Kencing malam atau dalam bahasa perubatannya, enuresis adalah sejenis kecelaruan eliminasi yang lazim berlaku terutamanya kepada kanak-kanak. Keadaan ini menyebabkan seseorang kanak-kanak mengeluarkan air kencing secara tidak sengaja terutamanya pada waktu malam.
Kencing malam adalah perkara biasanya yang dialami oleh ramai kanak-kanak. Ia bukanlah petanda bahawa latihan ke tandas tidak berjaya. Selalunya ia hanya sebahagian daripada perkembangan kanak-kanak yang normal.
Secara umumnya, kencing malam sebelum umur 7 tahun bukanlah sesuatu yang membimbangkan. Pada usia ini, anak anda mungkin masih membina kawalan pundi kencing pada waktu malam.
Kelaziman enuresis ini adalah paling tinggi berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 5 tahun iaitu sebanyak 20%. Ia juga sering didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 7 tahun. Kelaziman enuresis dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 tahun adalah 5% hingga 10%. Enuresis juga turut didiagnosis dalam kalangan orang dewasa iaitu sebanyak 2%.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala mungkin berbeza-beza bagi setiap kanak-kanak.
Gejala utama ialah apabila kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas membasahkan katil atau pakaian mereka 2 kali seminggu atau lebih, sekurang-kurangnya 3 bulan.
Menunjukkan tekanan (distres) yang ketara secara klinikal dan menjejaskan akademik, sosial atau bahagian kehidupan yang lain.
Punca atau Penyebab
Tiada siapa yang tahu dengan pasti apa yang menyebabkan kencing malam atau enuresis, tetapi pelbagai faktor mungkin memainkan peranan:
- Pundi kencing yang kecil: Pundi kencing kanak-kanak mungkin tidak berkembang sepenuhnya untuk menampung air kencing yang dihasilkan pada waktu malam.
- Ketidakupayaan untuk mengenali pundi kencing yang penuh: Jika saraf yang mengawal pundi kencing lambat matang, pundi kencing yang penuh mungkin tidak membangunkan anak anda terutamanya jika anak anda tidur nyenyak.
- Ketidakseimbangan hormon: Semasa zaman kanak-kanak, sesetengah kanak-kanak tidak menghasilkan hormon antidiuretik (ADH) yang mencukupi untuk melambatkan pengeluaran air kencing pada waktu malam.
- Jangkitan saluran kencing: Jangkitan ini boleh menyukarkan kanak-kanak mengawal kencing. Tanda dan gejala mungkin termasuk membasahi katil, kerap membuang air kecil, air kencing merah atau merah jambu, dan sakit semasa membuang air kecil.
- Apnea tidur: Kadang-kadang kencing malam adalah tanda kepada apnea tidur obstruktif, keadaan di mana pernafasan kanak-kanak terganggu semasa tidur selalunya disebabkan oleh tonsil atau adenoid yang meradang atau membesar.
- Sembelit kronik: Otot yang sama digunakan untuk mengawal pembuangan air kencing dan najis. Apabila sembelit berpanjangan, otot ini boleh menjadi tidak berfungsi dan menyumbang kepada kencing malam pada waktu malam.
- Penyakit kencing manis: Bagi kanak-kanak yang biasanya kering pada waktu malam, kencing malam mungkin merupakan tanda pertama kepada penyakit kencing manis.
- Masalah saluran kencing atau sistem saraf: Jarang-jarang sekali, kencing malam berkaitan dengan kecacatan pada sistem saraf atau sistem kencing kanak-kanak.
Faktor Risiko
Kencing malam lebih sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan. Terdapat juga beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko kepada kencing malam atau enuresis adalah:
- Stres dan keresahan: Peristiwa yang menekankan seperti menjadi abang atau kakak sulong, mula bersekolah atau tidur jauh dari rumah.
- Sejarah keluarga (keturunan): Sekiranya ibu bapa kanak-kanak tersebut pernah mengalami kencing malam semasa kecil, anak mereka juga turut berisiko mengalami perkara yang sama.
- Gangguan Kurang Tumpuan/ Hiperaktiviti (ADHD): Kencing malam lebih biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap ADHD.
Diagnosis
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), enuresis ini dikelaskan dalam kecelaruan eliminasi.
Beberapa kriteria diagnostik menurut DSM-5 adalah:
- Kencing di atas tilam atau dalam pakaian secara berulang-ulang, sama ada sengaja atau tidak disengajakan.
- Kelakuan tersebut mestilah ketara secara klinikal seperti:
- Kekerapan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, selama sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut.
- Menunjukkan tekanan (distres) yang ketara secara klinikal.
- Akademik (pekerjaan), sosial atau bahagian fungsi lain terjejas.
- Berumur sekurang-kurangnya 5 tahun.
- Kelakuan ini tidak disebabkan oleh masalah kesihatan seperti diabetes, sawan, jangkitan saluran kencing, spina bifida, penyakit saraf pundi kencing atau ubat antipsikotik, diuretik dan lain-lain.
Rawatan
Ramai kanak-kanak yang mengalami kencing malam sewaktu kecil berjaya mengatasi masalah ini apabila mereka sudah meningkat dewasa.
Rawatan juga jarang dimulakan jika kanak-kanak tersebut berumur kurang daripada 7 tahun.
Beberapa langkah pencegahan seperti mengehadkan pengambilan air sebelum tidur atau mengelak daripada minuman mengandungi kafein boleh membantu.
Sekiranya kencing malam ini disebabkan oleh masalah kesihatan seperti apnea tidur atau sembelit, masalah-masalah ini haruslah dirawat terlebih dahulu.
Pilihan rawatan yang ada untuk merawat kencing malam atau enuresis ini termasuklah penggera lembapan atau ubat-ubatan.
1. Penggera lembapan
Alat penggera ini disambungkan ke pad sensitif lembapan pada baju tidur atau peralatan tempat tidur anak anda. Apabila pad merasakan basah, penggera berbunyi.
Penggera lembapan tersebut berbunyi sebaik sahaja anak anda mula membuang air kecil, tepat pada masanya untuk membantu anak anda bangun, menghentikan aliran air kencing dan pergi ke tandas.
Jika anak anda tidur nyenyak, orang lain mungkin perlu mendengar penggera dan membangunkan kanak-kanak tersebut.
2. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan adalah langkah terakhir yang mungkin diambil oleh doktor bagi membantu menghentikan masalah enuresis ini.
Ubat seperti desmopressin boleh membantu mengurangkan penghasilan air kencing pada waktu malam. Tetapi meminum air yang banyak berserta ubat ini boleh mendatangkan masalah.
Sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai pundi kencing yang kecil, ubat antikolinergik seperti oxybutynin mungkin boleh membantu mengurangkan kontraksi pundi kencing dan meningkatkan kapasiti pundi kencing.
Komplikasi
Komplikasi yang mungkin berlaku akibat daripada enuresis adalah seperti:
- Malu
- Tekanan emosi
- Ruam kulit akibat daripada seluar dalam yang basah
Rujukan
- Wilson M, Gupta V. Enuresis. [Updated 2021 Jul 25]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2017). Bed-wetting. MayoClinic.
- Baird, D. C. et al. (2014). Enuresis in children: a case based approach. American family physician.