.t yang menciptakan manusia. Maka, hanya Dialah Yang Maha Mengetahui tentang hakikat kejadian manusia yang diciptakanNya.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Sajadah ayat 9 yang bermaksud:
Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”
Surah al-Sajadah (32:9)
Dalam ayat ini dinyatakan bahawa roh adalah ciptaan Allah s.w.t yang ditiupkan kepada semua manusia. Oleh itu, dengan kembali kepada suruhan Allah dan nabi-Nya, manusia akan kembali kepada tujuan kehidupan yang sebenar.
Satu analisis yang dijalankan oleh Dein et. al. (2011) terhadap perkaitan antara agama dan kemurungan mendapati mereka yang mengamalkan ajaran agama mempunyai kadar yang rendah terhadap simptom-simptom kemurungan. Kajian ini juga turut mendapati mereka yang beragama cepat untuk pulih dari sakit yang dialami.
Peranan Jasad dalam Kesihatan Mental
Selain roh, jasad atau tubuh badan yang sihat juga penting untuk mendapatkan kesihatan mental. Jasad yang sihat daripada penyakit membolehkan seseorang itu menjalani kehidupan dengan lebih baik tanpa tekanan emosi terhadap kesihatan dan kewangan (kos perubatan).
Rasulullah s.a.w merupakan model terbaik untuk dijadikan contoh sebagai seorang yang paling menjaga kesihatan roh dan jasadnya. 5 aspek utama yang dititikberatkan untuk mendapatkan tubuh badan dan mental yang sihat adalah seperti berikut:
- Rohani perlu diisi dengan pengabdian kepada Allah.
- Minda dan akal perlu diisi dengan pengetahuan.
- Fizikal perlu diisi dengan aktiviti riadah.
- Pemakanan perlu memastikan makanan yang halal dan bersih.
- Gaya hidup perlu diisi dengan amalan yang sihat.
Perbezaan Kaedah Barat dan Islam
Pada awalnya, ahli psikologi atau psikoterapi Barat lebih berpegang kepada prinsip pendekatan rawatan yang berasaskan sains yang menolak unsur-unsur kerohanian dan ketuhanan.
Keadaan ini berbeza dengan perspektif Islam yang mementingkan unsur-unsur roh dan jasad sebagai elemen utama dalam mencari kaedah rawatan kepada penyakit mental atau jiwa ini.
Namun, muktahir ini ahli-ahli psikologi termasuklah dari Barat mula mengintegrasikan amalan beragama atau spiritual dengan rawatan kesihatan mental.
Ibadah dan Amalan Untuk Kesihatan Mental
Islam menitikberatkan kesihatan rohani sebagai peneraju utama dalam kesihatan mental. Jalan untuk mendapatkan rohani yang sihat adalah dengan menjauhi perkara yang haram atau ditegah dan melakukan perkara yang disuruh dalam agama.
Mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang utuh terhadap kewujudan Yang Maha Esa dan Maha Kuasa (Allah s.w.t), seseorang itu akan berasa mempunyai tempat berdoa dan mengadu tatkala mengalami musibah, berduka atau mempunyai masalah.
Islam juga mengajar penganutnya agar melakukan ibadah atau amalan-amalan kebaikan yang menjadi makanan rohani manusia bagi mencapai keredhaan Allah s.w.t dan mendapatkan hati yang tenteram.
Beberapa amalan ibadah yang boleh diamalkan untuk mendapatkan mental yang sihat termasuklah:
- Solat fardhu 5 waktu
- Solat sunat
- Membaca al-Quran
- Berzikir
- Berpuasa
- Tazkirah
Kesimpulan
Kesihatan mental menurut Islam adalah kesihatan dari segi rohani (roh) dan jasmani (jasad). Malah Islam sangat menitikberatkan kesihatan rohani dengan mendidik penganutnya agar mengenal pencipta (Allah s.w.t), melakukan ibadah sebagai makanan atau ubat kepada hati dan jiwa serta melakukan kebaikan yang boleh membawa ketenteraman hidup.
Ahli psikologi barat juga turut mengakui peranan roh atau spiritual dalam menangani masalah penyakit mental.
Oleh itu, ahli psikologi atau ahli terapi Muslim harus terus menerapkan nilai-nilai Islam dalam merawat pesakit yang mengalami gangguan atau penyakit mental.
Rujukan
- Simon Dein, et al.(2011).Psychiatrists views on the place of religion in psychiatry: An introduction to this special issue of Mental Health, Religion & Culture. Mental Health, Religion & Culture.
- Mohd Nasir Bin Masroom. (2016). Aplikasi Modul Terapi Jiwa Dalam Kalangan Pesakit Mental dan Faedahnya Terhadap Kesihatan Jiwa. Tesis Doktor Falsafah. Universiti Teknologi Malaysia.
- Wazir, Rosni. (2020). Tuntutan Kesihatan Mental Menurut Maqasid Al-Sunnah. [diakses pada 21 September 2020].